Anugerah Nisha Ayub: Apa yang AS mahu tunjukkan?

Gambar BG 060416Penganugerahan kepada Nisha Ayub dengan anugerah International Women of Courage  di Washington DC pada 29 Mac lalu sewajarnya membuka mata kita semua tentang ‘mesej’ yang ingin disampaikan oleh Amerika kepada dunia Islam.

Nisha merupakan salah seorang daripada 14 penerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Setiausaha Negara AS, John Kerry, dan sekali gus mencatat sejarah kerana ini merupakan kali pertama anugerah tersebut diberikan kepada seorang transgender.

Nisha adalah pengasas bersama pertubuhan Justice for Sisters yang memperjuangkan hak asasi transgender yang dikatakan berhadapan dengan diskriminasi, keganasan dan penindasan di Malaysia.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan di negara ini, pasti ingat peranan yang dimainkan olehnya dalam mempertikaikan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, sehingga dibawa ke Mahkamah Rayuan pada 7 November 2014 dan diputuskan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan asasi rakyat Malaysia.

Meskipun keputusan Mahkamah Rayuan itu kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada Oktober tahun lalu disebabkan oleh masalah teknikal, namun hal ini jelas menunjukkan betapa rendahnya kedudukan hukum syarak di negara ini sehingga boleh dicabar dan dipertikaikan melalui mahkamah sivil.

Keputusan Mahkamah Persekutuan, walaupun menolak permohonan kumpulan transgender itu, namun tidak sedikit pun menghapuskan idea-idea kebebasan yang menjadi asas dalam negara sekular seperti Malaysia dan terpelihara rapi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan AS mengiktiraf perjuangan Nisha, yang jelas bertentangan dengan Islam ini, tidak lain tidak bukan menjadi bukti betapa negara kafir itu mendewa-dewakan akal dengan mengagungkan idea kebebasan tanpa batas. Secara tak langsung, AS menyampaikan mesej yang umat Islam juga sepatutnya menerima idea kebebasan tanpa batas yang dianut olehnya dan perlu mengiktiraf perjuangan transgender.

Penganugerahan itu sebenarnya berbaur provokasi terhadap umat Islam, bahkan menjadi salah satu bentuk serangan mereka ke atas hukum Islam secara terancang, sebagaimana mereka menyerang hukum menutup aurat, hukum poligami, hukum jihad dan lain-lain.

Islam dengan tegas melarang (mengharamkan) lelaki atau wanita daripada berpakaian yang menyerupai lawan jenis, sebagaimana disebut dalam hadis,

“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru perempuan dan perempuan yang meniru lelaki” [HR Bukhari].

Sesungguhnya anugerah AS kepada Nisha itu merupakan sebahagian daripada usaha AS dalam menyebarkan idea kebebasannya kepada umat Islam, termasuklah pengiktirafan mereka terhadap perjuangan jijik golongan LGBT (lesbian, gay, bisexual, transsexual) yang tidak ada tempatnya dalam Islam.