Nik Aziz tak bantah DAP hina Islam

 
 
KOTA BAHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.
Beliau sebaliknya menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalah ertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

“DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas tindak tanduk beberapa pemimpin DAP kebelakangan ini yang dilihat menghina Islam.

Nik Aziz berkata untuk meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpinpemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam.

“Kita mendekati mereka melalui forum, wacana dan perbincangan,” katanya.

Nik Aziz juga mempertikaikan tindakan pihak tertentu yang melabelkan penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat.

Sebaliknya beliau berkata perkara yang patut dipertikaikan adalah jika berlaku kepincangan dalam pelaksanaan dasar PKR dan bukannya membuat serangan peribadi.

“Kenapa nak serang batang tubuh orang. Sepatutnya seranglah dasar PKR. Saya rasa malu dengan orang Melayu sekarang yang menyerang batang tubuh orang,” katanya.BERNAMA

Sumber : Bernama Rabu Ogos 12, 2009

‘Tarbiah’ untuk DAP?

Menurut laporan  di dalam www.tranungkite.net pada 12 Ogos 2009, Tuan Guru Nik Aziz berkata bahawa PAS akan melakukan tarbiah dan nasihat kepada DAP disebabkan ada antara ahli parti politik tersebut menghina Islam.

PAS pernah menganjurkan demonstrasi mengutuk ahli parlimen Belanda, Geert Wilders kerana menerbitkan filemnya “Fitna” yang menghina Islam. PAS telah berarak ke kedutaan Belanda untuk menghantar memorandom yang mengutuk filem tersebut ke kedutaan Belanda dan telah juga menganjurkan pemboikotan barangan buatan (Harakah 4 April 2008).

Di samping itu juga PAS pernah mengutuk akhbar Denmark, Jyllands-Posten, yang telah menyiarkan karikatur menghina Rasulullah (Harakah 30 Jan 2006). Dewan Pemuda PAS (DPP) telah juga mengemukakan memorandum bantahan ke kedutaan Denmark bagi membantah tindakan media negara tersebut yang menghina Nabi Muhammad (Harakah 2 Feb 2006).

Setakat ini tidak ada memorandom bantahan oleh PAS terhadap DAP.

Adakah kerana mahu memerintah negara dengan gagasan PR yang dianggotai oleh PKR dan DAP, PAS sanggup menepikan prinsip mereka dan tidak mengutuk dan men’tarbiyah’ DAP yang mempermainkan Islam?