Penerapan Hukum Syarak Dalam Masyarat Adalah Satu Perintah

Penulis: Syafinaz Safar

Syariat Islam adalah satu panduan hidup yang lengkap dan meliputi semua aspek kehidupan. Oleh itu, setiap aktiviti dalam hidup manusia memerlukan panduan dan hukum yang sesuai dengan keadaan manusia itu sendiri. Perintah dan larangan dari Allah SWT berfungsi sebagai batasan dalam diri manusia supaya tidak melanggar hubungan dengan sesama manusia, hubungan dengan Allah SWT dan hubungan dengan alam. Tujuannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Kehidupan harian manusia melibatkan interaksi dengan masyarakat. Oleh itu, dalam syariat Islam, terdapat hukum syarak tertentu dalam masyarakat yang merupakan satu perintah yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim tanpa mengira jantina. Ia berlaku kepada lelaki dan wanita tanpa pengecualian.

Syariat Islam memerintahkan lelaki dan wanita untuk menjauhi tempat-tempat syubhat atau meragukan dan sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus ke dalam perbuatan yang diharamkan oleh Allah. Perintah ini bukan sahaja umtuk menjauhi tempat, malah juga menjauhi aktiviti dan apa-apa sahaja yang berkaitan dengan perkara syubhat supaya tidak terlibat dalam perbuatan haram yang akan mengundang kemurkaan Allah.

Selain itu, Islam juga memerintahkan lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan mereka. Seorang Muslim tidak boleh dengan sengaja memandang lawan jenis dengan pandangan yang tidak sewajarnya tanpa ada keperluan, seperti memandang dengan nafsu syahwat. Ini kerana, dengan memelihara pandangan, seseorang dapat memelihara diri daripada terjerumus ke dalam perbuatan maksiat yang lain. Dari mata turun ke hati, ditambah pula dengan hasutan syaitan, maka akhirnya terjerumus kepada dosa zina. Oleh itu, tundukkan pandangan dan pelihara kemaluan (kehormatan diri).

Islam juga mendorong umatnya untuk segera berkahwin. Ini akan membantu membatasi hubungan seksual antara lelaki dan wanita serta mendapat keredhaan Allah SWT. Perkahwinan boleh berlaku apabila pasangan mencapai usia baligh. Dalam perkara ini, syariat Islam telah memudahkan nilai maharnya.

Pada masa yang sama, hukum syarak juga memerintahkan mereka yang belum mampu untuk berkahwin supaya memiliki sifat ‘iffah (menjaga kesucian diri) dan mengawal nafsu syahwat. Cara yang diperintahkan oleh syarak adalah dengan berpuasa kerana dengan berpuasa, seseorang akan sibuk dengan ibadah yang lebih utama dan mulia di sisi Allah SWT dan juga dapat menguatkan hubungannya dengan Sang Pencipta. Di samping itu, berpuasa juga dapat mengawal gejolak naluri seksual, tetapi bukanlah untuk mengekang nafsu seksual. Ini kerana, berpuasa dapat membantu seseorang mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang agama berbanding terlalu fokus pada nafsu seksual.

Islam sangat menjaga maruah wanita. Oleh itu, syariat Islam memerintahkan wanita untuk menjaga kesopanan dengan berpakaian menutupi aurat dengan sempurna dalam kehidupan umum bersama masyarakat yang pelbagai ragam. Islam juga menetapkan kehidupan khusus hanya bagi wanita dan mahram mereka sahaja. Wanita yang menjaga aurat dengan baik, iaitu melabuhkan tudung sehingga menutupi leher dan dadanya, melabuhkan bajunya hingga ke telapak kaki (berjubah), telah mengenakan pakaian yang sempurna dan menjaga kehormatannya di sisi Allah SWT. Apabila wanita berada dalam kehidupan umum dan melakukan aktiviti yang sesuai dengannya, dia akan mendapat penghormatan dan terhindar dari pandangan yang tidak senonoh dari orang yang tidak bertakwa kepada Allah SWT.

Takwa kepada Allah SWT juga adalah satu perintah yang wajib dilakukan oleh umat Islam; lelaki dan wanita. Allah SWT berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.” [TMQ al-Ahzâb (33): 70] Seorang Muslim yang bertakwa takut akan azab Allah yang pedih, mendambakan ganjaran syurga-Nya dan sentiasa berusaha meraih keredhaan-Nya. Takwa akan menjaga seorang Muslim daripada melakukan kemungkaran dan maksiat kepada Allah SWT. Takwa yang kuat umpama benteng yang kukuh dalam diri seorang Muslim, tidak mudah goyah ketika diuji oleh Allah SWT.

Ini adalah penerapan hukum syarak dalam masyarakat yang wajib dilakukan oleh lelaki dan wanita muslim. Penerapan ini bukan untuk mengekang naluri atau fitrah manusia, tetapi untuk meletakkan naluri itu pada tempat yang betul serta mendapatkan keredhaan Ilahi. Jika kita hidup tanpa melaksanakan hukum syarak, maka masyarakat akan menjadi kucar-kacir, dengan penindasan jantina dan kezaliman yang berleluasa seperti yang kita lihat di Barat.

Wallahua’lam.