Pemimpin umat Islam Gagal Memahami Misi Utama Mereka
TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini bagi melakukan lawatan empat hari dalam misi pelaburan khusus ke Jepun.
Misi yang bertujuan menarik pelaburan Jepun di dalam bidang elektronik canggih, teknologi automotif hijau, peralatan dan komponen pengangkutan, petrokimia dan produk kimia serta produk perubatan dan makanan.
Beliau dijadual menemui dan mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden dan Pengerusi beberapa syarikat Jepun di dalam usaha untuk menarik peningkatan pelaburan ke Malaysia. Muhyiddin dan isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, disambut semasa tiba di hotel oleh kakitangan Kedutaan Malaysia, kakitangan Konsulat Jeneral dan para pegawai Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).
Selain Tokyo, yang dikenali sebagai salah satu daripada tiga “pusat kuasa” ekonomi dunia bersama-sama dengan London dan New York, Muhyiddin akan turut melawat Osaka, yang dari segi sejarahnya merupakan pusat komersial Jepun dan pusat kawasan metropolitian kedua terbesar Jepun, iaitu Keihanshin.
Ini lawatan kerja pertama beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Bernama
Sumber: Berita harian 071209
Pemimpin umat Islam Gagal Memahami Misi Utama Mereka
Para pemimpin sekular umat Islam hari ini telah gagal dan akan terus gagal memahami misi utama seorang Muslim selagi mereka berpegang kepada pemikiran sekular, sehinggakan mereka tidak nampak dan menyedari tujuan mereka diberikan kekuasaan oleh Allah SWT. Lihatlah apa yang ada dalam pemikiran para pemimpin sekular hari ini. Sebagai contoh, Najib pergi ke Amerika baru-baru ini dengan misi pelaburannya kini TPM pula melawat ke Jepun juga dengan misi pelaburannya. Inilah bentuk utama polisi luar negara bagi mana-mana negara Kapitalisme. Ukuran manfaat menjadi asas dalam mewujudkan hubungan antara negara di dunia pada hari ini.
Islam telah menjelaskan bahawa misi umat Islam itu ke dunia ini adalah untuk menyampaikan Islam. Firman Allah SWT:
“Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika Engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah Engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 67].
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. [TMQ Saba’ (34) : 28].
Sabda Nabi SAW: Dari Ibn Umar r.a, bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda : “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah dan mendirikan solat, membayar zakat, maka jika mereka melakukan semua itu akan terselamatlah darah dan harta benda mereka dariku, kecuali yang mana ada hak Islam padanya dan perkiraan mereka terserahlah kepada Allah Ta’ala”.
Renunglah juga kata-kata Ruba’i bin Amir ketika menjadi utusan Islam yang diperintahkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab yang berdiri penuh berani di hadapan Panglima Perang Parsi Rustum suatu ketika dulu. Katanya: “Kami datang untuk membebaskan manusia dari penyembahan sesama manusia kepada penyembahan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya dan dari kezaliman sistem-sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam.”
Kata-kata Ruba’i menegaskan bahawa kedatangan beliau sebagai utusan Khalifah Umar Al-Khattab ke Parsi bukanlah kerana cita-cita ekonomi atau politik yang bertujuan untuk mengeksploitasi bangsa/negara-negara lain. Sebaliknya, kedatangan mereka adalah untuk membawa misi dan visi yang luhur iaitu memerdekakan manusia dari segala bentuk penindasan, menebarkan kebaikan, rahmat dan hidayah serta menerangi jalan hidup dan melenyapkan kezaliman yang membelenggu kehidupan orang-orang kafir selama ini. Itulah misi Islam yang paling agung. Kini umat Islam tidak lagi mendengar kata-kata ucapan yang cukup berani sebagaimana yang dilafazkan oleh Ruba’i.
Wahai para pemimpin umat Islam! Memang tidak dinafikan bahawa perkembangan ekonomi merupakan isu yang cukup penting namun apabila kamu melalaikan isu yang lebih utama, isu vital lahirnya kita sebagai Muslim di muka bumi ini, terutama tugas utama kamu sebagai para pemimpin umat Islam, kamu telah membelakangi kemuliaan dan meletakkan kehinaan dihadapan kamu! Apakan kamu sudah begitu cintakan dunia sehingga kamu lupa kamu akan berhadapan dengan Pencipta kamu kelak?