Pak Menteri Malaysia Jahil Murokkab Berkenaan Hukum Judi Di Sisi Islam

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.
Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Sumber: TVSelangor

Betapa dangkal dan sekularnya pemikiran salah seorang pemimpin umat Islam ini. Apakah Datuk Awang Adek Hussein ini tidak tahu bahawa mana-mana bentuk ‘pertaruhan’ adalah sebahagian daripada judi yang diharamkan secara qat’ei oleh Qur’an?! Allah menyebutnya secara nyata bersama-sama dengan arak untuk dijauhi – ‘Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, berjudi, berhala,dan tenung nasib itu adalah keji dari perbuatan syaitan. Sebab itu hendaklah kamu menjauhinya, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan”. (TMQ Al-Maidah [5]: 90).

Berhadapan dengan perintah dari Qur’an ini, apa alasan Timb. Menteri Kewangan tersebut membahagi-bahagikan judi kepada judi haram dan judi halal? Mengapa pula pertaruhan wang sempena Piala Dunia 2010 dianggap halal dan boleh dipertimbangkan untuk diberi lesen?! Apakah alasan “mengelakkan pertaruhan serta perjudian ‘tidak berlesen’ “ di negara ini boleh diterima di sisi Syariat Islam?!
 
Wahai tuan menteri, apakah kamu tidak gentar dengan ancaman azab Allah?! Apakah kamu mahu membawa umat Islam ini mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani setapak demi setapak masuk ke lubang biawak?! Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis riwayat Abu Said al-Khudri:

“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikuti mereka”, Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani yang kamu maksudkan?’. Jawab Nabi: “Siapa lagi kalau bukan mereka?”. (HR Muslim)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa akan tiba zaman di mana umat Islam akan mengikut cara hidup atau ‘style’ orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jika orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka. Jelas sekali ‘style’ bersukaria dan berpesta sempena Piala Dunia 2010 dengan bertaruh wang untuk meramalkan pasukan mana yang akan menang ini adalah sebahagian dari langkah-langkah orang Yahudi dan Nasrani yang membawa ke neraka!

 Wahai umat Islam! Berpalinglah kamu dari pemimpin-pemimpin yang mengajak kepada ‘gaya hidup’ serta sistem kufur! Tinggalkanlah cara hidup sekular, ambillah Islam sebagai cara hidup kamu! Tinggalkanlah pemerintah yang menerapkan sistem kufur! Berjuanglah menegakkan Khilafah Islam serta menerapkan Syariah demi melaksanakan perintah Allah! Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk selamat dari bencana seperti ini melainkan menegakkan Khilafah yang akan menerapkan hukum-hukum Allah di muka bumi.