Pendedahan Kertas Panama bukti rosaknya dunia dek Kapitalis

Gambar BG 090416 (3)Peletakan jawatan Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson pada Selasa 5 April lalu menjadikannya sebagai ahli politik pertama yang menjadi mangsa kepada pendedahan skandal global terhadap urusan kewangan luar pesisir yang digelar sebagai Kertas Panama.

Berdasarkan laporan agensi berita antarabangsa AFP di Reykjavik, Iceland, Gunnlaugsson merupakan individu berprofil tinggi yang menjadi mangsa terbesar setakat ini dalam pendedahan media seluruh dunia mengenai 11.5 juta dokumen bocor melibatkan aktiviti kewangan luar pesisir membabitkan 140 tokoh politik.

Pemimpin lain dan selebriti terkenal yang dikaitkan dalam kebocoran kertas daripada firma guaman di Panama itu telah membidas dakwaan itu serta menafikan sebarang salah laku meskipun pendedahan tersebut telah mencetuskan kegemparan antarabangsa.

Individu berprofil tinggi lain yang turut terbabit ialah Presiden Rusia, Vladmir Putin, ahli keluarga Presiden China, Xi Jinping, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi serta selebriti terkenal, Jackie Chan.

Kesemua rekod dokumen itu yang disimpan oleh firma guaman Mossack Fonseca telah diperoleh daripada sumber yang tidak dikenali dan dibocorkan secara rahsia kepada akhbar Jerman, Sueddeutsche Zeitung sebelum dikongsi dengan lebih 100 kumpulan media oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Sebelum ini dunia digemparkan dengan bekas kontraktor risikan, Edward Snowden yang mendedahkan aktiviti risikan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) pada 2013 sehingga beliau diancam bunuh dan terpaksa berlindung di Hong Kong.

Pendedahan Snowden memang sungguh mengejutkan kerana ia terkait dengan perhubungan telefon pemimpin-pemimpin dunia terutama kuasa besar Amerika Syarikat (AS).

Namun, baik pendedahan Kertas Panama mahupun Edward Snowden, kesemua pendedahan ini nampaknya bersifat gempar sementara kerana tidak akan ada mana-mana individu terbabit yang akan diseret ke mana-mana mahkamah, kerana ia sekadar pendedahan dokumen tanpa adanya bukti kesalahan dari segi undang-undang yang boleh mengaitkan individu yang terlibat. Malah, jika ada sekalipun, individu yang berkenaan sebenarnya cukup ‘berkuasa dan kebal’ dari sebarang prosiding undang-undang dan tidak akan ada yang berani mengheret mereka ke muka pengadilan.

Apa yang jelas, dalam dunia yang didominasi oleh sistem kapitalisme pada hari ini, segala kekayaan negara dibolot oleh puak pemerintah dan juga puak kapitalis. Selain mengaut segala kekayaan negara, mereka mengenakan pelbagai cukai ke atas rakyat manakala harta mereka sendiri disembunyikan di tempat yang tidak dikenakan cukai.

Sesungguhnya dunia ini telah rosak serosak-rosaknya dek penguasa dan sistem kapitalis yang menguasai dunia. Malangnya masih ramai yang terus berdiam diri dan redha hidup dalam sistem kufur yang penuh kerosakan ini dan tidak berjuang untuk menggantikannya dengan sistem Islam.