Rosaknya Remaja Dalam Dunia Kapitalisme

Jika dahulu negeri Melaka berbangga dengan cerita-cerita mitos lagenda Hang Tuah dan kawan-kawannya yang empat, kini cerita-cerita itu sudah semakin hilang daripada ingatan rakyat. Melaka juga tidak lama dahulu begitu berbangga dengan idea canggih bekas Ketua Menterinya, Ali Rustam dalam usaha beliau merealisasikan penubuhan Sekolah Harapan, iaitu sekolah yang menempatkan para remaja perempuan yang hamil  luar nikah dan di bawah umur.

Setelah disingkirkan oleh majoriti rakyatnya sendiri di Parlimen Bukit Katil dalam PRU-13 yang lepas, alangkah baiknya Ali Rustam dilantik untuk menjadi Pengetua Sekolah tersebut bagi memberikan beliau lebih masa dalam merealisasikan visi dan misi ideanya itu. Dengan perlantikan tersebut, beliau sebagai Pengetua Sekolah pasti akan bergembira dan berbangga untuk melihat bayi-bayi yang dilahirkan oleh sekolah itu terhasil daripada kerosakan sistem kehidupan yang diterapkan dalam negara pada saat ini. Kini, berita sensasi di Melaka diteruskan lagi dengan berita-berita yang menunjukkan betapa bobroknya masyarakat di negeri yang dikatakan sebagai tempat awal Islam sampai ke Tanah Melayu. Bayangkan dalam usia seawal 13 tahun dan dengan bayaran serendah RM20, terdapat para remaja di Melaka yang sanggup menjebakkan diri dengan sindiket pelacuran.

Bukankah perkara jelek sebegini merupakan petanda bahawa betapa kroniknya penyakit sosial yang melanda masyarakat Islam di Melaka? Apakah para pemimpin yang ada di Melaka pada hari ini masih tidak merasa bersalah atau berasa bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku ini? Pastinya ramai yang tertunggu-tunggu apakah respon Ketua Menteri Melaka yang baru, Datuk Wira Idris Haron yang mana sebelum ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya, dia dengan begitu angkuh menyatakan bahawa Malaysia lebih hebat dan aman daripada Mesir dan Palestin serta tidak sepatutnya diberikan peluang kepada imam dari negara yang bergolak untuk memimpin solat di Malaysia.

“Kita bukan tidak mahu ilmuan agama datang ke negeri ini pada Ramadan, tetapi oleh kerana negara mereka sendiri sedang bergolak, adalah tidak wajar mereka meninggalkan negara masing-masing semata-mata mahu menjadi imam terawih di negara kita. “Sepatutnya, kita (Malaysia) menghantar tokoh agama ke negara mereka untuk memimpin solat atau berceramah mengenai keamanan, bukannya mereka datang ke sini,” [bharian.com.my].

Kenyataan seumpama ini penuh berbaur dengan unsur asabiyyah dan hasutan keji yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Perlu diketahui bahawa masalah sosial yang berlaku dalam sesebuah masyarakat sekali-kali tidak lari daripada kepincangan sistem yang mengatur kehidupan yang diterapkan oleh pemerintah itu sendiri. Umum mengetahui bahawa Malaysia secara amnya adalah sebahagian daripada negeri-negeri umat Islam yang lain yang sama-sama menerapkan sistem kehidupan sekular demokrasi. Sistem kehidupan yang ada dan yang berjalan pada hari ini adalah merupakan sistem kehidupan tinggalan penjajah kuffar Barat di mana melalui sistem ini, agama Islam dan sistem yang mengatur seluruh kehidupan (sistem pemerintahan negara) dipisahkan sepenuhnya. Secara faktanya, rakyat dalam negara pada hari ini bebas untuk melakukan apa sahaja perkara-perkara yang melanggar hukum syarak selagi mana ia tidak mengganggu orang lain dan tidak melanggar undang-undang sekular ciptaan manusia yang ada. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan cara mereka berpakaian yang langsung tidak Islami adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan di negeri-negeri umat Islam termasuklah Malaysia.

Sistem ‘uqubat Islam seperti hudud, qisas, takzir dan mukhalafat  juga telah lama dicampakkan oleh para pemimpin negara sejak negara ini dijajah lagi ini. Begitu juga dengan sistem berkaitan ekonomi, pendidikan, dasar luar negara dan lain-lain lagi, kesemuanya dijalankan berasaskan sistem yang lahir daripada akal yang dangkal semata-mata. Natijahnya, kita kini sedang merasa hasil tuaian buah-buahan rosak dan busuk yang berguguran daripada pokok-pokok sekular kapitalisme yang tumbuh subur dan berakar umbi dalam kehidupam umat Islam pada hari ini. Benarlah firman Allah SWT:

“Dan barangsiapa berpaling daripada peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

[TMQ Taha (20): 124].

Melihat kepada segala keburukan, bala dan musibah yang berlaku, apakah kita masih lagi ingin terus bergantung harap kepada kehidupan yang diatur oleh sistem kehidupan kapitalisme yang secara jelas bukan sahaja terbukti gagal, malah merosakkan seluruh manusia di dunia ini? Sudah sampai saatnya dunia ini menuju kepada perubahan yang sebenar iaitu kehidupan yang diatur oleh syariat Islam dalam bingkai Khilafah Islamiyah. Apakah kita ingin terus menunggu dan menunggu sehingga sistem sekular kapitalisme ini terus memukul mati seluruh umat Islam, atau sebaliknya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menukar sistem ini dengan segera? Sedarlah, segala pilihan berada di tangan kita wahai umat Islam.

Sumber : mstar.com.my(04/08/13), mstar.com.my (07/08/13)