Pencalonan Anugerah buat Indera: Agenda tersembunyi AS menghina Islam
Berita:
Indira Ghandi yang berjaya mencabar keputusan penukaran tiga orang anaknya kepada Islam oleh bekas suaminya telah dicalonkan untuk menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa minggu lepas. Ia sebagai penghormatan dan pengiktirafan terhadap perjuangan Indira Ghandi selama hampir 10 tahun yang lalu dalam usaha mendapatkan haknya untuk mengenepikan keputusan penukaran agama anaknya.
Anugerah IWOC (International Women of Courage) tersebut telah diperkenalkan oleh Jabatan Negara AS pada 2007. Anugerah ini diberikan kepada wanita yang telah menunjukkan keberanian dan kepimpinan dalam menyokong keadilan, hak asasi manusia serta isu-isu yang melibatkan hak kaum wanita seperti kesaksamaan gender.
Sumber berita: thestar.com.my
Komentar:
Hal ini bukanlah kali yang pertama berlaku bagi rakyat Malaysia. Sebelum ini pada 2016, Nisha Ayub seorang mak nyah dari Malaysia turut mendapat pengiktirafan yang sama oleh Amerika Syarikat (AS). Semua ini dilakukan bagi mengukuhkan lagi stigma bahawasanya Amerika Syarikat ialah sebuah negara yang menyokong dan mendorong hak asasi yang bertentangan dengan nilai-nilai dan prinsip dalam Islam.
Jika diteliti, mereka yang mendapat anugerah dan pengiktirafan daripada AS ini disokong kerana berani melawan dan mencabar institusi agama dan undang-undang syariah di negara ini. Mereka juga turut meraikan kemenangan dan kejayaan keputusan mahkamah sivil ke atas mahkamah syariah sepertimana dalam kes Indira Gandhi.
Ini telah menjadi satu bukti jelas bahawa AS ingin menonjolkan agenda mereka iaitu menentang hukum syariah yang diselindungkan atas nama perjuangan menuntut keadilan dan hak asasi manusia. Jadi tidak hairan jika AS menyokong sesiapa sahaja yang dilihat berani menentang hukum syariah secara terang-terangan. Hal ini merupakan sebahagian daripada salah satu cara mereka bagi menggalakkan lagi idea-idea dan budaya Barat seperti fahaman liberalisme dan LGBT di dalam Malaysia yang majoritinya adalah umat Islam. Sudah pastinya perkara ini cukup tidak akan disenangi oleh umat Islam yang ikhlas cintakan Islam dan ingin melihat agar syariat Islam tertegak dan diterapkan di Malaysia.
Tindakan AS ini juga secara jelas untuk mempermainkan sentimen dan sensitiviti Islam dalam kalangan umat Islam. Jika perkara ini tidak dibendung, adakah kita yakin persoalan-persoalan dan isu yang sama tidak akan berulang di masa hadapan? Tidak mustahil untuk kita katakan perkara ini boleh menjadi satu faktor yang akan memberi ruang kepada kuasa asing seperti AS untuk campur tangan dalam hal dan urusan umat Islam di negara ini satu masa kelak jika tidak dibendung.
Di satu sisi yang lain pula, kita dapat melihat bahawa sering kali berlakunya kemelut dan konflik dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam seperti isu Indira Ghandi ini adalah disebabkan oleh sistem perundangan negara ini sendiri. Sistem perundangan di negara ini sebenarnya tidak mampu untuk memberikan penyelesaian yang adil berlandaskan hukum-hakam syariah yang sempurna. Hal ini demikian kerana, sistem perundangan di negara ini masih lagi tertakluk kepada peruntukan yang disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang lebih ‘power’ berbanding mahkamah syariah.
Oleh yang demikian, sistem perundangan yang bersifat dualisme hukum yang berlaku di Malaysia inilah sebenarnya yang menjadi punca permasalahan terhadap isu-isu yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam. Walaupun setelah lebih 60 tahun merdeka, Malaysia masih lagi menggunapakai perlembagaan penjajah Lord Reid.
Sudah tiba masanya bagi umat Islam untuk menolak dan meninggalkan perlembagaan kufur dari Barat ini dan menggantikannya dengan suatu yang lebih adil dan saksama yang datangnya daripada Tuhan mengikut jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang dicintai. Allah SWT berfirman:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?”
[Surah al-Maaidah (5): 50]
Abu Syamil
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia