SN468 – Siapa Yang Sesat, Pendakwah Islam Atau Pendakyah Sekular?

PDF

SN Keluaran 27 Mei 2016

Setelah hampir tujuh tahun melobi untuk penubuhan Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang, akhirnya, mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut telah diadakan di Dewan Undangan Negeri pada 17 Mei 2016. Menurut laporan di dalam portal berita online, dinyatakan bahawa jawatankuasa ini diketuai oleh Tee Yee Cheu daripada DAP. Menurut portal berita itu juga, selain berkempen untuk tandas berasingan bagi golongan transgender, antara aktiviti lain yang dirancang melalui jawatankuasa ini adalah ‘kebajikan yang lebih baik untuk masyarakat terpinggir ini, terutamanya bagaimana individu terbabit dirawat di hospital dan penjara’. Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim menyelar tindakan para pemimpin politik negara yang memberi sokongan terhadap golongan transgender sehingga membentuk jawatankuasa semata-mata kerana mahu membela nasib mereka. Bagi kaum Muslimin, pandangan Islam terhadap isu hak LGBT ini merupakan suatu yang tidak perlu dipersoalkan lagi keharamannya. Allah SWT mengabadikan hukuman yang keras ke atas para pelaku homoseks, yang termasuk dalam golongan LGBT ini, daripada kalangan umat Nabi Lut melalui firmanNya:

“Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batan dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batan itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu” [TMQ Hud (11:82-83)].

Selain daripada isu LGBT, sebenarnya terdapat banyak lagi kemungkaran seperti gejala sosial, murtad, rasuah, perjudian dan sebagainya yang sedang berlaku disekeliling kita. Sebagai seorang Muslim, berdosa hukumnya jika hanya duduk diam membiarkan kemungkaran tersebut terus berlaku. Begitu juga berdosa hukumnya menggantikan hukum Allah bagi permasalahan tersebut dengan undang-undang yang berasal dari akal manusia.

Apa yang menyedihkan adalah, masih ramai daripada kaum Muslimin di Malaysia yang belum benar-benar sedar mengapa kemungkaran tersebut terus berlaku. Hakikatnya, isu LGBT dan pelbagai kemungkaran tidaklah terjadi dengan sendirinya. Kemungkaran yang menjadi buah mulut seperti isu LGBT, penentangan terhadap penerapan hudud dan pelbagai kemungkaran lain yang seangkatan dengannya terus berlaku kerana ianya didasari oleh sebuah falsafah yang mendominasi kehidupan kita pada hari ini. Falsafah tersebut, atau lebih layak disebut sebagai ‘akidah’ yang menyelubungi kehidupan hari ini dikenali dengan istilah ‘sekularisme’. Daripada falsafah ini, terbinalah pelbagai sistem hidup yang mengurusi kehidupan manusia termasuklah kehidupan umat Islam. Sistem ekonomi kapitalis, sistem pemerintahan (demokrasi), sistem perundangan yang diasaskan oleh Barat dan pelbagai sistem kehidupan yang lainnya adalah terpancar daripada akidah sekularisme. Apakah sebenarnya sekularisme dan apakah kesannya terhadap kehidupan manusia secara umumnya dan umat Islam di Malaysia khususnya?

Kesesatan Sekularisme

Konsep asas akidah sekularisme adalah pemisahan agama daripada kehidupan. Dengan kata lain, agama langsung tidak boleh memainkan peranan dalam menentukan hala tuju kehidupan manusia. Manusia diberikan hak sepenuhnya membuat sebarang keputusan dalam kehidupannya. Berdasarkan konsep ini, sekularisme memandang mulia kebebasan manusia dalam membuat keputusan. Rentetan daripada itu, sekularisme mempertahankan hak kebebasan berakidah/beragama (freedom of religion), kebebasan berpendapat (freedom of opinion), kebebasan hak milik (freedom of ownership) dan kebebasan bertingkahlaku (personal freedom) bagi manusia. Dengan mensucikan hak kebebasan inilah, sekularisme membenarkan manusia untuk membuat undang-undangnya sendiri dan mendaulatkan akal manusia sebagai penentu hukum dalam kehidupan. Akibat yang paling mendasar daripada pensucian terhadap akal manusia ini adalah bahawa Allah SWT, sebagai Pencipta dan Pentadbir Alam Semesta, tidak lagi memiliki hak dalam menentukan persoalan hukum untuk manusia, sang makhlukNya yang lemah dan jahil. Ini merupakan bentuk maksiat yang sangat besar terhadap Allah SWT dan merupakan suatu kesesatan yang nyata! Allah SWT berfirman:

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan terdahulu daripadamu? Mereka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh” [TMQ An-Nisa’(4:60)].

