Unsur-unsur Lucah dan Bogel Anugerah Grammy

grammy-awardSetelah beberapa kali dilanda kontroversi, stesen televisyen gergasi Amerika Syarikat, CBS dilaporkan mengeluarkan satu memo etika berpakaian kepada para selebriti yang akan menghadiri Anugerah Grammy, menurut akhbar New York Daily News kelmarin. Memo berkenaan melarang para selebriti terutamanya tetamu wanita memakai pakaian yang mendedahkan bahagian payudara, punggung dan kemaluan. Kandungan memo tersebut turut menasihatkan agar selebriti wanita mengelak daripada mengenakan pakaian jarang yang menampakkan payudara dan bahagian sulit.

Satu sumber memberitahu bahawa memo itu dikeluarkan oleh Jabatan Amalan dan Piawaian CBS bagi membendung unsur-unsur lucah dan bogel. Tindakan itu dilakukan sama ada kerana ingin mengelak daripada sebarang kontroversi yang melampau sepertimana yang pernah terjadi kepada beberapa artis yang pernah berpakaian dengan mendedahkan sebahagian besar tubuh mereka semasa menghadiri Anugerah Grammy seperti Toni Braxton, Lady Gaga dan Jennifer Lopez, ataupun adakah disebabkan oleh wujudnya kritikan dan saranan daripada pihak-pihak tertentu. Apa yang pastinya, orang-orang barat kini sudah mula mempertimbangkan semula idea-idea kebebasan yang diagung-agungkan mereka selama ini. Idea hak asasi manusia dan kebebasan bertingkahlaku yang sememangnya menjadi racun kepada masyarakat barat kini sudah tidak dapat diselindungkan bau busuknya lagi di serata dunia.

Bagi orang-orang kafir khususnya masyarakat di barat, mereka sememangnya tidak mempunyai penilaian yang khusus tentang kayu ukur (standard) tentang kelucahan. Bagi mereka, sesuatu itu hanya dikategorikan sebagai lucah apabila penampilan fizikal yang menampakkan keseluruhan anggota tubuh badan terutamanya payudara, punggung dan alat kemaluan serta terdapatnya aktiviti hubungan seksual. Sebaliknya jika ia sekadar menonjolkan sebahagian daripada paha, buah dada, punggung dan kemaluan, ia tidak dikategorikan sebagai bogel dan lucah, tetapi sekadar dikatakan sebagai seksi. Kayu ukur mereka adalah sedikit atau pun banyak. Jika dilakukan sedikit, ia tidak lucah. Jika banyak dan melampau, barulah dikatakan sebagai lucah.

Berbeza dengan Islam, ia adalah satu-satunya ideologi yang unik kerana mempunyai sistem kehidupan yang bersifat kaffah (menyeluruh) dalam mengatur seluruh kehidupan manusia.  Islam meletakkan halal dan haram sebagai ukuran bagi setiap sesuatu yang mana kayu ukur ini datang secara lansung daripada wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah, bukannya ciptaan manusia ataupun ulama’.  Ia sekali-kali tidak berubah-ubah mengikut zaman, tempat mahupun kehendak manusia kerana ia merupakan syariat yang datangnya daripada Allah SWT, Tuhan Semesta Alam.

Sumber Berita: Kosmo, 08/02/13