Pelihara aurat satu kewajipan bukan pilihan

Berita:

BENTONG 27 Nov. – Kementerian Belia dan Sukan sedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi membincangkan isu pemakaian menutup aurat dalam kalangan atlet.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan itu, berharap kerajaan negeri turut melakukan perbincangan bersama atlet.

Sumber: utusan.com.my

Komentar:

Sudah menjadi kewajipan pada setiap individu Muslim yang mukallaf untuk menutup aurat baik lelaki mahupun wanita. Dengan kata lain, ini merupakan perintah daripada Allah SWT dan tidak ada alasan apa pun yang boleh menyanggah kewajipan ini. Sama ada dia sebagai seorang menteri atau apa-apa sahaja kerjaya sekalipun, tidak terlepas daripada perintah dan larangan Allah SWT. Kita sebagai hambanya yang kerdil wajib patuh dan taat.

Seperti mana kita sedia maklum, pemakaian atlet sukan di Malaysia ini tidak ‘patuh syariah’. Hanya kerana ingin bersukan, hukum berkaitan dengan aurat diabaikan dan tidak diendahkan. Hal ini merupakan satu pelanggaran yang jelas terhadap hukum Islam. Oleh itu, pengumuman Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan pemakaian patuh syariah bagi atlet pasukan negeri itu bermula tahun hadapan sememangnya wajar dipuji. Namun, perkara ini menjadi isu apabila Menteri Belia dan Sukan menyanggah perlaksanaan ini sepertimana yang beliau tulis di media sosial. Kenyataan yang ditulis tersebut antaranya agar menghormati pilihan para atlet yang menjadi ‘hero dan heroin’ negara. Tambahnya lagi, atlet-atlet tersebut telah banyak menyumbang pingat untuk negara dan beliau akan mempertahankan para atlet tanpa mengira tentang aspek pemakaian.

Kenyataan tersebut sememangnya sangat keterlaluan dan apa yang lebih mengecewakan ialah ia dinyatakan oleh seorang menteri yang beragama Islam. Hal ini menggambarkan cara fikir seseorang yang lebih mementingkan kepada keuntungan duniawi sehingga sanggup meremehkan soal hukum halal haram. Peranan seorang pemimpin yang beragama Islam seharusnya mengajak rakyat di bawahnya agar melaksanakan aturan Allah SWT, bukannya membiarkan atau menggalakkan kemungkaran hanya semata-mata kerana pingat emas yang langsung tidak akan menyelamatkan diri daripada azab Allah SWT.

Di samping itu, kewajaran para atlet sukan agar menutup aurat ini tidak boleh menutup mata kita tentang persoalan tentang hukum berkaitan sukan itu sendiri. Sukan sememangnya tidak dilarang dalam Islam. Hal ini disentuh oleh Islam dalam perkara yang berkaitan dengan lahwun. Tetapi, aktiviti kesukanan yang ada dalam dunia hari ini dikategorikan dalam perbincangan berkaitan lahwun munadzzomun (hiburan dan permainan yang terorganisasi) yang jelas telah diharamkan dalam Islam (bacaan lanjut boleh rujuk https://mykhilafah.com/sn073-bola-sepak-pesona-yang-melalaikan/). Ini belum lagi masuk dalam hal-hal lain yang boleh dilihat apabila berlangsungnya sesuatu temasya sukan baik diperingkat daerah, negeri, negara ataupun di peringkat antarabangsa seperti ikhtilat, unsur perjudian dan lain-lain lagi yang selalu berlaku apabila berlangsungnya sesuatu temasya sukan.

Oleh itu, hukum keterlibatan para atlet dalam bidang kesukanan yang terorganisasi ini juga perlu diberikan perhatian agar dapat menghindari diri daripada aktiviti keharaman dan sia-sia

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia