Natijah Kapitalisme! Anak Derhaka, Ibu Menjadi Kupu-Kupu Malam.

Buang ibu demi maruah

PUTRAJAYA: Ibunya sudah menjengah usia senja, namun si anak yang tidak mengenang budi sanggup menghantar wanita berusia 84 tahun itu ke rumah kebajikan.

Semuanya berlaku selepas mengetahui sejarah hitam wanita yang mengandung dan membesarkannya itu pernah menjadi ‘kupu-kupu malam’ bagi menyara tiga anak selepas ditinggalkan suami.

Bukan itu saja, anak bongsu lingkungan 40-an yang mempunyai pangkat, kedudukan dan hidup mewah hasil didikan dan titik peluh ibunya, langsung tidak pernah menjenguknya selepas menghantarnya ke rumah orang tua pada 2007, sehinggalah wanita itu menghembuskan nafas terakhir, dua tahun kemudian.

Sebelum ini, wanita terbabit dijaga anaknya selepas ditinggalkan suami beberapa tahun lalu, tetapi hidupnya menderita apabila dilayan tidak ubah seperti sampah sejurus lelaki itu tahu dia pernah melacur.

Malah, bagi mengelak nama baik dan imej keluarga tercalar, lelaki terbabit secara sulit menghantar wanita tua yang dilayan seperti peminta sedekah itu ke rumah kebajikan dan terus memutuskan hubungan dengan manusia yang begitu banyak berbudi kepadanya sebelum ini. Anak derhaka yang memiliki beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes Benz terbabit dikatakan seolah-olah tidak mahu mengaku wanita itu ibunya ketika menghantarnya ke rumah terbabit kerana malu selain mengelak nama baiknya tercemar jika pengurusan rumah itu tahu ibunya pernah menjadi pelacur.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki terpelajar itu didedahkan Pengasas Pusat Rawatan dan Jagaan Orang Tua Al-Ikhlas, Pulau Meranti, dekat sini, Muji Sulaiman, semalam.

Muji berkata, anak lelaki bongsu wanita itu menghantar ibunya ke pusat jagaan terbabit ketika wanita itu berusia 84 tahun selepas mendapat maklumat ibunya pernah melacurkan diri selepas ditinggalkan suami, semata-mata kerana mahu menyara anaknya.

“Lelaki itu memberi alasan malu mempunyai ibu yang pernah menjadi pelacur.”

Apa yang menyedihkan dia menghilangkan diri dan tidak lagi menjenguk ibunya sehinggalah wanita itu meninggal dunia baru-baru ini,” katanya.

Muji berkata, dia yakin anak wanita itu mempunyai kedudukan sama ada dalam syarikat swasta atau kerajaan berdasarkan penampilan dan kenderaan mewah dipandu ketika menghantar ibunya ke pusat berkenaan.

Menurutnya, bagi mendapatkan kepastian tuduhan lelaki itu, beliau menyoal sendiri wanita berkenaan yang kemudian mengaku pernah terbabit pelacuran kerana kesempitan hidup bagi menyara persekolahan dan perbelanjaan harian tiga anaknya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, warga emas itu mengaku menjalani kehidupan yang cukup daif, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang selepas ditinggalkan suami ketika anak masih kecil”.

Wanita itu memberitahu, dia terpaksa berlapar bagi memastikan anaknya dapat makan kerana wang dimiliki hanya cukup bagi membeli makanan tiga anaknya,” kata Muji sambil menitiskan air mata.

Muji berkata, wanita itu mengaku dia terpaksa melacur kerana tidak sanggup melihat anaknya menangis kelaparan.

Menurutnya, walaupun menyedari perbuatan itu menyebabkan dia dihina masyarakat, wanita berkenaan terpaksa melakukannya bagi menyara persekolahan dan kehidupan anaknya.

Saya difahamkan, tidak ada ahli keluarga wanita itu mahu menjaganya selepas mengetahui dia pernah menjadi pelacur bagi menjaga maruah keluarga masing-masing.”

Walaupun sedih, wanita berkenaan reda dengan perbuatan anaknya yang tidak mengenang jasa ibu,” katanya.

