Pemimpim Dunia Iktiraf 1Malaysia! Bagaimana Dengan Allah?

altDATUK Seri Najib Razak berkata, konsep 1Malaysia yang menjadi teras pentadbiran baru negara turut mendapat perhatian negara asing yang menyifatkannya sebagai amat bersesuaian bagi mencerminkan hasrat Malaysia untuk terus maju pada masa depan. Perdana Menteri berkata, pendekatan ‘Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’ yang menjadi antara teras 1Malaysia juga dilihat negara asing sebagai asas untuk Malaysia memperkukuhkan negara, khususnya dalam konteks memupuk perpaduan mantap antara kaum. “Saya berasa bangga apabila mengetahui pemimpin Brunei contohnya, amat mengikuti rapat setiap perkembangan terkini yang berlaku di Malaysia. Saya juga amat tersentuh apabila mereka juga boleh menghafal slogan “Satu Malaysia-Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”.
“Mereka juga memberitahu saya bahawa slogan itu amat bersesuaian bagi menggambarkan pelbagai usaha kerajaan untuk terus maju pada masa depan, khususnya dalam konteks hubungan antara kaum,” katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Malaysia di sini, pagi semalam. Majlis ramah mesra yang dihadiri kira-kira 250 rakyat Malaysia yang menetap, bekerja dan berniaga di sini adalah acara terakhir dalam program lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke negara ini. Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim; Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. Kelmarin, Perdana Menteri yang turut diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan delegasi Malaysia diraikan dalam satu majlis santapan diraja oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman sejurus selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata selama lebih sejam.

Dalam ucapannya, Najib juga memberitahu rakyat Malaysia di sini, bahawa hubungan Kuala Lumpur-Bandar Seri Begawan kini berada pada tahap yang sangat baik dan meminta mereka turut berganding bahu dengan kerajaan untuk terus memperkukuhkannya. “Jika kita mampu menunjukkan kekuatan dalaman kita, maka potensi Malaysia sebagai sebuah negara amat besar,” katanya sambil menyeru sektor swasta kedua-dua negara supaya mengorak langkah membentuk kerjasama yang boleh memanfaatkan sebagai menyambut baik isyarat kerajaan yang mahu meningkatkan lagi hubungan dua hala itu. Perdana Menteri berkata, sebagai jiran akrab sesama Asean, adalah penting untuk kedua-dua negara mengekalkan hubungan baik.

Sumber : Berita Harian, 01/05/09

Pemimpim Dunia Iktiraf 1Malaysia! Bagaimana Dengan Allah?

Ya, kadang-kadang manusia suka syok sendiri. Diiktiraf kerana perjuangan ashobiyyah negara bangsa. Mereka rasa bangga dengan pengiktirafan yang diberikan oleh manusia tetapi jarang melihat adakah apa yang mereka lakukan itu mendapat redha Allah SWT ataupun tidak. Bagi seorang muslim dan yang mengaku beriman kepada Allah SWT, matlamat yang paling utama dari matlamat-matlamat yang lain adalah mendapatkan keredhaan disisiNya. Setiap apa yang dilakukan itu perlulah senantiasa mendapat redhaNya bukan murkaNya. Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan setiap dari kita dengan sabdanya,

“Barang siapa yang beramal bukan di atas petunjuk kami, maka amalan tersebut tertolak.” [Muttafaqun alaihi, dari lafazh Muslim].

Justeru itu, perjuangan 1Malaysia ini perlulah dilihat dari sudut Islam. Apakah ianya sesuatu yang selari dengan perintah Allah SWT ataupun tidak. Lihatlah kepada apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika membawa Islam dan menegakkan Islam di dalam sirah kehidupan baginda SAW itu sendiri. Rasulullah SAW datang di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah untuk menghapuskan fahaman ashobiyyah dan menyatukan manusia atas dasar aqidah Islam. Baginda menegakkan Negara Islam di Madinah di atas dasar aqidah Islam. Nabi SAW tidak memperjuangkan negara ashobiyyah, tidak sebagaimana negara-negara umat Islam saat ini yang asasnya berdiri di atas dasar ashobiyyah. Ini termasuklah seruan 1Malaysia yang pada hakikatnya adalah seruan berbentuk asobiyyah yang sepatutnya ditinggalkan oleh umat Islam walaupun ribuan pemimpin dunia mengiktirafnya. Selayaknya, Najib yang saat ini sedang memegang amanah kekuasaan mempromosikan idea 1Khilafah untuk menyatukan dunia umat Islam di bawah naungan Khilafah bagi meraih keredhaan disisiNya. Jika inilah yang dilakukan oleh Najib insyaAllah usaha-usahanya akan mendapat pengiktirafan dari Allah SWT dan juga rasulNya.