Pemburuan PATI: zalimnya sebuah negara-bangsa
Katanya, setiap PATI yang ditahan dalam operasi tersebut selepas ini bukan sahaja akan diusir dalam tempoh tujuh hari sebaliknya maklumat biometrik mereka akan direkodkan untuk disenarai hitam daripada masuk semula ke Malaysia pada masa akan datang.
Inilah kezaliman sebuah negara-bangsa (nation-state) di mana pemerintah menganggap para pendatang seolah-olah sebagai musuh, sehingga perlu diburu habis-habisan, ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal dalam keadaan yang amat menyedihkan. Padahal, majoriti daripada pendatang tersebut adalah kaum Muslimin, saudara seakidah mereka sendiri, yang datang ke Malaysia demi mencari sesuap nasi. Persoalan persaudaraan dan kesamaan akidah sudah tidak wujud lagi, atas alasan negara-bangsa.
Inilah antara kejayaan kuffar penjajah di dalam memisahkan kesatuan umat Islam dan menimbulkan sifat permusuhan sesama Muslim. British menghadiahkan kemerdekaan kepada Malaysia dan banyak lagi negara umat Islam lainnya, manakala Belanda melakukan hal yang sama kepada Indonesia. Hal itu dilakukan penjajah kuffar itu setelah mereka melakar sempadan palsu antara Malaysia dan Indonesia dan menghalang penduduk keduanya dari memasuki negeri yang lain kecuali dengan izin khusus (pasport).
Begitu juga dengan Selatan Thailand, Selatan Filipina, Brunei, India dan lain-lain, yang kesemuanya dicerai-beraikan oleh kuffar penjajah dan diberikan sempadan-sempadan palsu agar umat Islam kekal berada dalam perpecahan. Walhal Malaysia, Indonesia dan kesemua negeri ini dahulunya merupakan negeri yang satu dan penduduknya sering berpindah-randah dari satu negeri ke negeri lainnya tanpa sebarang sekatan. Malah, Zahid Hamidi sendiri, asal keturunannya adalah daripada Indonesia dan masih mempunyai ramai sanak-saudara di sana.
Lalu, atas dasar apakah kerajaan menghalau dan melayan buruk para pendatang Muslim yang datang ke Malaysia ini? Tentunya atas dasar assabiyyah dan wathaniyyah yang telah ditanamkan oleh puak kuffar penjajah sejak dulu, yang diharamkan oleh Islam! Di manakah penyatuan umat yang sering dimomokkan oleh kerajaan selama ini apabila saudara seakidah sendiri diburu dan dihalau seperti haiwan?
Di dalam Negara Khilafah nanti, Khilafah akan membenarkan, malah akan membuka pintu negara dan kewarganegaraan kepada setiap Muslim yang ingin datang untuk bertempat tinggal di dalam Negara Khilafah. Malah sekiranya orang kafir ingin datang untuk menetap dan menjadi kafir zimmi, pun akan dibenarkan oleh Khilafah. Mereka akan diberikan kewarganegaraan dengan mudah dan akan dilayan sebagai warganegara. Dengan kata lain, hak dan tanggungjawab mereka adalah sama dengan warganegara yang sedia ada.
Justeru, sudah sepatutnyalah kaum Muslimin, apatah lagi para pendatang, memahami hal ini dan menolak pemerintah dan sistem pemerintahan demokrasi yang diwarisi dari kaum penjajah ini, kerana disebabkan oleh sistem inilah, umat Islam masih berpecah sehingga sekarang dan para pemimpin kehilangan segala sifat persaudaraan dan perikemanusiaan.