Nasib Buruk Penguasa Zalim
Hitler, sang diktator yang membunuh ribuan manusia untuk misi rasisnya, akhirnya mati dengan membunuh diri. Raja Perancis bersama ratunya dibunuh oleh rakyatnya sendiri kerana mereka sudah tidak tahan dengan polisi-polisi zalim dan menindas yang dikenakan sehingga akhirnya mereka menggantung sang raja dan ratunya di ibu kota Perancis tanpa belas kasihan. Sang Ratu sebelum itu pernah berkata dengan penuh sombong kepada rakyatnya, “Jika anda tidak sanggup membeli gandum, maka jangan makan gandum”. Suatu kenyataan yang sangat menghina dan menyakitkan hati rakyat.
Sekali imbas, kata-kata ini persis seperti kenyataan para penguasa dan menteri-menteri yang ada pada hari ini. Ketika harga minyak dinaikkan, maka mereka menyeru agar rakyat berkongsi kereta. Padahal kereta-kereta mereka dengan beragam dan beraneka jenama dan kualitinya berderet tersusun di halaman rumah mewah mereka. Ketika harga gula dinaikkan, mereka menyeru agar rakyat mengurangkan pengambilan gula dan berjimat cermat dalam berbelanja. Walhal, mereka sering menghamburkan makanan dalam setiap majlis yang mereka adakan, bahkan banyak melakukan pembaziran dengan acara-acara yang penuh kemaksiatan.
Lihatlah juga bagaimana nasib Reza Pahlevi yang sama tragisnya dengan nasib Marcos yang mati di negara lain kerana dibuang daerah oleh rakyatnya sendiri. Tidak ada sesiapa pun yang mahu membela mereka pada saat itu. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi ‘tuan’ mereka langsung tidak berbuat apa-apa. Suharto, Bapa Pembangunan Indonesia, juga mati dalam keadaan yang menyedihkan. Sang diktator Iraq, Saddam Hussein, yang terkenal dengan kezalimannya juga mati dalam keadaan yang malang dan penuh kehinaan. Dia mati digantung sebagai pesalah undang-undang. Tetapi ironinya, kediktatorannya itu digunakan oleh para penjajah sebagai alasan untuk menjajah bumi Iraq yang diberkati.
Sayang sekali, berapa ramaikah para penguasa yang ada pada hari ini yang mengambil iktibar tentang sikap para penguasa yang zalim itu? Mereka menggunakan segala kekuasaan mereka untuk mengumpul kekayaan dan menzalimi rakyat mereka, sedangkan kekuasaan yang mereka ada itu akan membawa nasib yang buruk terhadap mereka. Rasul SAW pernah berdoa:
“Ya Allah, sesiapa yang menjadi pengatur urusan umatku, kemudian ia memberatkan mereka, maka beratkanlah ia. Dan sesiapa yang menjadi pengatur urusan umatku, kemudian ia meringankan mereka, maka ringankanlah ia”. (HR Muslim dan Ahmad)
Lihatlah realiti ketika musim pilihanraya, mereka sibuk berkempen dengan senarai manifesto yang sangat menarik dan taburan janji manis yang bermacam-macam demi untuk meraih undi. Namun, apakah yang terjadi setelah mereka berkuasa? Bukan sekadar syariah Islam tidak diterapkan, bahkan terdapat banyak inti manifesto yang tidak dilaksanakan. Inilah yang terjadi kepada Dr Mursi Abdullah, sang penguasa Mesir yang baru setelah menang majoriti dalam pilihanraya Mesir. Bukan sekadar tidak mahu menerapkan syariah Islam, bahkan sang presiden dilihat cenderung untuk mengikut percaturan yang telah dirancangkan oleh Amerika Syarikat, musuh utama umat Islam. Adakah ini yang diharapkan oleh umat Islam, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia? Wajarlah jika mereka dikatakan menjadi tali barut negara imperialis. Dalam masalah ekonomi, para penguasa lebih memilih untuk berpaksi kepada ekonomi liberal ala kapitalis. Pengswastaan dan pengurangan subsidi juga ternyata ‘melemaskan’ rakyat yang sudah sekian lama hidup dalam kesusahan dan kemiskinan.
Agenda politik mereka hampir semuanya mengikut telunjuk barat. Ketika barat melaungkan slogan perang melawan teroris, para penguasa kaum Muslimin pun patuh mengikut dengan penuh taat. Padahal, di sebalik semua itu, ia sebenarnya adalah propaganda untuk memerangi umat Islam khususnya yang ikhlas berjuang ingin menerapkan syariah Islam. Akhirnya, rakyat sendiri yang menjadi korban. Mereka diintip, ditangkap dan ditahan tanpa sebarang proses pengadilan yang benar. Penguasa menjadi musuh bagi rakyat. Inilah hakikat sebenar hubungan antara penguasa dengan rakyat pada ketika ini. Walhal hubungan mereka seharusnya perlu saling tolong-menolong, saling mengasihi dan saling mendoakan.
Jika sejak di dunia lagi nasib para penguasa zalim ini berakhir dengan tragik, apatah lagi di akhirat kelak. Ini dapat kita fahami berdasarkan hadis Rasulullah SAW berkenaan amanat sebagai orang yang memegang jawatan dalam kekuasaan dan pemerintahan. Ketika Abu Dzar RA meminta jawatan kepada baginda, baginda bersabda:
“Sesungguhnya jawatan (kekuasaan) itu adalah amanah, dan kekuasaan itu kelak pada hari kiamat akan menyebabkan kehinaan dan penyesalan. Kecuali bagi yang mendapatkannya secara benar dan menunaikan kewajipannya dengan sebaik-baiknya”.
Betapa berat dan pentingnya amanah ini perlu dipikul oleh para penguasa ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak untuk menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia agar kamu menetapkan secara adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. [TMQ an-Nisa’ (4): 58]
Berkaitan ayat di atas, Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya memetik hadis yang diriwayatkan daripada Hasan daripada Samurah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepadamu, dan janganlah engkau mengkhianati orang yang mengkhianatimu.” (HR Ahmad dan Ahlu Sunan)
Menurut Ibnu Katsir, amanah ini mencakupi seluruh amanah yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada manusia. Menjadi pemimpin adalah amanah daripada rakyat. Ini adalah kerana rakyatlah yang membai’at pemimpin. Maka pemimpin wajib menjalankan amanah ini dengan sebaiknya dengan menerapkan syariah Islam di muka bumi Allah ini, dan bukannya dengan menerapkan sistem thogut yang telah banyak menindas dan menzalimi umat manusia. Rasulullah SAW telah mendoakan kebinasaan terhadap penguasa yang zalim, yang kelak akan dibinasakan oleh Allah SWT baik di dunia mahupun di akhirat. Lihatlah buktinya, apa yang telah terjadi kepada Ben Ali, Ghaddafi, Hosni Mubarak dan nasib yang sama juga pasti akan menimpa kepada Bashar Asad termasuk seluruh penguasa yang ada saat ini yang banyak melakukan kezaliman, termasuklah para penguasa yang masih menerapkan sistem sekular tinggalan penjajah. Mereka semua adalah termasuk dari kalangan orang-orang yang zalim sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka adalah orang-orang yang zalim” [TMQ Al-Maaidah (5) : 45].