Para Pemimpin Dunia Islam Masih Dipasung Oleh Ashobiyyah
JAKARTA 20 Okt. – Hubungan Malaysia dan Indonesia tidak pernah dalam situasi pasang surut tetapi sentiasa akrab sepanjang masa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau yang berada di Jakarta untuk menghadiri majlis angkat sumpah dan pemasyhuran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berkata, beliau yakin situasi itu akan berterusan.
Sumber: Utusan Malaysia 20/10/09
Para Pemimpin Dunia Islam Masih Dipasung Oleh Ashobiyyah
Begitu berjayanya Barat mendidik dan mencetak pemikiran pemimpin-pemimpin dunia umat Islam hari ini dengan pemikiran kufur ashobiyyah. Dengan rasa bangganya para pemimpin ini terus merasakan mereka mewakili dua negara yang berasingan. Jauh sama sekali ada dalam kotak pemikiran mereka suatu perasaan bahawa sebenarnya mereka adalah umat Islam yang bersaudara yang diikat dengan akidah yang satu. Tuhan mereka satu. Nabi mereka satu. Kitab mereka satu. Kiblat mereka satu. Negara mereka satu. Namun realitinya hari ini negara umat Islam tidak satu dan tidak bersatu. Ini semua wujudnya pemahaman dan keterikatan para pemimpin sekular yang ada pada hari ini dengan perasaan ashobiyyah masing-masing.
Amat malangnya nasib umat Islam sebenarnya, apabila mereka mempunyai pemimpin yang berpemikiran sebegini. Dengan perasaan ashobiyyah inilah lahir konflik yang berpanjangan dalam dunia umat Islam. Isu Ambalat lahir kerana ashobiyyah. Isu tarian Pendet juga muncul kerana ashobiyyah. Dan begitu juga apa yang berlaku di kawasan umat Islam yang lain. Jika diperhatikan, sebenarnya terlampau banyak isu dan konflik yang muncul di antara sesama umat Islam di dunia saat ini yang bermuara dari perasaan kufur ashobiyyah.
Wahai umat Islam di Malaysia dan di Indonesia! Para pemimpin kalian bertemu dan berjabat tangan sesama mereka dan dengan bangganya membawa sekali perasaan ashobiyyah masing-masing. Najib dengan slogan 1Malaysianya. Sudah pasti SBY juga dengan slogan ashobiyyah Indonesianya. Sampai bilakah kita akan terus mengundang kemurkaan Allah SWT dan rasulNya? Hanya kewujudan Khilafah yang dipimpin oleh seorang khalifah sahajalah seruan kufur ashobiyyah ini akan sirna. Sudah saatnya umat Islam kini bergerak menegakkan Khilafah.