‘Nasihat’ Muhyiddin Tentang Ideologi Mengelirukan

muhyiddinJangan terpedaya ideologi ‘indah’ – TPM

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan generasi muda supaya tidak terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang indah bunyinya.  Timbalan Perdana Menteri berkata, kumpulan terbabit sering membawa isu yang boleh dipertikaikan kebenarannya termasuk berkaitan agama, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan hak asasi manusia.   “Pemimpin muda jangan mudah terpedaya untuk mempercayai perjuangan yang telah dipesongkan kebenarannya,” kata beliau.   Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Seminar Pemimpin Muda Malaysia di bangunan Parlimen di sini hari ini. – Utusan

Sumber: Utusan Malaysia 25/11/10

Muhyiddin Berpegang Kepada Ideologi Apa?

Ideologi adalah suatu fahaman yang berasaskan kepada akidah ‘aqliyah dan daripada akidah itu, ia memancarkan/menerbitkan satu sistem kehidupan. Akidah ‘aqliyah bermaksud akidah (keyakinan) yang menggunakan peranan akal, baik dalam menghasilkan mahupun menetapkannya, boleh jadi ianya menghasilkan aqidah yang benar atau salah. Jika kita mengkaji secara mendalam, hanya ada tiga ideologi sahaja yang pernah wujud di dunia ini. Ketiga-tiga ideologi itu ialah Kapitalisme, Komunisme dan Islam. Kapitalisme dan Sosialisme adalah keyakinan yang dihasilkan dan ditetapkan oleh akal manusia. Kedua-duanya memancarkan/menerbitkan sistem yang digunakan untuk mengatur kehidupan manusia, namun jika dikaji dan dibahaskan dengan hujah dan fakta terkini, terbukti kedua-duanya tidak memenuhi fitrah manusia dan menjadi sebab kepada pelbagai krisis dunia ketika ini.

Manakala Islam adalah ideologi yang mempunyai akidah ‘aqliyah, kerana akal mempunyai peranan di dalamnya, baik dalam menghasilkan mahupun membuktikan keyakinan yang dibangunnya. Tidak hanya itu, akidah (keyakinan) tersebut juga dibangun berdasarkan akal, dan mempunyai sistem yang terpancar/terbit darinya. Oleh kerana memuaskan akal dan fitrah manusia, Islam adalah satu-satunya ideologi yang sahih. Namun pada saat ini, hanya Kapitalisme yang wujud dan dikembangkan oleh sebuah negara iaitu Amerika. Dengan disokong oleh kuasa tentera, Amerika menggunakan kapitalisme untuk mengaut, membolot dan menguasai kekayaan dunia. Komunisme sebagai sebuah ideologi yang pernah berkuasa di bahagian timur dunia  telah musnah pada awal tahun 90 an apabila runtuhnya Soviet Union. Namun pada saat ini ada beberapa negara yang masih menganut ideologi tersebut seperti China, Cuba, Korea Utara dan lain-lain lagi.

Manakala Islam sebagai sebuah ideologi telah diruntuhkan pada tahun 1924 apabila jatuhnya Khilafah Islamiah Uthmaniah di Turki. Sehingga kini tidak ada sebuah negara pun yang memeluk dan mengembangkan ideologi Islam. Walaupun begitu masih terdapat di kalangan umat Islam dan kelompok Islam yang berpegang kepada ideologi Islam dan berusaha untuk menyebarkannya ke seluruh dunia. Jadi, berdasarkan kepada kenyataan Muhyiddin di atas, sepatutnya timbul satu persoalan di benak kita, apakah beliau benar-benar memahami maksud sebenar  ideologi? Apakah yang beliau maksudkan dengan ideologi ‘indah’ itu? Apakah beliau sedar bahawa sehingga hari ini Malaysia adalah negara yang dipimpin oleh para pemimpin Islam tetapi malangnya Malaysia adalah sebuah negara yang menganut ideologi Kapitalisme yang berasaskan kepada aqidah sekular itu? Yang mana sistem hidup dan undang-undang yang diguna pakai oleh Malaysia pada hari ini adalah sesuatu yang lahir daripada akal dan hawa nafsu manusia lalu dibahaskan di Parlimen yang kemudiannya ahli-ahli Parlimen memberikan persetujuan untuk melaksanakannya. Inilah yang menjadi punca kepada krisis dan kehancuran hidup, iaitu manusia menentukan undang-undang dan peraturan hidupnya sendiri sedangkan satu-satunya yang berhak untuk membuat undang-undang itu adalah Allah SWT. FirmanNya: “hanya Allah jualah yang menetapkan hukum” [TMQ al-An’aam (6) : 57].

Apakah ideologi ini yang dikagumi, dipertahankan dan dipaksakan oleh TPM kepada umat Islam di Malaysia? Sebagai seorang Islam sewajarnya beliau memperjuangkan Islam sebagai suatu ideologi yang wajib dianuti, dipakai dan disebar luaskan ke seluruh dunia dan bukannya seperti hari ini di mana Malaysia adalah negeri yang begitu taat dan patuh kepada ideologi kufur Kapitalisme sejak 53 tahun dahulu. Dan saat ini nampaknya Muhyiddin begitu “intim” dengan ideologi Kapitalisme. Bukankah sudah sampai masanya beliau mencampakkan ideologi kufur itu dan kembali memperjuangkan Islam sebagai suatu ideologi negara? Lihat: SN045 – KAPITALISME IDEOLOGI TERAKHIR?