[NF134] Bedtime Story Anak Muslim
Penulis: Hamimah Karmidi
Mukadimah
Bedtime story atau cerita sebelum tidur merupakan satu amalan yang sangat baik dalam mendidik anak-anak sambil meluangkan masa berkualiti bersama mereka. Waktu tidur adalah saat yang penuh ketenangan di mana ibu berpeluang menanamkan nilai-nilai mulia dan teladan yang baik melalui kisah-kisah yang disampaikan. Menurut pakar psikologi kanak-kanak, para ibu disaran menjadikan bedtime story sebagai rutin harian di rumah. Hal ini kerana, sebelum tidur adalah waktu yang paling sesuai, tepat dan tenang untuk anak-anak menerima nasihat dan mengingati kata-kata yang didengari.
Kedekatan Hubungan Jiwa Ibu dan Anak
Amalan bercerita sebelum tidur merupakan peluang yang amat berharga untuk mempereratkan hubungan jiwa antara ibu dan anak. Kepercayaan dan kedekatan yang terjalin melalui momen ini membentuk asas yang kukuh bagi komunikasi yang baik antara ibu dan anak. Hubungan ibu dan anak bukan hanya dibina melalui interaksi harian, tetapi juga melalui momen-momen istimewa seperti ini yang dapat menyentuh hati dan mencipta kenangan manis.
Sebagai pendidik utama (ummul wa rabbatul bait), ibu memainkan peranan yang sangat besar dalam membimbing anak-anak dengan kisah-kisah yang penuh dengan nilai kehidupan dan pengajaran. Keakraban yang terjalin melalui bedtime story sangat penting dalam perkembangan emosi anak kerana ia memberi mereka rasa aman, disayangi, dan dihargai.
Momen ini juga memberi peluang kepada ibu untuk memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak, sekali gus menguatkan keyakinan diri mereka. Apabila anak berasa dihargai, mereka lebih mudah menerima nilai-nilai yang diajarkan oleh ibu.
Pembentukan Karakter Anak
Selain itu, melalui amalan bedtime story ini juga memberi kesan mendalam dalam pembentukan karakter anak. Setiap kisah yang diceritakan mengandungi pengajaran mengenai nilai-nilai murni seperti kejujuran, pengorbanan, keberanian, kesabaran dan banyak lagi. Anak-anak dapat mempelajari bagaimana untuk berbuat baik, menghadapi cabaran dan berinteraksi dengan orang lain. Dengan cara ini, bedtime story menjadi salah satu kaedah pendidikan yang boleh digunakan dalam membentuk pola fikir (aqliyah) dan pola sikap (nafsiyah) anak.
Sebagai contoh, seorang ibu yang bercerita tentang kisah Nabi Ibrahim dan pengorbanannya dalam menghadapi ujian daripada Allah atau kisah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan Islam akan memberi anak-anak teladan tentang keteguhan iman dan pengorbanan. Melalui kisah-kisah mengenai perjuangan para nabi, sahabat, dan tokoh-tokoh besar dalam tinta keemasan Islam memberikan anak-anak teladan dan inspirasi yang lebih jelas dengan mencontohi sifat-sifat mulia mereka sekaligus dapat membantu membentuk kesedaran anak terhadap hubungan mereka dengan Allah (idrak silah billah). Seterusnya menjadikan mereka terbiasa dengan ketaatan kepada syariatNya dan memiliki keperibadian Islam yang kukuh.
Menukar Cerita Fantasi kepada Realiti
Walaupun cerita fantasi sering menarik perhatian anak-anak, ibu harus bijak memilih cerita yang lebih relevan dengan kehidupan sebenar dengan menggantikan cerita fantasi kepada kisah atau sejarah Islam yang sebenar. Sejarah Islam bukan sahaja penuh dengan kisah-kisah menakjubkan tetapi penuh dengan pengajaran yang dapat membentuk anak-anak menjadi individu yang hebat.
Anak-anak yang dikenalkan dengan kisah tokoh-tokoh hebat Islam yang berani dan berjuang demi Islam seperti Salahuddin al-Ayyubi, Khalid bin Walid dan Umar al-Khattab boleh mendapat inspirasi untuk mengikuti jejak langkah mereka. Kisah Salahuddin al-Ayyubi yang berjaya menawan Baitulmaqdis dengan semangat juang dan ketakwaan yang tinggi sangat relevan untuk dipelajari oleh anak-anak masa kini. Kisah-kisah ini mengajarkan tentang kepimpinan, keberanian dan keikhlasan dalam berjuang demi perkembangan Islam. Mereka akan lebih mengenali identiti mereka sebagai Muslim dan menghargai perjuangan umat Islam terdahulu sekaligus memberi mereka semangat untuk turut berusaha menjadi generasi yang memperjuangkan kebenaran.
