Pejuang Demokrasi Perosak Akidah Islam
Pemimpin tertinggi UMNO dalam satu kenyataannya mengatakan bahawa, “Yakin dan percaya, satu undi untuk UMNO dan BN, maksudnya satu undi untuk selamatkan akidah umat Islam. Satu undi untuk BN, maksudnya satu undi perpaduan dan kekuatan umat, satu undi untuk BN maksudnya satu undi pembelaan bangsa Malaysia. (Utusan Malaysia 02/12/12)
Zulkifly Nordin dalam satu kenyataannya pula mengatakan, “Sebaliknya saya mahu semua umat Islam menjadikan pilihanraya itu nanti sebagai penentu sama ada akidah kita selamat atau tidak. Kita kena faham isu kalimah Allah mengatasi politik kerana isu tersebut membabitkan akidah, tauhid kita,” (Utusan Malaysia 04/02/13)
Sesungguhnya kebaikan sesuatu sistem itu tidak diukur hanya kepada diri individu yang memerintah atau ukuran manfaat dan mudarat yang diperoleh. Perkara yang paling asas yang perlu dilihat adalah kepada asal-usul sistem itu sendiri. Karl Marx dan golongan sosialis bangkit memperjuangkan idea-idea sosialisnya kerana mereka melihat bahawa sistem kapitalisme merupakan sistem yang zalim dan menindas golongan bawahan. Sistem ini lahir hanya bertunjangkan akal fikiran manusia dan disebabkan ketidakpuasan hati terhadap sistem sebelumnya. Berbeza dengan sistem Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW ke tengah-tengah masyarakat jahiliyyah, ia adalah sepenuhnya bersumberkan kepada wahyu Ilahi. Apakah kita tidak yakin dengan bimbingan yang diberi secara terus dari Tuhan Sekalian Alam dalam mengatur urusan manusia berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah? Atau kita masih berdolak dalih dalam memilih-milih hukum yang hanya akan menjaga kepentingan diri dan parti?
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian daripada al-Kitab, dan kufur kepada sebahagian (yang lain)?” [TMQ al-Baqarah (2) : 85].
Tidak kiralah siapa pun yang memerintah, selagi mana mereka mengamalkan sistem thagut dan tidak mencampakkan sistem jahiliyyah yang lahir daripada akal-akal manusia ini, maka selagi itulah akidah umat Islam akan terus terancam. Firman Allah SWT
”Telah nampak kerosakan di darat dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan manusia. Dia mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”. [TMQ Ar-Rum (30): 41]
Justeru, jika benar-benar kita ingin menjaga dan sayangkan akidah Islam, maka kita hendaklah mengubah sistem demokrasi yang ada pada saat ini kepada sistem Islam iaitu Al-Khilafah. Sistem Khilafah inilah satu-satunya entiti yang akan menjaga dan mempertahankan seluruh akidah umat Islam, dan kebangkitannya telah pun dijanjikan oleh Allah SWT melalui lisan nabiNya “… kemudian akan kembali Khilafah di atas jalan kenabian”. (HR Ahmad)
Sumber Berita: .
Utusan Malaysia 02/12/12
Utusan Malaysia 04/02/13