Pembuangan bayi, sampai bila?
Pada hujung bulan lepas, kakitangan Klinik Kesihatan Ayer Baloi, Jalan Parit Panjang, Pontian, Johor terkejut dengan penemuan janin seorang bayi lelaki dalam lubang tandas di pusat berkenaan. Ketua Polis Daerah Pontian, Pemangku Superintendan Zakaria Abdul Rahman seperti dilaporkan akhbar memberitahu yang janin itu ditemui setelah menerima aduan mengenai tandas tersumbat. Doktor yang bertugas mengesahkan objek yang ditemui dalam lubang tandas itu merupakan janin yang berusia dalam lingkungan enam bulan dengan lengkap mempunyai kepala, tangan, kaki dan kemaluan.
Walaupun kes mengenai pembuangan janin dan bayi ini sering dilaporkan dan kerajaan telah mengambil beberapa langkah mengatasinya, namun ternyata ia tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Menurut statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kes pembuangan bayi didapati sedikit menurun bagi tempoh Januari hingga julai tahun lalu iaitu 53 kes, berbanding 90 kes bagi tempoh sama tahun 2013. Berdasarkan statistik tersebut, secara purata pada tahun lalu terdapat 5 kes pembuangan bayi sebulan atau 1 kes seminggu dan ini bukanlah satu angka yang boleh dipandang remeh.
Secara mudahnya kita boleh memahami bahawa pasangan yang berkahwin dan mendapat zuriat dari hasil perkahwinannya yang sah tidak akan sanggup melakukan hal ini kerana kelahiran bayi merupakan satu hal yang sangat ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan. Walau miskin sekali pun, pasangan yang telah bernikah tidak akan sanggup untuk membuang anak mereka sendiri kerana naluri yang ada pada mereka, selain kelahiran anak yang menjadi penghubung kebahagiaan suami dan isteri.
Justeru, kes pembuangan bayi ini tidak dapat dipisahkan sedikit pun dari kes perzinaan dan kehamilan di luar perkahwinan yang berlaku dalam masyarakat. Demi menutup malu, perempuan yang melahirkan anak zina tersebut sanggup ‘membunuh’ hasil kandungannya sendiri. Inilah manusia yang telah terlanjur dan hilang kewarasannya, lalu melakukan dosa demi dosa.
Perzinaan dan pergaulan bebas memang tidak dapat dipisahkan, kerana perzinaan sering terjadi hasil dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Lelaki dan perempuan mana sekalipun yang menjaga aurat dan kehormatan masing-masing tidak akan terjebak dalam pergaulan tanpa batas, apatah lagi yang berakhir dengan perzinaan. Perzinaan biasanya akan bermula dengan lelaki dan perempuan yang tidak menjaga keimanan dan ketakwaan masing-masing. Biasanya pasangan zina telah saling mengenali, kemudian duduk berdua-duaan tanpa mahram (khalwat) di tempat tertutup dan akhirnya dirasuk syaitan sehingga melakukan perbuatan keji tersebut.
Manakala pergaulan bebas yang berlaku tidak dapat dipisahkan sedikit pun dengan sistem yang mengatur pergaulan antara dua golongan berlainan jantina itu. Sistem yang membenarkan, apatah lagi yang menggalakkan kebebasan dan pergaulan tanpa batas seperti sistem kufur demokrasi pada hari ini, sudah tentu akan menatijahkan perkara yang diharamkan oleh Islam seperti khalwat dan perzinaan.
Jadi, selagi sistem seperti inilah yang mengatur kehidupan manusia, maka selagi itulah kerosakan demi kerosakan akan terus berlaku. Pembuangan bayi hanyalah salah satu kerosakan dan ribuan kerosakan yang terhasil dari sistem demokrasi yang mengatur manusia berdasarkan akal, dan bukan berdasarkan wahyu ini!
Persoalannya, siapakah yang menetapkan dan menerapkan sistem seperti ini untuk diguna pakai jika bukan kerajaan? Jadi, jangan haraplah pembuat dan pelaksana sistem ini akan terlepas daripada dosa pembuangan bayi, walaupun bukan mereka yang membuangnya secara langsung, tetapi kerana ‘sumbangan’ merekalah, berlakunya perbuatan yang terkutuk itu!!!