Pekerja asing punca rezeki merosot?
“Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini. Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Untuk ke sekian kalinya, kita dipertontonkan oleh sekumpulan pelakon politik di atas pentas demokrasi-kapitalisme. Isu ekonomi rakyat tempatan dijadikan ‘senjata’ untuk menunjukkan keprihatinan pemimpin di dalam membela rakyat yang tertindas. Namun isu sebenar dalam masalah ekonomi disembunyikan, iaitu pengagihan kekayaan yang tak sekata di dalam negara yang menyebabkan berlakunya penindasan dan penganiayaan. Isu kebanjiran pekerja asing dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menutup kesalahan besar pemimpin terhadap dasar pengagihan kekayaan yang diamalkan oleh sistem ekonomi negara sekular Malaysia. Apabila rakyat Malaysia ‘diancam’ kehilangan punca pencarian, maka yang disalahkan adalah pekerja asing!
Tidakkah ini mencerminkan sikap para pemimpin yang ‘beggar-minded’? Seorang pengemis yang memarahi pengemis lain yang datang mengemis di sebelahnya adalah sikap bagi mereka yang putus asa dengan ketentuan (rezeki) dari Allah SWT. Mereka putus asa untuk berusaha mengikut jalan yang benar, melainkan meminta-minta lalu menyalahkan orang lain yang sama seperti mereka jika perolehan mereka meleset, tidak seperti yang dijangka. Begitu pula sikap pemimpin yang ada sekarang, menyalahkan pekerja asing sebagai punca kepada masalah kemelesetan pendapatan per kapita di Malaysia, hingga sanggup mengatakan bahawa Malaysia umpama neraka bagi rakyat sendiri. Ini dari satu sisi.
Dari sisi yang lain, golongan pemimpin yang menebal dengan sikap assabiyyah dan wathaniyyah nampaknya tak habis-habis ‘marah’ dan cuba membangkitkan kemarahan orang lain dengan sentimen perkauman dan negara. Mereka tidak pernah memandang bahawa yang datang mencari rezeki di Malaysia itu adalah majoritinya orang Islam dari Indonesia, Bangladesh mahupun Thailand yang juga merupakan saudara seagama dan seakidah dengan mereka. ‘Akidah’ bukanlah menjadi ukuran bagi pemimpin sekular ini, ‘bangsa’ dan ‘negara’lah yang mereka jadikan ukuran di dalam menentukan salah benarnya sesuatu perkara. Ringkasnya, pendapat mereka adalah bahawa Malaysia adalah negaraku, maka rakyat Indonesia mahupun Bangladesh hanyalah ‘pendatang’ yang menumpang yang patut dilayan sebagai ‘pengemis’, bukannya dilayan seperti seorang saudara seakidah. Lebih teruk, mereka beranggapan bahawa bangsa asing patut dilayan umpama haiwan, bukannya umpama manusia! Apakah salahnya mereka datang ke sini yang merupakan negara sesama umat Islam untuk mencari rezeki yang halal? Kedudukan mereka jauh lebih mulia dari para pemimpin yang mengamalkan rasuah dan menerapkan hukum kufur.
Sistem Kapitalis sebagai penyebab
Masalah kemiskinan atau penindasan ekonomi yang wujud pada hari ini tidak lain tidak bukan timbul kerana diterapkannya sistem ekonomi Kapitalis di dalam negara. Hal inilah yang perlu disedari, dirungkai dan ditukar.
Dalam sistem ekonomi yang tidak berperikemanusiaan ini, semua hal akan dilakukan oleh para pemilik modal selama mana unsur ‘manfaat’ ada di dalamnya, dan para pemilik modal ini pula kebanyakannya orang yang sama atau kroni kepada pemimpin. Mereka tidak pernah mempedulikan halal dan haram di dalam menguruskan ekonomi.
Isu Malaysia sebagai syurga bagi orang kafir dan neraka bagi rakyat sendiri ini langsung tidak timbul dalam sistem ekonomi Islam kerana kekayaan di dalam Islam, setiap orang berhak mencari rezeki yang halal dan tugas negara adalah untuk mengagihkan kekayaan negara dan memastikan rakyat mendapat hak mereka secukupnya. Kekayaan negara tidak akan diagih hanya kepada kroni atau pihak yang berkepentingan sebagaimana di dalam sistem Kapitalis sekarang, bahkan semua yang tinggal di dalam Daulah berpeluang menikmati kekayaan anugerah Allah SWT.
Islam membenarkan sesiapa sahaja mendapatkan imbalan hasil dari tenaga yang dicurahkan mengikut akad ijarah (gaji) yang sah di sisi syarak. Sesiapa sahaja berhak melakukan pekerjaan yang halal semampunya agar ia memperoleh sumber pendapatan untuk menafkahi hidupnya dan keluarganya. Oleh sebab itu, tidak ada orang yang akan dizalimi oleh negara dengan akta atau undang-undang pekerjaan selama mana akad mereka sesuai menurut syarak.
Oleh kerana Malaysia tidak mengamalkan sistem ekonomi Islam, maka berlakulah pergolakan pekerjaan yang dilihat sebagai salah satu masalah sosial. Isu ini hanya dapat diselesaikan dengan menerapkan semula sistem ekonomi Islam agar setiap dari rakyat dapat mengecapi anugerah Allah secara adil dan saksama. Ianya tidak akan menjadi realiti dengan acuan negara celupan kuffar Barat seperti yang ada sekarang, tetapi hanya dengan tertegaknya sebuah negara yang ditadbir oleh syariah, barulah segala masalah akan dapat diatasi. Itulah negara Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah.