Pekerja Mengamuk Kerajaan Lari Dari Tanggungjawab
Kes ini sebenarnya terkait dengan perlaksanaan polisi gaji minimum yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pada 1 Mei 2012 yang lalu. Pertelingkahan ini berlaku kerana sebelum itu gaji yang telah dipersetujui bersama atau gaji tawaran majikan adalah di bawah daripada nilai tersebut. Apabila skim gaji minimum diperkenalkan, majikan terpaksa melakukan penyelarasan gaji yang bukan sahaja terkena kepada pekerja yang gajinya di bawah RM900, tetapi termasuk juga gaji-gaji kesemua pekerja yang lain. Ini sangat membebankan majikan jika sekiranya prestasi syarikat tersebut berada di tahap yang tidak memuaskan. Sekiranya prestasi syarikat tersebut adalah baik, majikan mungkin sahaja ingin mengaut keuntungan yang diperolehi dan tidak bersedia untuk mengongsikannya dengan para pekerja upahannya yang lain.
Dalam Islam, kontrak kerja dinamakan sebagai ijarah. Pekerja dinamakan ajir dan majikan atau pihak yang mengupah dan memberikan gaji dinamakan musta’jir. Musta’jir ini boleh jadi individu, syarikat swasta atau negara. Ijarah didefinisikan sebagai akad/transaksi atas manfaat/perkhidmatan yang dilakukan oleh ajir dengan memperoleh imbalan berupa ujrah (gaji/upah) daripada musta’jir. Islam telah memerintahkan kepada kedua-dua belah pihak (ajir dan musta’jir) untuk berunding dalam menentukan ujrah sebelum dilakukan sesuatu pekerjaan, sebagaimana sabda Nabi SAW,
“Apabila salah seorang di antara kalian mengupah seorang ajir, maka hendaklah ia memberitahu upahnya kepada ajir tersebut” [HR Daruquthni].
Imam Ahmad juga meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Sa’id bahawa:
“Nabi SAW melarang mengupah seorang ajir sehingga upahnya jelas (diberitahu terlebih dahulu) terhadapnya”.
Dalam kes ini, pemilik kilang atau majikan telah melakukan kontrak dengan para pekerja sebelum kerajaan memperkenalkan polisi gaji minimum. Di dalam kontrak tersebut, setiap pekerja (ajir) itu memberikan “manfaat” yang berbeza-beza sesuai dengan bentuk pekerjaan, pengalaman, kemahiran dan lain-lain. Jumlah gaji/upah (ujrah) tadi tidak boleh diseragamkan dengan jumlah yang sama bagi semua pihak yang berakad. Oleh itu, Islam telah menetapkan bahawa penetapan ujrah tersebut hanya dipersetujui atau disepakati di antara dua pihak yang berakad sahaja, yakni ajir dan musta’jir. Pihak ketiga atau mana-mana pihak yang tidak ada kena-mengena dengan akad tidak boleh masuk campur atau menetapkan berapakah ujrah yang sepatutnya dibayar kepada para pekerja. Pemerintah selaku pihak yang tidak bersangkut-paut dengan akad tersebut tidak boleh dan tidak ada hak untuk campur tangan dalam penentuan ujrah antara ajir dan musta’jir atas sebarang alasan sekalipun.
Penentuan polisi gaji minimum ini adalah satu usaha di dalam sistem kapitalis untuk mengurangkan beban pekerja terkait dengan meningkatnya kos hidup pekerja. Sekiranya tidak dilakukan mungkin akan menyebabkan upah yang diterima tidak cukup untuk menampung kos hidup yang menyebabkan pekerja menderita yang akhirnya akan memberontak dengan melakukan piket, mogok petisyen dan sebagainya. Ia juga adalah tampalan kepada kepincangan sistem ciptaan manusia untuk mengekang bangkitnya golongan sosialis yang kononya membela pekerja dan memindahkan tanggungjawab Negara menjaga kesejahteraan rakyat kepada majikan atau pihak swasta. Maknya kerajaan telah masuk campur dalam urusan kontrak antara pekerja dan majikan yang telah dilepaskan oleh Islam kepada persetujuan kedua belah pihak.
Kekecohan yang berlaku antara majikan dan pekerja setelah diperkenalkan polisi gaji minimum sekarang ini adalah disebabkan oleh kerajaan yang mengamalkan sistem ekonomi sekular kapitalis. Sekiranya sistem Khilafah didirikan, sistem perburuhan Islam dapat diterapkan maka Insya Allah tidak akan wujud persoalan atau krisis perburuhan sebagaimana yang berlaku dalam sistem kapitalis hari ini. Tidak akan ada pemogokan buruh, piket, tuntutan kenaikan gaji dan sebagainya kerana kedua-dua pihak akan terikat dengan hukum syarak dalam kontrak ijarah sepertimana yang ditetapkan oleh Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu” [TMQ al-Maidah (5):1].
Masalah sebegini tidak akan muncul dalam Islam kerana ia telah diselesaikan semasa kontrak tersebut dimeterai. Sebarang perubahan akan dilakukan atas persetujuan bersama antara pekerja dan majikan. Sekiranya perselisihan tidak dapat diselesaikan atau salah satu pihak tidak bersetuju, maka jalan yang terbaik adalah dengan membatalkan akad/kontrak berkenaan dan pekerja tersebut boleh mencari majikan yang lain. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, sesungguhnya langkah yang diambil untuk menetapkan gaji minimum oleh kerajaan merupakan suatu kezaliman kerana ia bercanggah dengan hukum Islam. Lebih zalim lagi apabila kerajaan menghukum pula para majikan yang tidak mematuhi ketetapan ini.
Sumber: Kosmo, 10/03/13