Bila Eric Paulsen bercakap tentang ekstremisme

erSetelah mengeluarkan kenyataan di akaun Twitternya yang menuduh Jakim mempromosikan fahaman ekstremis dan mendapat kecaman banyak pihak, kini Eric Paulsen dilaporkan telah ditahan oleh PDRM. Eric ditangkap susulan gesaan dari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin terhadap PDRM agar mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu.

Eric, dalam laman sosial Twitternya mendakwa Jakim mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat, yang dipercayai merujuk kepada khutbah Jumaat yang disediakan oleh badan agama itu. Ekoran dari kenyataannya, Eric bukan sahaja dikecam hebat, malah diancam bunuh sehingga memaksanya membuat laporan polis sebagai langkah perlindungan terhadap keselamatannya. Di samping kecaman, banyak pihak turut menggesa Eric meminta maaf dengan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Eric mungkin mempunyai definisinya tersendiri terhadap istilah “ekstremisme” yang pastinya menyalahi pandangan ramai. Kerana itu, wajar sahaja jika ada pihak yang melenting dengan apa yang dikeluarkannya itu. Dalam penjelasannya selepas dikecam, dia mengatakan yang dia hanya mengkritik Jakim, bukannya mengkritik Islam.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa selama ini kerajaan, PDRM dan pihak berkuasa agama adalah pihak yang paling banyak “menakut-nakutkan” orang ramai dengan ekstremisme dan umum mengetahui bahawa tudingan “ekstremis” adalah ditujukan kepada Muslim. Mana-mana individu, apatah lagi gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan Islam secara kaffah, memang tidak terlepas dari tuduhan ekstremis.

Jika kita ingin menghapuskan demokrasi dan menggantikannya dengan sistem Islam, maka ini adalah tindakan yang ekstrem. Jika kita ingin menukar kerajaan selain dari cara demokrasi, maka ini adalah ekstrem, walaupun kita ingin menukar kerajaan dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah sekalipun.

Begitu juga jika kita mengatakan bahawa haram untuk mengucap selamat kepada penganut agama lain semasa perayaan mereka dan haram untuk meraikan perayaan mereka, maka pandangan kita ini akan dicop sebagai ekstrem. Sama halnya jika kita mengatakan bahawa haram untuk berbaik atau bekerjasama dengan Amerika apatah lagi jika kita katakan bahawa penguasa wajib melancarkan jihad untuk melawan entiti Yahudi dan Amerika yang merupakan kafir harbi, maka pandangan ini, walaupun jelas benar menurut Islam, akan pasti dicop sebagai ekstrem.

Inilah hakikat pengertian “ekstremisme” yang sebenarnya dipropagandakan oleh Barat untuk memburuk-burukkan Islam dan selama ini, penguasa Muslim, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa agama di negeri-negeri Muslim adalah antara pihak yang menelan bulat-bulat apa yang dipropagandakan oleh Barat ini. Kini, apabila tuduhan yang sama terkena ke atas batang hidung mereka, maka mereka melatah dan melenting.

Justeru, dalam menangani hal ini, setiap pihak hendaklah sedar di mana letaknya kebenaran dan kesalahan. Menyeru untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah dan menegakkan Negara Khilafah bagi menggantikan sistem dan negara demokrasi yang ada sekarang, adalah wajib ke atas kita semua dan ini bukanlah ekstrem.

Eric Paulsen hanyalah salah satu manifestasi dari kejayaan projek dan propaganda Barat dalam memburukkan Islam melalui permainan “ekstremisme”. Selain mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Eric Paulsen, pihak berkuasa harus sedar dan mengambil iktibar agar mereka juga tidak melakukan hal yang sama ke atas orang lain, khususnya Muslim, dengan tuduhan dan cop “ekstremisme” yang tidak berasas. Jangan hanya nampak kesalahan Eric Paulsen apabila dia membuat tuduhan tentang ekstremisme, muhasabahlah juga diri sendiri agar tidak melakukan hal yang sama ke atas orang lain.  

Wallahu a’lam.