Kapitalisme Punca Kegagalan

Bantu tanpa kira kaum – TPM

CANBERRA 7 Dis. – Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, usaha mencapai keseimbangan antara pertumbuhan dan keadilan ekonomi adalah cabaran utama Malaysia disebabkan kumpulan etnik serta wilayah yang terdiri daripada pelbagai status dan keperluan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebab itu usaha meningkatkan pendapatan 40 peratus rakyat yang tergolong dalam kelompok terkebawah dilakukan tanpa mengira latar belakang kaum.

Beliau berkata, pada masa sama, usaha berkenaan yang merupakan perluasan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini akan menyaksikan lebih banyak pembangunan dilaksanakan di wilayah yang tahap kemiskinan masih tinggi seperti Sabah, Sarawak dan Kelantan.

‘‘Ini bertujuan agar tahap pembangunan antara tiga negeri tersebut dengan kawasan lain yang telah dibangunkan tiada jurang,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Mengurus Transformasi Politik dan Ekonomi’ di Australian National University (ANU) di sini hari ini.

Program syarahan tersebut sempena lawatan rasmi beliau selama tiga hari ke Australia meliputi Canberra dan Perth.

Tambah Muhyiddin, perkara penting lain yang memerlukan keseimbangan adalah dalam sektor ekonomi dengan pengalaman lalu membuktikan keseimbangan tersebut mampu mengurangkan impak krisis global.
Katanya, sebagai contoh apabila permintaan untuk sektor pembuatan merudum ketika krisis kewangan global tidak lama dahulu, sektor komoditi utama seperti kelapa sawit dan petroleum pula mendapat permintaan kukuh.

‘‘Begitu juga sektor perkhidmatan yang mampan adalah penting dalam memperluaskan keperluan domestik, yang membentuk komponen terbesar dalam ekonomi negara,” jelasnya.

Dalam syarahannya itu juga, Muhyiddin berkata, usaha melakukan transformasi sesungguhnya mempunyai halangan dan cabarannya malah realiti dan pengalaman lalu menunjukkan strategi yang dilihat baik di atas kertas tidak dapat direalisasikan.

Katanya, ini disebabkan pelbagai perubahan yang berlaku, kekurangan sumber atau kegagalan di peringkat pelaksanaan.

‘‘Namun saya penuh yakin, Malaysia mampu mencapai wawasannya walaupun mempunyai banyak cabarannya. Kita telah berjaya sebelum ini dan saya percaya kita akan terus mencapai kejayaan,” ujarnya. – Utusan

Kapitalisme Punca Kegagalan

Benar kata TPM, kita masih gagal mencapai keseimbangan ekonomi dan jurang antara kaya dan miskin semakin membesar. Kegagalan ini hakikatnya merupakan hasil dari sistem kapitalisme yang penuh dengan kepincangan dan kesalahan. Sistem ciptaan manusia ini ternyata gagal memberi kesejahteraan kepada umat malah jauh menyimpang dari ajaran Islam dengan membakul sampahkan syariat Allah swt.

Sistem Ekonomi Islam bagaimanapun, adalah dari Allah yang Maha Mengetahui. Sistem ekonomi Islam merangkumi seluruh aspek aktiviti perekonomian manusia. Namun, sebahagian besar daripada kita akan hanya mengaitkan sistem ekonomi Islam dengan zakat. Bahkan tidak kurang juga ada, atas sebab kejahilan, yang berpandangan, bagaimana mungkin zakat (yang dalam pandangan mereka adalah sistem ekonomi Islam) yang hanya 2.5% itu dapat bertindak sebagai pemacu perkembangan ekonomi umat?

Sistem Ekonomi Islam bukanlah hanya zakat, bahkan meliputi seluruh aktiviti perekonomian termasuk pengaturan pemilikan dan pengelolaan serta pengagihan kekayaan yang jelas dan manusiawi. Setiap warga Negara Islam, termasuk kafir zhimmi akan memperoleh hak asasi seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tidak akan ada dikriminasi dan pilih kasih. Perintah Allah swt akan diterapkan sepenuhnya demi memperoleh keredhaannya.

Sesungguhnya kesejahteraan umat sudah pasti terlaksana jika Islam ditegakkan di tengah-tengah kehidupan dan ini telah terbukti secara empirik ketika Islam diterapkan dengan sistem Khilafah. Terlalu banyak contoh yang boleh dilihat di sepanjang sejarah kekhilafahan Islam bagaimana penerapan sistem ekonomi Islam menjadikan rakyat hidup dengan penuh kesejahteraan.

Inilah yang perlu diperhatikan dan dikaji oleh TPM, para cerdik pandai dan umat Islam umumnya. Tidak akan dapat dilihat kebaikan hakiki tanpa Islam dan tidak akan dapat dirasai  Islam secara syumul tanpa penerapannya yang kaffah.