Nahdhah Fikriyyah : Wanita Dalam Bingkai Khilafah
NAHDHAH FIKRIYYAH – EDISI 17 SIRI 2 Jamadil Awal 1435 H / Mac 2014
Muqaddimah
Islam adalah sebuah agama sekali gus mabda’ (ideologi) yang unik. Di dalamnya terkandung sistem yang universal meliputi ajaran ruhiyah (spiritual) dan siyasiyah (politik). Oleh itu, Islam telah meletakkan fungsi negara sebagai sebuah institusi politik yang menjamin kesejahteraan hidup rakyatnya dengan memastikan penerapan syariat Islam dalam kehidupan seharian masyarakat dilaksanakan dengan sempurna. Hal ini memberikan jaminan kepada manusia akan suatu kehidupan yang penuh ketenteraman, kemuliaan, keadilan dan kesejahteraan.
Dengan mekanisme ini juga, Islam telah berhasil membangun sebuah sistem kehidupan yang menjamin keperluan asas setiap individu di samping memberi kesempatan kepada individu masyarakat tersebut untuk menikmati hak-hak dan keperluan lain sehingga mereka dapat mencapai kehidupan yang baik dan sejahtera. Begitulah betapa indahnya Islam mengatur kehidupan umat manusia dengan penuh kesempurnaan hasil ciptaan Al-Khaliq yang Maha Mendalam PengetahuanNya tentang sesuatu perkara tanpa ada cacat cela dalam sistem peraturanNya. Subhanallah.
Kehidupan Sejahtera Dalam Naungan Khilafah
Islam sebagai satu-satunya agama yang syamil (menyeluruh) dan kamil (sempurna) memberikan aturan yang sempurna baik menyangkut hubungan manusia dengan Allah S.W.T, hubungan manusia dengan dirinya sendiri mahupun hubungan manusia dengan manusia yang lain yang tercakup dalam hukum-hukum muamalah dan uqubat. Manusia, baik lelaki mahupun wanita akan dipandang mulia oleh Allah S.W.T apabila mereka melaksanakan setiap aturan Islam seperti di atas, sebagaimana firman Allah S.W.T,
Semua aturan Allah S.W.T tidak akan mungkin dapat diterapkan secara sempurna sekiranya tidak ada institusi yang menerapkannya iaitu Khilafah Islamiyah. Khilafah merupakan sebuah institusi pemerintahan Islam dan satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang wujud sepanjang hampir 1300 tahun yang lalu sebelum institusi yang gemilang ini runtuh secara rasminya pada 3 Mac 1924M. Khilafah adalah sistem yang mampu menjamin kesejahteraan warganegaranya sama ada Muslim mahupun non-Muslim. Dalam Islam, negara wajib menjamin keperluan asas (primer) setiap individu rakyatnya yang tidak mampu berupa makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Begitu juga dengan keperluan-keperluan jama’ie (ramai) seperti hak keamanan, kesihatan dan pendidikan secara percuma, di samping negara juga bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial secara umumnya.
Sejarah telah membuktikan bahawa para Khalifah pada masa kekhilafahan Islam mampu memenuhi seluruh keperluan asas rakyatnya dengan mekanisme yang sesuai dengan aturan Islam. Kaum wanita pun menjadi komuniti yang begitu dimuliakan dan sentiasa menjalani kehidupan yang sejahtera. Hal ini kerana, dalam Islam, setiap pemimpin berkewajipan mengusahakan dan melakukan berbagai mekanisme dan pendekatan untuk memenuhi segala keperluan rakyatnya sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W,
“Setiap imam (pemimpin) adalah pemelihara dan ia akan diminta pertanggungjawaban terhadap pemeliharaan (rakyat)nya” [HR Bukhari dan Muslim].
Khilafah Islamiyah bukan sahaja menjamin kesejahteraan wanita dan anak-anak, bahkan seluruh warganegaranya akan turut menikmati segala haknya. Kaum wanita tidak akan dijadikan sebagai komoditi yang “diperdagangkan” seperti yang berlaku pada saat ini apabila negara mengeksploitasi wanita bagi penghasilan wang dengan mengerah tenaga mereka dalam pelbagai bidang pekerjaan.
Namun, jika Islam menjadi dasar peraturan negara, para wanita tidak akan dipaksa untuk keluar bekerja sehingga terpaksa meninggalkan peranannya sebagai pendidik pertama dan utama bagi anak-anaknya. Wanita akan menjadi cerdas secara politik apabila pemahamannya tentang tsaqafah Islam ditanamkan melalui sistem pendidikan yang efektif dan kemudian menjadi ibu mithali untuk mendidik generasi soleh dan solehah. Mereka pasti akan menjadi mutiara-mutiara yang memancarkan cahaya kemuliaan secara berterusan dalam membentuk masyarakat yang Islami.
Wanita Mulia Di Bawah Naungan Khilafah
Dengan Khilafah, martabat wanita diangkat menjadi manusia yang dimuliakan. Negara Khilafah juga sentiasa melindungi kehormatan dan keselamatan wanita. Hal ini pernah dilakukan oleh Khalifah Al-Muktasim Billah ketika era pemerintahannya. Beliau telah membawa pasukan tentera yang sangat ramai dan dianggarkan panjangnya barisan pasukan tentera tersebut sejauh jarak antara Rom dan Baghdad hanya semata-mata untuk menyelamatkan dan mempertahankan maruah seorang Muslimah di perbatasan Rom yang dimalukan dan dipersendakan oleh orang-orang Rom.
