Muhyiddin Bercakap Songsang Tentang Fahaman Songsang

muhyiddinKetika merasmikan Multaqa Nasional Guru Pendidikan Islam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 4 Februari baru-baru ini, Muhyiddin Yassin menasihatkan kepada para ustaz, ustazah dan guru-guru agama supaya memainkan peranan agar masyarakat tidak dipengaruhi dengan fahaman-fahaman yang songsang.

Katanya, “Adalah malang sekiranya umat Islam dibiarkan berpecah-belah semata-mata kerana ada sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri yang terpengaruh dengan pelbagai fahaman yang terpesong daripada ajaran Islam sebenar.”

Tidak pasti sama ada Muhyiddin sedar dengan apa yang disebutkan atau sengaja berlagak tuli apabila berbicara tentang fahaman songsang. Sebagai orang nombor dua negara, Muhyiddin seharusnya sedar bahawa parti BN yang telah menerajui pemerintahan Malaysia selama lebih daripada 50 tahun merupakan pengamal sistem yang songsang yang paling utama iaitu sistem demokrasi yang jauh bertentangan dengan sistem Islam. Bukankah Nabi SAW telah mengingatkan:

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, selagimana kalian berpegang teguh kepada keuda-duanya, kalian tidak akan sesat buat selama-lamanya, iaitu kitabullah (Al-Quran) dan sunnahku.” (Hadis riwayat Muslim)

Sistem demokrasi yang diamalkan di serata dunia termasuklah Malaysia meletakkan kedaulatan di tangan majoriti manusia, dan bukannya di tangan syarak. Ini merupakan fahaman songsang yang perlu ditolak kerana ia secara jelas bertentangan dengan akidah dan syariat Islam. Kita tidak perlu berasa hairan jika di dalam masyarakat pada waktu ini muncul pelbagai aliran dan fahaman songsang yang bertentengan dengan Islam seperti hedonisme, materialisme, nepotisme, kapitalisme dan banyak lagi isme-isme yang lain kerana dalam sistem demokrasi, ia menghormati dan mengiktiraf segala jenis kebebasan yang mana kesemuanya bersandarkan kepada akal manusia semata-mata dan bukannya kepada penilaian halal haram di sisi syariat Islam. Kebebasan merupakan prinsip asas dalam sistem demokrasi dan ia sememangnya merupakan fahaman songsang yang perlu dibasmi oleh semua umat Islam kerana ia bukan berasaskan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Islam sepatutnya diambil secara kaffah sebagai sebuah ideologi dan ia satu-satunya thariqah (jalan) yang akan menjaga manusia daripada pelbagai fahaman songsang.

Sumber Berita: Utusan Malaysia, 5/2/13