Menurut Muji, anak lelaki wanita itu tidak sepatutnya membuang ibunya kerana wanita itu tetap ibu yang melahir dan membesarkannya walaupun terpaksa berdepan pelbagai kejian dan umpatan masyarakat. “Apa yang dialami wanita ini kenyataan yang dicerita sendiri kepada saya dan tidak menyangka masih ada anak sanggup menyisih ibu yang melahirkannya sehingga wanita itu meninggal dunia tanpa seorangpun ahli keluarga di sisi”.

Sebagai anak, kita sepatutnya membalas jasa ibu, bukannya membuang mereka seperti sampah,” katanya

Sumber : Harian Metro Online 10/12/2009


Natijah Kapitalisme! Anak Derhaka, Ibu Menjadi Kupu-Kupu Malam
Apakah gerangan budi balasan apabila seorang anak tanpa pilu di hati, tergamak menghantar ibunya ke rumah kebajikan setelah mendapat tahu kisah silam ibunya yang pernah bekerja sebagai ‘kupu-kupu malam’?  Si ibu pula terpaksa melacurkan dirinya untuk menyara anak-anak setelah ditinggalkan suami.  Salah siapakah kisah tragis ini???

Sudah pasti jari dituding tepat ke arah si anak kerana dianggap berdosa memperlakukan ibunya sebegitu rupa.  Mungkin juga si anak akan menyalahkan ayahnya kerana tergamak meninggalkan ibu terkapai-kapai meneruskan hidup bersama anak-anak yang masih kecil . Malang bagi si ibu apabila terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidupnya di rumah kebajikan sehinggalah meninggal dunia.

Seandainya kisah sedih ini dinilai berlandaskan emosi yang tidak dipandu syarak, maka akan terlihat oleh akal bahawa ini adalah permasalahan picisan kehidupan peribadi atau keluarga itu semata-mata.

Tidak dinafikan, memang benar si anak berdosa besar memperlakukan ibu yang sepatutnya dilayan dengan penuh kasih sayang sebegitu rupa.  Tidak terlepas juga dosa si suami yang mengabaikan tanggungjawabnya dengan menghilangkan diri begitu sahaja.  Malang sungguh si ibu yang tidak kembali kepada aqidah Islam sebagai tolok ukur sebelum melakukan perbuatannya yang hanya berpaksikan niat yang suci murni tanpa memikirkan dosa iaitu melacurkan diri untuk mencari sesuap nasi demi menyara kehidupan anak-anak yang masih kecil .

Namun, sebaliknya jika kepimpinan berfikir dilandasi aqidah Islam tatkala meneliti realiti kehidupan yang terhidang di hadapan mata, sudah pasti yang terpancar dari akal yang cemerlang itu, ini adalah satu petanda yang terkait dengan permasalahan sebuah sistem kehidupan ataupun ideologi(mabda).

Tindakan nekad si ibu malang itu bergelumang dengan dosa melacurkan dirinya demi sesuap nasi bagi memenuhi keperluan asas(hajatul udowiyah), sudah pasti mengetuk kotak pemikiran seorang Muslimah yang prihatin untuk terfikir, apakah mabda’ Islam tidak membela umatnya??

Yakinlah, Islam sebagai suatu ideologi dan cara hidup yang sahih pasti mampu menangani masalah kemiskinan sebegini.  Namun yang pasti ianya mestilah diterapkan sebagai sebuah sistem yang menyeluruh dan bersepadu tanpa mengabaikan mana-mana aspek sekalipun.  Dalam menangani perkara di atas, Negara akan menjamin dan memastikan keperluan asas (makanan, pakaian, tempat tinggal) dipenuhi.  Ini dilakukan dengan menerapkan hukum yang mana lelaki wajib mencari nafkah untuk diri dan keluarganya sebagaimana firman Allah: “Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara maaruf” [TMQ Al-Baqarah (2):233].

Jika si ayah tidak mampu bekerja dan mencari nafkah dengan sebab-sebab tertentu maka kewajipan tadi menjadi tanggungjawab kerabat atau saudara mara terdekat yang mempunyai hubungan darah untuk memenuhinya sepertimana yang termaktub dalam firman Allah Subhanahu wa Taala : ”Dan kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan maaruf. Seseorang tidak dibebani melainkan dengan kadar kesanggupannya. Janganlah seseorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan demikian.” [TMQ Al-Baqarah (2):233].

