Pendakwah Yang Sekular?
IPOH 2 Okt. – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengingatkan semua guru takmir atau pendakwah di masjid dan surau agar tidak mencampuradukkan antara ilmu agama dengan politik.
Pengarahnya, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor al-Hafiz berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana tugas utama seramai 299 orang guru takmir itu adalah untuk memakmurkan masjid dan menyatupadukan ummah.
”Bukan semua orang boleh mengajar ilmu agama. Ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang terpilih bahkan ada yang disuruh menuntut ilmu semata-mata untuk memberi dakwah kepada masyarakat.
”Jadi kalau pendakwah itu sendiri terlibat dalam politik maka ia akan menyusahkan banyak pihak. Pendakwah mestilah menjadi pemangkin kepada kesatuan berfikir dalam masyarakat,” katanya di sini hari ini.
Guru-guru takmir yang dilantik oleh JAIPk itu mempunyai pelbagai latar belakang dan antaranya ialah bekas guru, pensyarah, hakim serta pegawai agama.
Sheikh Mohamah Nor berkata, jika semua kariah atau masyarakat bersatu padu dalam segala hal terutamanya dari segi pemikiran maka kehidupan keseluruhan ummah akan harmoni.
Bagaimanapun, katanya, apa yang menjadi masalah buat masa ini ialah unsur perpecahan lebih banyak daripada unsur perpaduan hingga menyebabkan kehidupan masyarakat kurang sehaluan.
”Sebab itulah guru-guru takmir ini perlu memainkan peranan mereka dengan baik. Walaupun jumlahnya masih tidak mencukupi namun usaha menyatupadukan pemikiran kariah itu sangat penting,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini, pihaknya juga sedang berusaha untuk menyediakan sukatan pelajaran khusus buat kelas-kelas agama yang diadakan di masjid dan surau.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan pembelajaran ilmu agama kariah tidak statik agar ia boleh berkembang secara teratur dan jelas.
”Kadang-kala saya lihat ilmu agama umat Islam masih berada di takuk lama. Dari dulu hingga sekarang masih lagi membicarakan tentang bab wuduk dan sembahyang.
”Jadi, JAIPk akan sediakan satu silibus khas supaya mereka yang minat belajar dapat meningkatkan ilmu agama masing-masing dari semasa ke semasa,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 3/10/09
Firman Allah :
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah akan apa-apa yang ada pada suatu kaum itu (nasib @ keadaan yang mulia atau hina) sehinggalah mereka sendiri yang berusaha mengubah akan apa yang ada pada diri (pemikiran @ persepsi) mereka” [ TMQ Ar Ra’du [13]:ayat 11]
Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa tindakan JAIPK ini adalah satu kesalahan yang fatal dan mengakibatkan umat Islam terus berada di dalam keadaan hina dan tertindas sampai bila-bila. Yang jelas, menyempitkan Islam hanya kepada ilmu agama (baca: ibadah khusus) akan hanya menjuruskan umat Islam ke dalam kejumudan. Mereka seolah-olah mahu umat terus berada di tahap pemikiran yang mundur kerana memisahkan agama dari kehidupan berpolitik dengan dalih tidak mahu umat Islam hidup berpecah belah kerana perbezaan fahaman politik.
Mereka menganggap bahawa dengan perbezaan ini, akan berlaku pecah belah yang akan mengakibatkan umat hancur dan mundur ke belakang serta ditinggalkan oleh bangsa-bangsa yang lebih maju. Namun hakikatnya, dengan meninggalkan aspek politik Islam (menjaga urusan umat) inilah, umat akan mundur. Sepatutnya kita perlu mengkaji Al-Quran dan As-Sunnah serta sejarah umat Islam di era kegemilangannya. Umat Islam pada ketika mengamalkan perintah Allah sebagaimana yang tertera dalam surah Al Imran [3], ayat 112 yang mafhumnya,
“Telah ditimpakan ke atas mereka kehinaan di mana-mana sahaja mereka berada melainkan mereka menghubungkan tali dengan Allah dan juga menghubungkan tali dengan sesama manusia dan telah kembali mereka dengan mendapat kemurkaan dari Allah dan juga telah ditimpakan keatas mereka kemiskinan….”
Mereka tidak memisahkan kedua-dua aspek hablun minaa llah (agama) dan hablun minan-naas (mengatur kehidupan berpolitik). Hakikatnya, berpolitik di dalam Islam adalah satu keperluan dan kewajiban kepada kita sebagai umat Islam dalam mengamalkan perintah Allah dan mengikuti tuntunan Sunnah Rasul SAW. JAIPk sepatutnya menyeru agar umat Islam agar memahami Islam secara kaffah dan berusaha untuk kembali menegakkan Deen Allah ini secara keseluruhan – aspek ibadah dan politiknya. Saranan inilah sebenarnya yang akan menjauhkan umat dari perpecahan!
Wallahu’alam