Bisyarah Rasulullah
Selain kisah-kisah sejarah, ibu juga perlu bercerita tentang bisyarah (khabar gembira) yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam, sama ada melalui al-Quran atau melalui ucapan Rasulullah SAW. Bisyarah ini berkaitan dengan peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang dan janji Allah SWT ini menjadi pembakar semangat umat Islam sejak berabad lamanya. Bisyarah ini memberikan harapan dan motivasi kepada umat Islam untuk terus berusaha dan berjuang. Dengan menceritakan bisyarah ini kepada anak-anak, ibu dapat menanamkan dalam hati mereka keyakinan dan mendorong mereka untuk terus berjuang dan melakar sejarah gemilang dalam peradaban dunia.
Sebagai contoh, ibu boleh menceritakan kepada anak-anak tentang bisyarah Rasulullah SAW mengenai penaklukan Kota Konstantinopel. Penaklukan dibuat oleh seorang pemimpin dan penakluk hebat iaitu Sultan Muhammad al-Fateh, 1453H iaitu 800 tahun selepas bisyarah itu disebut oleh Rasulullah SAW semasa perang Ahzab (Khandaq) pada tahun 5H.
Dalam satu riwayat, Rasulullah SAW pernah ditanya, “Kota manakah yang akan dibebaskan lebih dahulu, Konstantinopel atau Rom?” Rasulullah menjawab, “Kota Heraklius akan dibebaskan terlebih dahulu, iaitu Konstantinopel.” [HR Ahmad, Ad-Darimi, dan Al-Hakim].
Melalui hadis ini, salah satu contoh terbaik yang menunjukkan bagaimana bisyarah ini direalisasikan adalah melalui kisah hebat seorang ibu kepada Sang Penakluk Konstantinopel, Sultan Muhammad al-Fateh. Ibunya telah mendidik dan membesarkannya sehingga berjaya menjadi insan terpilih seterusnya merealisasikan bisyarah Rasulullah SAW yang dijadikan sebagai inspirasi dan motivasi. Ibunya turut menanam cita-cita tinggi yang mahu anaknya menjadi penakluk Konstantinopel.
Sejak kecil, si ibu akan membawa anaknya keluar dari istana dan berdiri di sebuah tebing, di mana tebing itu menghadap ke arah Konstantinopel. Ibunya akan berkata: “Wahai anakku, di sana terdapat kota Konstantinopel. Dan Rasulullah SAW bersabda, “Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya (penakluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” Ketahuilah anakku, Engkaulah orangnya.”
Melalui kisah ini, sangat penting ibu memberi kefahaman kepada anak-anak kerana bisyarah ini akan mengingatkan mereka bahawa kemenangan Islam pasti akan tiba suatu hari nanti dan mereka berperanan untuk mewujudkannya dalam mengembalikan semula khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah). Rasulullah SAW juga telah memberikan khabar gembira tentang kembalinya Khilafah Rasyidah setelah masa mulkan jabriyyan (kekuasaan diktator) sebagaimana dalam sabda baginda,
“..Kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian” [HR Ahmad].
Giliran Ibu Zaman Kini
Kini, tiba giliran kita untuk memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak agar dapat merealisasikan bisyarah Rasulullah SAW dalam menegakkan semula Khilafah dan mengembalikan semula kegemilangan Islam seperti ibu Sultan Muhammad al-Fateh. Ibu-ibu perlu memastikan bahawa anak-anak mengukuhkan keimanan atas kebenaran Islam iaitu hanya Islam yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan keselamatan di akhirat. Kemudian menanamkan ilmu dan tsaqafah Islam dalam diri anak-anak supaya mereka mengetahui perkara yang diperintahkan dan dilarang Allah SWT.
Anak harus memahami bahawa penerapan semula Islam secara menyeluruh (kaffah) dalam bentuk institusi negara adalah sesuatu yang pasti akan berlaku kerana ia adalah janji Allah SWT dan bisyarah Rasulullah SAW. Seterusnya menjelaskan kepada anak mengenai usaha mengembalikan semula kehidupan Islam adalah kewajipan setiap Muslim. Firman Allah SWT,
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104].
Mendidik anak-anak dengan menanamkan keyakinan bahawa janji Allah SWT itu pasti dan Khilafah akan bangkit semula untuk memimpin dunia. Keyakinan ini akan melahirkan semangat juang yang tinggi dalam diri mereka walaupun pelbagai ancaman dan kesukaran dihadapi.
Khatimah
Walaupun sederhana, amalan bedtime story bukan sekadar satu cara untuk menghiburkan anak-anak tetapi salah satu kaedah pendidikan yang sangat berkesan dalam membentuk karakter dan jiwa anak-anak disamping mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Ibu-ibu zaman kini wajar menjadikan bedtime story sebagai cara untuk mendidik dan memupuk keyakinan dalam diri anak bahawa tegaknya kembali Khilafah Rashidah itu merupakan janji Allah SWT dan RasulNya.
Rujukan:
- https://alwaie.net/
- Jurnal Pengajian Islam :Peranan Buku Tafsir Quran Untuk Kanak-Kanak Bergambar Dalam Memupuk Toleransi Beragama Dan Keharmonian Sosial: Analisis Terhadap Surah Al-Kāfirūn
- muslimahhtm.com