Dewasa ini, fitnah tidak dianggap sebagai kejahatan berat, sedangkan Islam memandangnya sebagai masalah serius dan telah menetapkan hukum sebat sebagai hukuman atas perbuatan memfitnah. Pada zaman Khalifah Umar r.a, seorang hamba wanita mengadu kepada beliau, tentang majikannya yang telah menuduh dia berzina dan menghukumnya dengan memaksa dia duduk di atas api sehingga kemaluannya terbakar. Apabila disiasat ternyata majikan hamba wanita tersebut hanya mengesyaki sahaja tanpa saksi, bukti atau pengakuan yang dapat menyabitkan kesalahannya. Akhirnya Khalifah Umar r.a, menghukum si majikan dengan 100 kali sebatan dan membebaskan wanita hamba itu. Demikianlah bagaimana kehormatan wanita dilindungi walaupun hanya berstatus hamba. Negara Khilafah, dengan kekuasaannya pasti menjamin perlaksanaan hukum hudud Allah S.W.T.
Begitulah komitmen dan tanggungjawab yang ditunjukkan oleh Khalifah Al-Muktasim Billah dan juga Khalifah-khalifah terdahulu yang seharusnya dicontohi oleh pemimpin sekarang. Pemimpin secara langsung menjamin keamanan seluruh warganegaranya dengan menerapkan undang-undang yang tegas kepada siapa sahaja yang mengganggu keamanan jiwa, kehormatan, darah dan harta orang lain.
Selain itu, khusus buat wanita, Khilafah menjanjikan penjagaan kesihatan terbaik bagi memudahkan mereka menjalani fungsi keibuannya. Peranan utama wanita sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) dan juga pendidik generasi sangat sesuai dengan fitrahnya sebagai wanita.
Walau bagaimanapun, Islam juga membenarkan wanita untuk beraktiviti (mengamalkan ilmu untuk kemaslahatan umat) dalam kehidupan umum. Islam mewajibkan setiap Muslim termasuk Muslimah untuk menuntut ilmu dan berdakwah. Khilafah menyediakan pendidikan secara percuma dengan kualiti dan kemudahan yang terkini serta terbaik untuk setiap individu hingga ke peringkat tertinggi. Kurikulumnya disusun berdasarkan akidah Islam bagi melahirkan generasi yang mempunyai syakhsiyyah Islamiyyah (keperibadian Islam), taat kepada syariat, berakhlak mulia di samping memiliki kepakaran profesional dalam bidang sains dan teknologi. Khusus bagi kaum Hawa, pelbagai ilmu tambahan akan diajar bagi melengkapi persediaannya menjadi ibu dan pengurus rumah tangga. Di samping itu, Islam juga membolehkan wanita melakukan transaksi jual beli.
Islam mempunyai konsep yang jelas bagaimana memuliakan dan mensejahterakan wanita. Terdapat banyak bukti sejarah yang mencatatkan bagaimana Rasulullah S.A.W pernah menunaikan kewajipan rutinnya membantu dan menjaga kebajikan ibu tunggal dan orang yang berkeinginan untuk berkahwin, dengan satu bahagian untuk ibu tunggal dan dua bahagian untuk yang mahu berkahwin, demi memenuhi keperluan-keperluan mereka. Firman Allah S.W.T,
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui” [TMQ An-Nur (24):32].
Begitu juga ketika pemerintahan Umar bin Al-Khathab r.a., beliau pernah menerapkan jatah pembahagian terhadap setiap anak semenjak anak tersebut lahir. Khalifah berhasil memuliakan, mensejahterakan, dan menjamin keamanan wanita dan anak-anak. Oleh yang demikian, sudah selayaknya Muslimah hanya mengambil Islam dan memperjuangkan tegaknya Khilafah Islamiyyah untuk mengubah nasibnya menjadi lebih baik.
Strategi dan pelaksanaan al-siyasah al-iqtisadiyyah (politik ekonomi) Khilafah juga berorientasikan kepada memenuhi keperluan asas serta memudahkan pemenuhan keperluan sekunder dan tertier. Khilafah akan melindungi wanita, termasuk memastikan keperluan kewangannya mencukupi tanpa harus mengalami dilema antara kerjaya dan mengurus anak-anak. Sekiranya mereka bekerja, mereka tidak akan dieksploitasi dan dipastikan sentiasa berada dalam keadaan yang terjamin keselamatan dan maruahnya. Fungsi utama wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga bukannya sebagai objek komoditi bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negara. Hakikatnya realiti hari ini telah mendorong para wanita berbondong-bondong terjun ke dunia pekerjaan di luar rumah dan politik secara praktikal sehingga melalaikan tugasnya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga. Harapan yang cukup tinggi disandarkan kepada kaum wanita agar aspirasi dan kemuliaan wanita boleh direalisasikan dengan beradanya wanita di kerusi legislatif. Namun begitu, semua itu hanya tipu daya dan angan-angan semata-mata sahaja yang tidak pernah terealisasi. Sesungguhnya kemuliaan wanita itu hanya ada bersama syariah dan Khilafah Islamiyyah. Syariah dan Khilafah Islamiyyah tidak hanya memuliakan para wanita, tetapi sekali gus memuliakan seluruh manusia. Itu didasarkan pada nas-nas dan sudah terbukti secara empirik.
Khatimah
Kita sebagai Muslimah seharusnya bersama-sama memperjuangkan tegaknya syariah dan Khilafah untuk mengubah suasana yang tidak Islami pada hari ini kepada suasana Islam yang sejahtera. Dengan itu, kita seharusnya membina para Muslimah di sekitar kita dengan pendidikan politik yang benar, berpolitik yang benar sesuai batas-batas syarak. Apa yang lebih penting dan utama ialah, semua usaha ini tidak seharusnya melalaikan para Muslimah dari tugas utamanya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga, iaitu peranan mendidik anak, membentuk generasi Muslim yang unggul dan hebat.
Wallahu a’lam.