Pembatalan Better Beer Festival 2017: Antara Mampu dan Mahu
Akhirnya DBKL telah membuat keputusan untuk menolak penganjuran Better Beer Festival 2017 yang dirancang diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di Solaris Damansara. Terdahulu, penganjuran festival tersebut mendapat kecaman hebat daripada parti politik dan NGO-NGO Islam kerana dilihat boleh mengundang kemarahan umat Islam di negara ini. Oleh yang demikian, pengumuman yang dibuat oleh DBKL dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada 18 September menerima pujian dan penghargaan daripada pihak yang menentang penganjurannya.
Namun dalam masa yang sama, penolakan tersebut turut mendapat tentangan daripada lima orang wakil rakyat pembangkang, empat daripada DAP manakala seorang daripada PKR. Dalam sebuah kenyataan bersama yang dikeluarkan, mereka mendakwa DBKL cuba menjadi jaguh agama tanpa ‘mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur’ [Malaysiakini, 18/9/2017].
Sudah semestinya kita sebagai umat Islam menghargai tindakan DBKL menolak penganjuran festival ibu segala kemaksiatan tersebut. Hal ini kerana penganjurannya yang telah berlangsung semenjak 2011 itu merupakan perkara yang haram di sisi Islam, serta membuka ruang kepada segala kemaksiatan lainnya. Di samping itu, ia sungguh memalukan apabila diadakan di sebuah negara yang bermajoriti Muslim seperti di Malaysia.
Keharaman arak ke atas umat Islam merupakan suatu perkara yang jelas di dalam Islam, bahkan syariat Islam telah menegaskan keharaman untuk terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan arak, sebagaimana dinyatakan dalam hadis berikut;
“Diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak: orang yang memerah arak, orang yang diminta arak diperahkan untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak, orang yang membeli arak, dan orang yang meminta dibelikan arak untuknya” [HR Ibnu Majah dan Tarmizi].
Pihak yang membantah penolakan penganjuran festival ini berhujah bahawa penganjurannya adalah untuk pengunjung dan peniaga bukan Islam dan pelancong asing, bukannya untuk menggalakkan umat Islam untuk meminum arak. Namun persoalan tersebut langsung tidak relevan bagi kita sebagai Muslim. Ini kerana pesta amalan syaitan itu merupakan syiar kekufuran dan kemaksiatan yang haram hukumnya dijalankan dalam sesebuah negeri kaum Muslimin. Isu semangat muhibah langsung tidak boleh ditimbulkan di sini apabila melibatkan perkara halal-haram di dalam Islam.
Di samping itu, mudarat arak kepada individu dan masyarakat juga wajar diketengahkan di saat suara-suara sumbang cuba menggalakkan penganjuran festival ini atas dasar semangat muhibah dan pelancongan. Pengambilan arak sebenarnya boleh mengganggu kewarasan peminumnya, sedangkan salah satu maqasid syariah menekankan tentang peri pentingnya memelihara akal. Di saat kehilangan kewarasan itu, peminum arak tidak mampu membuat pertimbangan sehingga boleh menyebabkan mereka bertindak liar dan ganas serta di luar batas.
Ketagihan arak juga menyebabkan keluarga porak-peranda dan membuka ruang kepada keganasan rumah tangga. Tidak cukup dengan itu, kematian juga boleh terjadi dalam kemalangan yang berlaku akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol. Dari sudut kesihatan juga, pengambilan arak boleh menyebabkan liver cirrhosis (kerosakan tisu hati), kerosakan sistem saraf dan lain-lain.
Jika ada sekalipun manfaat daripada pengambilan arak, apa yang pasti terdapat lebih banyak mudarat padanya berbanding manfaat dan yang lebih penting ia tidak akan sama sekali mengubah status keharaman pengambilannya. Allah SWT berfirman,
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…” [TMQ al-Baqarah (2):219].
Antara Mampu dan Mahu
Tindakan “pengharaman” festival ini oleh DBKL menunjukkan bahawa pihak berkuasa sebenarnya mampu untuk mencegah kemungkaran yang berleluasa di negara ini. Bahkan sebenarnya, kuasa yang ada pada tangan kerajaan (baik negeri mahupun pusat) jauh lebih besar daripada itu. Persoalannya, mengapakah masih banyak lagi kemaksiatan yang berleluasa di negara ini? Kilang arak masih dibuka, penghasilannya pada skala industri, manakala pusat perjudian dan kelab-kelab malam yang menyediakan arak terus aktif dan dibiarkan beraktiviti sampai larut malam. Kemaksiatan-kemaksiatan ini terus diberi dan diperbaharui lesennya, walhal DBKL mampu untuk menutupnya!
Pokoknya, bukanlah kerajaan tidak mampu untuk membanterasnya, sebaliknya tiada kemahuan dan kesungguhan daripada mereka untuk memastikan pintu maksiat ditutup sepenuhnya. Seandainya wujud kemahuan dan kesungguhan, sudah tentu sistem Islam telah diterapkan secara kaffah dan kemaksiatan dibanteras sehabis-habisnya. Malangnya, mereka memilih untuk terus kekal dalam sistem demokrasi sekular kapitalis yang diterapkan pada hari ini yang membenarkan segala keharaman menurut kemahuan manusia. Jelaslah betapa sistem demokrasi yang membuka ruang kepada kemaksiatan-kemaksiatan berlesen ini kerana kuasa diletakkan di tangan manusia, bukannya di tangan Allah. Atas nama demokrasi, semangat muhibah, idea kebebasan, hak asasi manusia dan seumpamanya, segala keharaman boleh dihalalkan dalam sistem kufur buatan manusia ini. Sedarlah wahai umat Islam!