Hakikat kesesatan ini telah disebutkan oleh Allah SWT dengan sangat jelas  dalam al-Quran sejak lebih 1300 tahun dahulu. Sudah hampir seratus tahun umat Islam hidup dalam suasana di mana Islam tidak lagi menjadi rujukan, malah diketepikan sama sekali. Terlalu banyak contoh kemungkaran yang boleh dibincangkan, namun cukuplah kita memfokuskan perbincangan kita kepada beberapa kemungkaran yang dengan jelas sedang berlaku di hadapan mata kita. Misalnya kejayaan golongan transgender memenangi kes rayuan hak berpakaian seperti wanita pada tahun 2014. Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan bahawa Seksyen 66 Enakmen Syariah (Negeri Sembilan) 1992 tidak sah dari segi perlembagaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Artikel 5(1), 8(1), 8(2), 9(2) dan 10(1) yang memastikan hak kebebasan asasi rakyat Malaysia. Keputusan ini sememangnya tidak boleh diterima kerana hukum Islam mengenai isu ini adalah jelas keharamannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Nabi SAW melaknat lelaki yang berlagak seperti wanita dan wanita yang berlagak seperti lelaki” [HR Bukhari].

Penubuhan jawatankuasa LGBT di Pulau Pinang baru-baru ini juga merupakan manifestasi permasalahan yang sama seperti kes rayuan golongan transgender, dimana mereka semakin berani menonjolkan diri kerana adanya jaminan kebebasan bertingkah laku oleh perlembagaan sekular negara. Konsep kebebasan yang diamalkan di bawah sistem demokrasi dan dijamin oleh perlembagaan ini memberikan ruang seluas-luasnya kepada golongan LGBT untuk melakukan dan menyuburkan aktiviti mereka.

Begitu juga dengan isu penerapan hukum hudud yang masih menjadi buah mulut masyarakat. Kita melihat golongan liberal begitu keras menentang usaha untuk menerapkan hudud dan pelbagai hujah dikemukakan bagi mengetepikan usaha ini. Hakikatnya, tidak dapat dinafikan bahawa hujah yang dikemukakan oleh golongan liberal berdasarkan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan adalah benar dalam konteks perlembagaan Malaysia. Ini kerana perlembagaan Malaysia sebagai sebuah perlembagaan sekular pada hakikatnya menyokong hujah mereka. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sekularisme dan kemungkaran yang lahir dari sekularisme seperti LGBT dan tidak menerapkan hukum hudud dipertahankan dengan undang-undang tertinggi negara kita iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks perekonomian pula, umat Islam mengetahui bahawa Islam mengharamkan riba, malah Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pengamal riba! Namun, riba sudah menjadi sebati dalam sistem ekonomi di seluruh dunia ketika ini, di mana pelbagai transaksi ekonomi tidak terlepas daripada perkara keji ini. Riba merupakan asas kepada sistem ekonomi kapitalis yang juga lahir daripada akidah sekularisme di mana akal manusia diletakkan sebagai pengganti Allah SWT dalam menentukan hukum. Wahai kaum Muslimin, bukankah Allah ‘Azza wa Jalla telah pun memberikan amaran keras kepada hambaNya mengenai kesesatan yang amat nyata ini!?

Sebenarnya, banyak lagi contoh kemungkaran yang boleh dipaparkan hasil daripada sekularisme. Natijah yang terhasil daripada akidah sesat sekularisme ini telah menimbulkan kesengsaraan hidup bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga umat manusia secara keseluruhannya. Walaupun telah nyata dan jelas kemungkaran yang berlaku hasil daripada sekelurisme, namun yang menyedihkan ialah sebahagian umat Islam masih tetap mengambil mudah akan perkara ini sehingga masih tidak timbul lagi kesedaran untuk berusaha menukar segala sistem hidup yang lahir dari falsafah sekularisme.

Perjuangan Menegakkan Syariah – Mengapa Disesatkan?

Apabila manusia dengan berani mengetepikan perintah dan larangan Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan As-Sunnah, maka akan terserlahlah kesesatan yang begitu nyata. Inilah hakikat kehidupan kita hari ini yang didominasi oleh akidah sesat sekularisme. Walaupun umat Islam tersepit di tengah-tengah serangan sekularisme yang begitu dahsyat, masih ada sebilangan kaum Muslimin yang terus berjuang membongkar kesesatan sekularisme dan berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam yang hakiki secara menyeluruh. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesungguhnya umatku tidak akan sekali-kali bersatu dalam kesesatan. Maka jika kalian melihat perselisihan, berpeganglah pada as sawaadul a’zham yaitu al haq dan ahlul haq” [HR Ibnu Majah].

