Penjawat wanita diserang: apa pengajaran yang dapat diambil?

Gambar UL 190115 2Sungguh tragis dan malang nasib yang menimpa seorang penjawat awam wanita yang bekerja di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya, 16 Januari lepas apabila diserang secara tiba-tiba oleh seorang juruteknik lelaki ketika sedang bekerja lebih masa dan berseorangan di pejabat. Dalam keadaan berdarah dipukul, dia sempat lari ke kafe sebelum diselamatkan oleh beberapa orang yang berada di situ. Wanita tersebut dilaporkan sedang trauma dengan apa yang menimpanya itu.

Dalam responsnya terhadap insiden itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata yang Kementeriannya akan memperkenalkan langkah keselamatan baru yang lebih kukuh bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sudah terantuk baru terngadah, inilah realiti pihak yang berkuasa di Malaysia. Sudah ribuan kali kita dihidangkan dengan kes jenayah yang menimpa individu di sesuatu tempat yang apabila nasi telah menjadi bubur, barulah kerajaan mengumumkan langkah-langkah baru untuk memperbaiki keadaan!

Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, kebanyakan wanita di Malaysia, apatah lagi yang tinggal di Lembah Kelang, sering menjadi “mangsa” kepada sistem Kapitalisme yang diamalkan oleh negara. Kebanyakan wanita terpaksa bekerja untuk mencari sumber pendapatan sama ada untuk menampung diri sendiri mahupun keluarga. Sebahagiannya bekerja kerana ingin mengejar karier atau status sosial. Semua ini merupakan kehendak atau tekanan hidup yang ditempuhi dalam sistem Kapitalisme, sehingga memaksa kaum Hawa bersaing dengan kaum Adam dalam mengejar kehidupan.

Sesungguhnya Islam memuliakan wanita sebagai ummu wa rabbatul-bait (ibu dan pengurus rumah tangga). Namun, fungsi wanita ini terhakis sama sekali di bawah sistem Kapitalisme yang menjadikan kebendaan sebagai matlamat hidup. Kerana itu, berapa ramai wanita yang menjadi mangsa jenayah di tempat kerja mahupun dalam perjalanan pergi dan balik kerja. Manakala negara pula gagal menjalankan fungsinya dengan baik untuk menjaga kemaslahatan rakyatnya, kerana negara yang mengamalkan Kapitalisme hanya mementingkan keuntungan material yang maksimum dalam segala bidang.

Ditambah dengan sistem uqubat (hukuman) Islam yang tidak diterapkan, maka ternyata fungsi uqubat Islam sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus) tidak dapat direalisasikan. Natijahnya, kadar jenayah terus meningkat dan semakin mengerikan. Inilah padahnya apabila hukum Allah diketepikan dari pemerintahan.

Semoga banyak pihak, khususnya wanita, mengambil pengajaran yang serius dari kes ini. Hukum bekerja bagi wanita adalah mubah (harus) sahaja, maka mana-mana wanita yang memilih untuk bekerja, maka bekerjalah sekadar perlu sahaja dan janganlah sampai “memperhambakan” diri kepada pekerjaan sehingga boleh mengancam keselamatan dan melupai tugas serta tanggung jawab mulia wanita sebagai ummu wa rabbatul-bait.

Wanita juga perlu sedar dan berjuang untuk menegakkan hukum Allah secara kaffah bagi menggantikan sistem Kapitalisme yang penuh dengan penindasan dan tidak menjamin keselamatan ini. Sesungguhnya hukum Allah tidak akan dapat ditegakkan secara kaffah kecuali dengan adanya Negara Khilafah yang akan menerapkannya. Kerana itulah, perjuangan untuk menegakkan hukum Allah sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan perjuangan menegakkan Negara Khilafah kerana sesungguhnya Negara Khilafahlah penegak hukumNya.