Menutup aurat: Antara Hak dan Kewajipan

Baru-baru ini agak heboh berita seorang guru wanita muallaf yang mengenakan tudung tidak dibenarkan berkhidmat di sekolahnya. Ekoran dari itu, Sisters in Islam (SIS) melalui laman sesawangnya  telah menerbitkan sebuah artikel tulisan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) berjudul ‘Hak seorang wanita untuk memilih pakaiannya’ (http://sistersinislam.org.my/news.php?item.1252.120).

Ternyata JAG telah menggunakan isu ini untuk mempromosikan kebebasan atas tiket hak asasi manusia (HAM).  JAG berpandangan bahawa seorang Muslimah tidak wajar disekat haknya untuk bertudung, namun pada  masa yang sama hak untuk tidak bertudung apalagi menutup aurat juga tidak sepatutnya disekat. Umum mengetahui bahawa dasar liberalisme bertunjangkan kebebasan telah sekian lama menjadi prinsip JAG.

Mereka menyelar tindakan pihak tertentu menghalang seorang muallaf memakai tudung, satu kenyataan yang nampaknya baik, namun, apa yang sebenarnya ingin dibangkitkan oleh mereka adalah hak dan kebebasan seseorang untuk berpakaian. Dengan kata lain, seseorang Muslimah tidak boleh dipaksa sama ada dia mahu bertudung atau tidak. Dia berhak dan bebas memilih. Inilah motif utama yang ingin disampaikan oleh SIS dan JAG kepada para Muslimah yakni kebebasan untuk berpakaian, bertingkah laku, bercakap, beragama dan kebebasan-kebebasan yang lain dalam seluruh aspek kehidupan tidak patut disekat. Pandangan seumpama ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana dalam negara demokrasi, kebebasan adalah perkara asas dan prinsip yang mesti diperjuangkan.

Persoalannya, apakah benar pandangan mereka yang mengatakan bahawa memakai tudung (menutup aurat) itu adalah “hak” seseorang Muslimah dan ia dibenarkan (dibebaskan) untuk memilih sama ada ingin memakainya atau tidak?

Jika dilihat dari perspektif demokrasi, semua orang tahu bahawa jawapan kepada persoalan di atas adalah “ya”. Namun, sebagai seorang Muslim, kita wajib melihat jawapannya dari perspektif Islam, bukan dari selainnya.

Menutup aurat adalah kewajipan ke atas seluruh Muslim, di mana wanita dan juga lelaki Islam diwajibkan menutup aurat mengikut batas-batas yang telah ditentukan oleh syarak. Khusus untuk wanita, Allah SWT memerintahkan mereka untuk menutup aurat melalui firmanNya,

“Katakanlah kepada perempuan yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya…” [TMQ an-Nur (24):31].

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin: “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ al-Ahzab (33):59].

Perintah Allah SWT, “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ an-Nur (24):31] jelas sekali menunjukkan bahawa menutup aurat secara sempurna adalah satu “kewajipan” yang telah diperintahkan oleh Allah SWT ke atas setiap Muslimah dan ia bukannya satu “hak” atau pilihan yang boleh dipilih oleh Muslimah, apatah lagi yang boleh berubah-berubah mengikut hawa nafsu masing-masing.

Hal ini sebagaimana “kewajipan” ke atas setiap individu Muslim untuk menunaikan solat, puasa, membayar zakat dan sebagainya. Kesemuanya ini adalah perintah Allah SWT yang merupakan kewajipan dan bukannya pilihan atas manusia.

Sebagaimana firman Allah SWT,

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka”
[TMQ al-Maa’idah (5):49].

Ternyata, idea kebebasan dan liberalisme yang terkandung dalam demokrasi adalah sebuah idea yang sesat lagi menyesatkan. Demokrasi merupakan sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat yang memberikan hak membuat undang-undang atau keputusan kepada manusia. Baik dan buruk, malah halal dan haram ditentukan oleh manusia itu sendiri. Inilah yang membezakan antara demokrasi dan Islam di mana baik dan buruk, halal dan haram di dalam Islam adalah ditentukan oleh wahyu, bukannya oleh manusia. Sesungguhnya kerana demokrasilah, kaum wanita khususnya dan kaum Muslimin amnya telah kehilangan maruah dan kemuliaan mereka dan terjerumus ke lembah kehinaan kerana meninggalkan perintah Allah.

Kita yakin bahawa kebanyakan para Muslimah tidak akan terpengaruh dengan fahaman serong yang dibawa oleh kelompok liberal yang mengatakan bahawa menutup aurat itu adalah satu hak, kerana menutup aurat itu sesungguhnya adalah satu kewajipan dan hal ini adalah termasuk dalam perkara ma’lum min ad-deen bi adh- dharurah (perkara penting dalam agama yang tidak ada alasan untuk tidak mengetahuinya).