[NF137] Peranan Ibu Mewujudkan Suasana Ramadhan di Rumah

Penulis: Hamimah Karmidi

Muqaddimah

Sebagai bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam, Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan keistimewaan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ramadhan juga adalah waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan keluarga. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga seperti bersahur, berbuka puasa, solat terawih, dan iktikaf pada sepuluh malam terakhir.

Dalam bulan yang istimewa ini, ibu memainkan peranan penting dalam memastikan seluruh ahli keluarga, terutama anak-anak merasai suasana Ramadhan. Usaha ibu termasuk membantu mencipta suasana yang penuh makna dapat memberi kesan mendalam kepada perkembangan syakhsiyah anak-anak untuk menjadi insan yang taat kepada Allah SWT.

Tujuan Berpuasa dalam Islam

Puasa pada bulan Ramadhan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi ia adalah satu ibadah yang bertujuan untuk mendidik agar menjadi hamba yang lebih taat, sabar, dan bertakwa kepada Allah. Allah SWT berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” [TMQ Al-Baqarah (2): 183].

Ayat ini menjelaskan bahawa tujuan utama puasa adalah untuk mencapai takwa, iaitu kesedaran dan ketaatan kepada Allah SWT.

Selain itu, puasa juga bertujuan untuk mengawal hawa nafsu, memupuk sifat keprihatinan terhadap saudara kita yang serba kekurangan seperti di Palestin, serta meningkatkan amal ibadah seperti solat, sedekah, doa dan amal kebaikan lain. Jadi, peranan ibu sangat penting dalam mencipta suasana yang memberi fokus kepada ibadah sepanjang bulan Ramadhan. Ibu berusaha memastikan anak-anak dapat merasai keindahan, kemanisan, dan menghayati pengajaran yang terdapat dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Mengatur Amalan Wajib dan Sunat

Sebagai ibu, adalah penting untuk memastikan bahawa amalan wajib dan sunat dilakukan dengan teratur dan lengkap sepanjang bulan Ramadhan. Amalan wajib yang pertama adalah puasa itu sendiri. Sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga), ibu harus memberi contoh yang baik dengan mematuhi kewajipan berpuasa dan mengajar anak-anak cara melaksanakannya.

Selain itu, ibu juga boleh mengajak ahli keluarga untuk bersama-sama melaksanakan amalan sunat seperti solat terawih, memperbanyak bacaan al-Quran, serta bersedekah. Solat terawih adalah salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan pada bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda,

Barang siapa yang mendirikan solat pada malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” [HR Bukhari].

Melalui hadis ini, ibu boleh memotivasi anak-anak untuk mengikuti solat terawih dan dijadikan sebagai rutin keluarga sepanjang bulan Ramadhan, tanpa meninggalkan amalan fardhu yang lain.

Ibu juga boleh menyuntik semangat memperbanyak amalan sunat dengan bersedekah. Selain daripada memberi dalam bentuk wang tunai, sedekah juga boleh berupa pemberian makanan berbuka puasa kepada jiran atau orang yang memerlukan. Dengan cara ini, ibu dapat mengajar anak-anak nilai kasih sayang, tolong-menolong, dan saling membantu sesama Muslim.

Menyediakan Makanan Sihat

Makanan yang sihat adalah elemen penting dalam memastikan tubuh badan kekal bertenaga dan sihat sepanjang bulan Ramadhan. Pada waktu sahur, ibu perlu memastikan bahawa anak-anak mendapat makanan yang berkhasiat dan mencukupi agar mereka dapat berpuasa dengan baik. Rasulullah SAW bersabda,

Bersahurlah, kerana sesungguhnya sahur itu adalah keberkatan.” [HR Bukhari dan Muslim].

Makanan yang baik pada waktu sahur hendaklah mengandungi karbohidrat kompleks, protein, serta vitamin dan mineral yang mencukupi. Contoh makanan yang boleh disediakan adalah roti gandum, telur, buah-buahan, serta air yang mencukupi. Makanan ini dapat membantu anak-anak kekal bertenaga dan tidak cepat letih semasa berpuasa.

