Taubat seorang maknyah, apa pengajaran yang boleh diambil?

safiey-iliasKisah kembalinya seorang maknyah ke pangkal jalan menjadi viral seketika di media sosial, sehingga menarik perhatian dan pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sebuah kenyataannya yang dipetik oleh media tempatan baru-baru ini.

Safiey Ilias, seorang hartawan kosmetik yang dulunya seorang maknyah, mengambil keputusan nekad untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Lebih mengujakan apabila dia bukan sahaja memilih untuk bertaubat, bahkan memilih untuk berdakwah kepada golongan maknyah agar melakukan hal yang sama seperti yang dia lakukan.

Tindakan Safiey memang sewajarnya dipuji dan dijadikan contoh oleh pelaku dosa dari kalangan maknyah khususnya dan penganut LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender) amnya. Bagi golongan yang melakukan perbuatan terkutuk itu, masih ada ruang untuk mereka bertaubat selagi nyawa di kandung badan. Setiap manusia diberi pilihan dan kemampuan untuk membuat keputusan sama ada memilih jalan yang diredhai Allah atau jalan yang dimurkai-Nya. Sesungguhnya hidayah itu milik Allah yang pasti akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya, biar sebesar mana sekalipun dosa hambaNya. Firman Allah SWT;

“Barangsiapa yang disesatkan oleh Allah maka tidak ada seorang pun dapat memberinya petunjuk. Dan barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tidak seorang pun dapat menyesatkannya” [TMQ az-Zumar (39):36-37].

Setiap manusia perlu sedar bahawa kesesatan dan hidayah itu tidak akan datang begitu sahaja tanpa keinginan dan usaha untuk mencarinya oleh manusia itu sendiri. Menjadi maknyah atau kaum LGBT bukanlah paksaan, melainkan satu pilihan, begitulah juga untuk bertaubat dari dosa-dosa LGBT, ia juga adalah pilihan. Manusia akan pasti dihisab oleh Allah atas pilihan ini. Alhamdulillah Safiey telah memilih jalan untuk bertaubat dan semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan semoga dia akan terus istiqamah dalam kebaikan.

Kisah taubat Safiey ini mungkin tidak akan disokong atau dibanggakan oleh pendukung idea kebebasan dan LGBT di negara ini, apatah lagi hendak menerima pengiktirafan daripada bapa LGBT dunia, iaitu Amerika Syarikat sebagaimana anugerah dan penghormatan yang diberikan kepada seorang maknyah dari Malaysia, Nisha Ayub. Walaupun kita yakin bukanlah ini yang dimahukan oleh Safiey, tapi inilah wajah hipokrasi yang ditunjukkan oleh Amerika dan golongan LGBT yang dilaknat oleh Allah dan Rasul itu dalam memperjuangkan kebebasan yang mereka laung-laungkan.

Di samping itu, kisah taubat Safiey ini sekali gus membuktikan “pembohongan” pegangan maknyah bahawa mereka kononnya terperangkap dalam badan yang berlainan jenis, yang seolah-olah bermaksud tiada jalan untuk mereka berubah. Dengan kesedaran yang ditunjukkan oleh Safiey, kecelaruan identiti jantina yang sering dijadikan alasan untuk mewajarkan perbuatan songsang golongan maknyah, terbukti tidak lebih daripada satu pembohongan semata-mata.

Sebagaimana Safie, kita juga mahukan golongan maknyah ini berubah yakni kembali ke jalan yang benar. Namun, sekeras mana sekalipun usaha kita, tiada siapa yang dapat merubah mereka kecuali diri mereka sendiri, sebagaimana yang telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran dan sebagaimana telah dibuktikan oleh Safiey sendiri.

Antara punca utama yang menjadikan golongan ini terus berani memperjuangkan hak songsang mereka dan sukar untuk mereka berubah ialah kerana sistem demokrasi yang bukan sahaja membenarkan, malah tidak menghukum mereka atas perbuatan terlaknat mereka itu. Tatkala Khilafah berdiri nanti, jika mereka masih meneruskan sikap dan perbuatan haram mereka ini, nescaya Khilafah akan menghukum mereka sewajarnya yang Insya Allah akan menjadi pengajaran untuk mereka dan untuk orang lain agar tidak menuruti perbuatan terkutuk mereka, yang sekali gus dapat membendung hal-hal yang dapat merosakkan masyarakat ini.