Pelajar buang bayi serah diri
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Mohd Jasmani Yusoff, pelajar terbabit yang tinggal di Balok dibawa ibunya ke IPD, di sini dan mengakui perbuatannya membuang mayat bayi berkenaan. “Dia ditahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Pelajar terbabit dihantar untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya di sini, semalam.
Mohd Jasmani berkata, pelajar itu mendakwa dia dirogol seorang kenalan sehingga mengandung. Kelmarin, pekerja kilang, Suhaimi Ibrahim dan rakannya, Mohd Hafiz Ismail menemui mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan dan masih bertali pusat yang dibungkus dengan selendang putih di pekarangan rumah sewa di Taman Balok Makmur, kira-kira jam 7.30 pagi. Turut ditemui bersama mayat bayi itu ialah sekeping nota bertulis: ‘tolong kebumikan. Terima kasih, saya sayang dia tapi tak berupaya untuk lakukan pengebumian. Saya hargai pertolongan anda’.
Mohd Jasmani berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan bayi terbabit baru dilahirkan antara empat hingga lima jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan bayi.
Sumber : Berita Harian, 30/05/09
1 Perasaan Semuanya Boleh
Dicelah-celah kesibukan negara dengan nombor 1, di mana semuanya 1 terbongkar berita bagaimana seorang pelajar menengah agama yang berusia cukup muda, seawal 16 tahun membuang bayinya yang dakwanya merupakan hasil dari perbuatan rogol oleh kenalan lelakinya. Samada rogol ataupun zina, bukanlah isu yang utama. Apa yang jelas, kita sedang menyaksikan betapa suram dan celarunya kehidupan umat Islam hari ini. Inilah sebahagian dari siri kisah di sebalik 1001 satu cerita kehidupan umat Islam saat ini – suatu kehidupan yang cukup parah sebenarnya.
Di manakah ketakwaan individu pelajar sekolah agama tersebut apabila mempunyai kenalan lelaki yang bukan mahram bagi dirinya sehinggakan boleh berlaku perbuatan rogol? Pergaulan yang tidak syari’ itu jelas sekali membawa keburukan kepadanya. Apakah pelajar sekolah agama ini tidak pernah membaca firman Allah SWT:
“Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh? [TMQ At Takwiir (81) : 8-9].
Di manakah keperihatinan keluarganya di dalam memerhatikan dan mengawal kehidupan dan pergaulan anaknya? Firman Allah SWT
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [TMQ At Tahriim (66) : 6].
Dan yang lebih besar dari itu adalah di manakah tanggungjawab negara? Apakah kamu sedar wahai penguasa umat Islam bahawa sistem kehidupan yang kamu terapkan saat ini telah memuntahkan larva api yang membakar dan memusnah kehidupan umat Islam saat ini. Takutlah kamu dengan azab Allah! Campakkanlah sistem sekular yang masih kamu pertahankan ini. Sedarlah bahawa sistem yang kamu terapkan saat ini adalah penyumbang terbesar dan paling utama kepada apa yang berlaku pada hari ini.
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaahaa (20) : 124]