Begitu juga pada waktu berbuka puasa, ibu perlu menyediakan hidangan yang seimbang dan tidak berlebihan. Ibu boleh menyediakan hidangan yang ringan tetapi penuh dengan khasiat seperti kurma, air kosong, sup sayur, dan nasi dengan lauk pauk yang berkhasiat. Mengamalkan pemakanan yang sihat tidak hanya memberi kebaikan kepada tubuh badan tetapi juga menguatkan akal dan semangat dalam menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadhan.

Menceritakan Sejarah Islam

Selain itu, ibu juga boleh menceritakan kepada anak-anak tentang peristiwa-peristiwa penting dalam tinta sejarah Islam yang berlaku dalam bulan Ramadhan pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat mahupun generasi setelahnya. Ini adalah kerana bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan sejarah kejayaan dan kekuatan Islam. Contohnya, Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan, di mana tentera Islam yang sedikit bilangannya tetapi dengan semangat juang yang tinggi, berjaya mengalahkan tentera Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran tentang kepentingan keyakinan kepada Allah SWT dan betapa bulan Ramadhan mampu membentuk kekuatan dalam diri setiap Muslim.

Dalam menyambut Ramadhan pada tahun ini yang jatuh pada bulan Mac, ibu boleh turut menceritakan kepada anak-anak berkaitan  peristiwa yang memberi kesan mendalam ke atas umat Islam seluruh dunia iaitu kejatuhan Khilafah Islam pada 3 Mac 1924. Kejatuhan ini menandakan berakhirnya pemerintahan Islam secara rasmi dan menyebabkan kaum Muslimin  tertindas tanpa sebarang pembelaan sehingga sekarang seperti yang terjadi di Palestin. Cerita ini dapat menanamkan azam dan semangat pada mereka untuk  memperjuangkan Islam dan dapat menyedarkan diri mereka tentang peranan seorang Muslim untuk menerapkan syariat Islam secara kaffah  (menyeluruh) selain berpuasa di bulan Ramadhan.

Mengubah Mindset Tentang Ramadhan

 

Satu perkara penting lagi yang perlu diberi perhatian oleh ibu adalah  mengubah mindset anak-anak tentang bulan Ramadhan. Jangan sesekali memomokkan mereka dengan ungkapan “kalau tak puasa, tak boleh raya.” Sebaliknya, ibu perlu menjelaskan kepada anak-anak bahawa Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat, dan setiap amal ibadah yang dilakukan dalam bulan ini akan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT. Ibu perlu menjadikan Ramadhan sebagai bulan yang dinikmati dan dihayati kemanisannya bukan sebagai beban.

Selain itu, bulan Ramadhan merupakan madrasah yang mendidik jiwa. Bulan mulia ini adalah bulan untuk memperbaiki diri, meningkatkan kesabaran, dan memperbanyak amal ibadah. Seorang ibu perlu memastikan anak-anak menikmati setiap saat dalam bulan Ramadhan dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan. Ini akan memberi kesan yang positif dalam pembentukan syakhsiyah mereka pada masa hadapan.

Khatimah

Oleh itu, sebagai seorang ibu, kita mempunyai tanggungjawab untuk membentuk suasana yang positif di rumah, terutamanya di bulan Ramadhan. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh, kita dapat memastikan anak-anak membesar dengan nilai-nilai Islam yang murni, serta menjadikan mereka hamba Allah yang taat dan bertakwa. Inilah bentuk amal kebaikan yang paling dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW bersabda,

“Amal (ibadah) yang paling dicintai Allah  adalah amal yang dikerjakan terus-menerus meskipun sedikit.” [HR Muslim (1780)]

Rujukan:

  1. https://alwaie.net/nisa/optimalisasi-fungsi-ibu/
  2. https://alwaie.net/baiti-jannati/bunda-mari-tetap-maksimalkan-peran-selepas-ramadhan/
  3. https://alwaie.net/baiti-jannati/agar-anak-gembira-menyambut-Ramadhan/
  4. https://muslimahhtm.com/2024/03/08/indahnya-Ramadhan-bersama-keluarga-tercinta/
  5. https://muslimahhtm.com/2024/04/03/Ramadhan-momen-keluarga-muslim-menempa-dan-memupuk-kesabaran/https://muslimahhtm.com/2024/04/05/mengoptimumkan-Ramadhan-dalam-keluarga/
  6. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-Ramadhan/3455-irsyad-al-fatwa-khas-Ramadhan-siri-ke-152-kenapakah-pahala-amalan-digandakan-pada-bulan-Ramadhan