Pandangan yang kuat menyebutkan bahawa as sawaadul a’zham adalah kebenaran dan mereka yang taat kepada Allah dan mengikuti sunnah Nabi SAW dengan pemahaman yang benar, sama ada jumlah mereka ramai mahupun sedikit. Dalam kegelapan akhir zaman yang penuh dengan kesesatan, umat Islam akan berhadapan dengan pelbagai perselisihan dan perpecahan. Disamping itu, kaum Muslimin yang berusaha untuk mengembalikan semula kehidupan Islam pasti akan menghadapi pelbagai penentangan dan cabaran dalam perjuangan mereka. Ini terbukti, apabila sejak kebelakangan ini ada pihak dengan begitu mudah melontarkan pelbagai tuduhan ke atas para pejuang Islam yang berjuang untuk mengembalikan Syariah dan Khilafah di atas jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasullah SAW. Tuduhan yang dilontarkan ke atas perjuangan mengembalikan Syariah dan Khilafah sangat melampau sehingga mengatakan bahawa perjuangan ini merupakan perjuangan yang sesat dan mengancam keselamatan negara.

Tidak dapat dinafikan, perselisihan atau salah faham pasti berlaku di kalangan kaum Muslimin, namun seperti yang telah disebutkan oleh Rasulullah dalam hadis as sawaadul a’zham, jalan penyelesaian atas perselisihan ini hendaklah dikembalikan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Perselisihan faham hendaklah diselesaikan dengan perbincangan dan perdebatan intelektual yang ikhlas, hanya kerana Allah dan bukannya ‘diselesaikan’ dengan pelbagai tuduhan liar. Tanpa penelitian yang mendalam sekalipun, kita sudah dapat melihat kesesatan akidah sekularisme. Namun begitu, kelompok umat Islam yang menyeru kepada penegakan Syariah dan Khilafah pula yang dituduh sebagai sesat dan mengancam keselamatan negara. Ia merupakan tuduhan yang berat di sisi Allah SWT dan sudah tentu bukti yang syari’ harus dikemukakan. Ironinya, tuduhan seperti ini tidak pula disertakan dengan dalil serta hujah dan tidak pula didahului dengan perbincangan yang mendalam dan adil mengenainya. Lebih menyedihkan apabila tuduhan seperti ini  lebih bersifat untuk meneruskan kelangsungan kuasa politik pemerintah dan didorongi oleh manfaat duniawi tanpa sedikit pun rasa takut terhadap Allah!

Perjuangan menegakkan Syariah dan Khilafah atas jalan kenabian merupakan satu usaha yang mulia. Apa yang ingin dikecapi daripada perjuangan ini merupakan kehidupan yang penuh kerahmatan dan kesejahteraan dan bukannya kehidupan yang sempit, rosak dan penuh kezaliman sepertimana yang dilihat sekarang ini di bawah sistem yang lahir daripada sekularisme. Kerahmatan dan kesejahteraan ini merupakan jaminan daripada Allah SWT dan sudah terbukti dalam lipatan sejarah. Bagaimana mungkin perjuangan yang berlandaskan hukum syarak dan hanya berdakwah secara intelektual tanpa kekerasan boleh disifatkan sebagai sesat dan mengancam keselamatan negara?

Khatimah

Bagi pihak yang begitu berani menuduh para pendakwah Islam yang ikhlas sebagai sesat dan mengancam keselamatan negara, berfikirlah dan bertaubatlah kepada Allah SWT. Janganlah kalian begitu mudah melontarkan kata-kata yang penuh dusta tanpa bukti yang nyata kerana setiap perkataan, tindakan, mahupun tulisan yang anda keluarkan pastinya akan dihisab oleh Allah dan akan diperhitungkan di hari akhirat kelak. Cukup-cukuplah berdusta tanpa merasakan kesalahan sedikitpun di hati, kerana ia bukan sahaja bakal menjerumuskan diri ke lembah fitnah, malah ia bakal mengundang dosa yang besar. Walhal, para pendakwahlah yang akan menyelamatkan negara ini daripada kesesatan dan akan menerbitkan keamanan di dalamnya. Kepada para pendakwah dan pejuang syariat Islam yang berpegang kepada jalan dakwah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah, teruskanlah perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah dengan menelusuri metodologi yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Genggamlah firman Allah SWT ini yang menggambarkan sifat para pejuang Deen-Nya dengan seerat-eratnya, dikala fitnah daripada pelbagai sudut datang untuk menguji kekasih-kekasihNya.

“….mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; Allah Maha Luas limpah kurniaNya dan PengetahuanNya” [TMQ al-Maidah(5:54)].

Semoga kejayaan itu semakin  hampir dan dengan itu, keamanan yang dibawa Islam pasti akan menyeliputi alam ini. Wallahu a’lam.