Jika seseorang itu miskin dan tiada waris mahupun kerabat terdekat yang mampu membantunya, maka menjadi kewajipan Negara untuk memberi nafkah melalui Baitulmal (kewangan Negara).

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam :  “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah tidak mempunyai anak dan ibu bapa), maka dia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

Peranan Negara dalam menjamin pemenuhan keperluan asas boleh dilihat jelas di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab yang mana sistem Islam berlandaskan aqidah Islam diterapkan.  Pemimpin Islam dengan gelaran Amirul Mukminin ini sangat prihatin dalam hal-ehwal kebajikan rakyatnya dan merupakan pemimpin yang sangat bertanggungjawab dan amanah.  Beliau sering meronda mengelilingi kota dan kampung untuk meninjau hal-ehwal umatnya.  Tergamam beliau setelah mendapati dirinya hampir mengabaikan keperluan umatnya tatkala mendengar rintihan sayu seorang ibu sedang memujuk anak-anaknya yang menangis kelaparan.  Si ibu sanggup merebus batu-batuan dengan harapan anak-anaknya menyangkanya sedang memasak makanan dan oleh kerana terlalu lama menunggu mereka pun tertidur.  Khalifah Umar yang mendengar keluhan dan aduan si ibu mengenai dirinya tanpa melengahkan masa bergegas ke Baitulmal untuk mendapatkan beberapa karung gandum dan beliau sendiri yang memikul bekalan makanan tadi dan memasaknya untuk si ibu serta anak-anaknya yang kelaparan.  Begitulah prihatinnya pemimpin Islam yang bertaqwa.  Mendengar rintihan si ibu dan rengekan anak-anak kecil yang kelaparan sahaja sudah cukup membuatkan Khalifah Umar terpanggil untuk menjalankan kewajipannya terhadap umat yang telah diamanahkan oleh  Allah Subhanahu wa Taala.

Persoalannya kini, apakah pemimpin kita begitu prihatin dengan keadaan umatnya? Jika ya, bagaimana pula si ibu tadi terpaksa menggadaikan kehormatan dan maruahnya demi memastikan anak-anaknya tidak kelaparan?  Dan tergamak sungguh pemimpin kita berpegung teguh pada tali pemerintahan sekular-kapitalisme dan membiarkan seorang wanita hidup berdosa melacurkan dirinya demi mencari sesuap nasi?

Wahai pemimpin umat Islam yang sedang memegang amanah Allah, fahamilah sabda Rasulullah yang berbunyi “Pemimpin (penguasa) adalah pemelihara (rakyatnya) dan dia bertanggungjawab ke atas apa yang dipeliharanya” [HR al-Bukhari].

Rasulullah juga bersabda, “Pemimpin suatu kaum adalah khadam (pelayan) mereka” [HR Abu Nu‘aim]. Banyak lagi hadis-hadis yang senada yang menjelaskan kedudukan pemimpin terhadap orang yang dipimpin (rakyat); mereka adalah sebagai pelayan atau pengurus rakyat. Masihkah ada figura pemimpin yang bertaqwa seperti Khalifah Umar yang begitu menjaga amanah yang diberikan oleh Allah ini?

Saudaraku Muslimah yang dikasihi, sudah saatnya Negara ini diatur oleh syariat Islam.  Hanya dengan syariat Islam yang diterapkan oleh Negara melalui tegaknya Daulah Khilafah Islamiah, masalah yang menimpa umat akan dapat diatasi secara menyeluruh.  Ketahuilah tegaknya sebuah Negara yang menerapkan seluruh syariat Islam juga merupakan wujudnya ketaqwaan umat kepada Allah Subhanahu wa Taala . Ketaqwaan umat inilah yang akan menghasilkan keberkahan hidup, sebagaimana yang telah Allah janjikan. “Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu sehingga Kami menyiksa mereka disebabkan perbuatan mereka” [TMQ al-A‘raf (7): 96]. Allahu’alam