Oktoberfest – Umat Islam Wajib Bersatu Membantah Syiar Kemaksiatan

Pesta arak Oktoberfest yang bermula sejak 24 September lalu telah menimbulkan bantahan daripada sebahagian umat Islam di Malaysia yang prihatin terhadap implikasi penganjurannya. Pesta yang berasal daripada budaya bangsa Jerman itu cuba disuburkan oleh sebuah syarikat pengeluar arak yang beroperasi di Malaysia sebagai salah satu usaha mempromosikan produk minuman keras mereka. Kemuncak sambutan pesta tersebut akan diadakan di sebuah pusat membeli-belah dekat Petaling Jaya pada 10 hingga 12 Oktober akan datang.

Isu ini telah menimbulkan polemik apabila ia dijadikan sebagai bahan oleh segelintir pihak untuk menyerang kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat [1]. Di samping serangan bermotifkan politik, terdapat juga suara bantahan yang dikemukakan oleh organisasi bukan kerajaan seperti ISMA yang melihat penganjuran pesta tersebut boleh mendatangkan mafsadah (kerosakan) yang jelas dari sudut individu, masyarakat dan negara [2].

Isu ini turut menerima respon yang pelbagai daripada  Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selaku salah sebuah parti komponen yang membentuk kerajaan negeri Selangor. Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad bertegas mempertahankan kenyataan beliau terdahulu yang menyatakan bahawa umat Islam tidak boleh menghalang penganjuran pesta tersebut [3]. Dalam masa yang sama, pandangan tersebut tidak dipersetujui oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh yang menolak alasan masyarakat majmuk sebagai justifikasi penganjuran pesta tersebut [4].

Wahai kaum Muslimin, isu penganjuran pesta maksiat ini tidak sewajarnya dijadikan bahan untuk memburuk-burukkan seteru politik semata-mata, ditambah pula untuk dijadikan modal dalam melonjakkan nama agar dicanang sebagai jaguh yang terkehadapan dalam menjuarai isu umat. Sebaliknya, isu ini sepatutnya merupakan sesuatu yang mampu untuk menyatukan suara bantahan kita semua selaku umat Islam kerana penganjurannya jelas lagi nyata bertentangan dengan syariat Islam.

Arak merupakan ibu segala kejahatan (mafhum hadis) dan ia boleh membuka ruang kepada menularnya budaya liar yang merosakkan masyarakat. Meskipun terdapat ajaran agama lain yang tidak melarang penganutnya untuk meminum arak, namun itu tidak bererti bahawa penganjuran pesta yang mempromosikan budaya hedonisme ini wajar dibenarkan. Perlu dibezakan di sini antara keizinan meminum arak bagi penganut ajaran agama lain dan penganjuran pesta arak yang menjadi syiar kemaksiatan. Islam menjamin hak-hak orang bukan Islam, namun hak tersebut semestinya tidak melampaui batas sehingga mencemar kesucian Islam dan menggugat keharmonian negara.

Di sebalik polemik penganjuran pesta arak ini, terserlah hakikat kerosakan sistem yang diterapkan pada hari ini. Sedarlah kalian bahawa idea kebebasan yang menjadi tunjang kepada sistem demokrasi sekular kapitalis pada hari ini telah membuka ruang kepada penganjuran pesta-pesta maksiat seluas-luasnya tanpa sebarang halangan. Mereka bukan sekadar membiarkan syiar kemaksiatan sebegini berleluasa, bahkan pengeluaran arak berskala industri turut diberikan lesen dan ‘dihalalkan’ oleh pihak pemerintah untuk dipasarkan secara terbuka. Alangkah aneh untuk melihat para pemimpinnya beriya-iya mendakwa bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang memelihara maqasid syariah, tetapi membenarkan berleluasanya industri arak yang boleh merosakkan akal dan nyawa (yang mana ia merupakan sebahagian daripada maqasid itu sendiri). Wallahua’lam.

Sumber:

[1] UMNO terkilan pesta arak dibenarkan

[2] Pesta arak membawa mafsadah kepada masyarakat dan negara 

[3] Khalid pertahan kenyataan, PBT perlu main peranan kawal ketat pesta arak

[4] Negara majmuk bukan alasan membenarkan pesta arak Oktoberfest, Nik Zawawi