Najib Akan Bermanis Muka Dengan Pembunuh Nombor 1 Umat Islam?
KUALA LUMPUR 9 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke Washington DC dan New York, Amerika Syarikat pada 10 hingga 16 April ini. Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang diadakan pada 12-13 April di ibu negara Amerika atas jemputan Presiden Barack Obama. Semasa di Washington DC, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Obama di luar sidang kemuncak bagi membincangkan isu-isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa. “Penyertaan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan dengan negara-negara lain termasuk Amerika mengenai isu-isu keselamatan serta menjadi satu platform untuk Malaysia mengemukakan pendiriannya mengenai isu nuklear,” menurut kenyataan itu. Najib akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Rastam Mohd Isa. – Bernama
Sumber : Utusan Malaysia, 09/04/2010
Najib Akan Bermanis Muka Dengan Pembunuh Nombor 1 Umat Islam? Mengapa Kehinaan Yang Beliau Pilih?
Apa agaknya tajuk perbincangan dan perbualan apabila Najib bertemu dengan Obama kelak? Apalah agaknya kata-kata manis dan pujian yang akan keluar dari mulut PM nanti dalam pertemuan tersebut? Secara kebiasaannya, masing-masing pemimpin akan saling puji memuji antara mereka apabila bertemu walaupun seluruh dunia Islam mengetahui dan mengakui kejahatan Amerika melalui tangan kotor Presidennya, Barack Obama. Secara umumnya para pemimpin umat Islam pada hari ini akan melutut dan tunduk kepada pemimpin kufur walaupun hakikatnya mata, telinga, hidung dan hati mereka menyaksikan, mendengar, menghidu dan dapat merasakan segala bentuk kejahatan yang telah dan yang sedang dilakukan oleh kuffar Barat terutamanya Amerika ke atas Islam dan umat Islam.
Wahai Najib! Sejarah telah menukilkan kepada kita keberanian seorang panglima perang Islam yang bernama Rubi’i Ibn Amir yang pernah berkata kepada panglima tentera musyrik Parsi bernama Rustam – kami datang ke sini (berperang) untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah”. Apakah Najib akan memiliki keberanian seperti Rubi’i Ibn Amir apabila bertemu dengan Obama kelak? Yang pasti, Allah SWT, Rasulnya dan umat Islam akan menyaksikan.