Kekayaan sebenar hanya akan dinikmati rakyat melalui penerapan hukum syarak

Berita

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menyatakan hasrat memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun, menegaskan bahawa kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha mengembalikan kekayaan dan menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh berkenaan.

Namun, pada masa sama, Perdana Menteri berkata dua tahun itu bukanlah satu tempoh masa tetapi lebih kepada satu cadangan yang mungkin boleh dicapai lebih awal atau lewat, tertakluk kepada keadaan.

“Kalau boleh, dalam masa terdekat, saya mahu atasi masalah-masalah yang dihadapi. Itulah keutamaan saya. Keutamaan itu adalah mengembalikan kekayaan negara, ekonomi negara menjadi sebuah negara yang berupaya.”

Berita penuh: bernama.com

Komentar

Tidak ramai dalam kalangan rakyat mengetahui, bahawa Islam telah menetapkan bahawa hak pemilikan ke atas segala sesuatu yang wujud di bumi ini terbahagi kepada tiga; milik individu, milik masyarakat secara kolektif dan milik negara. Dalam sistem kapitalisme, sebarang bentuk kekayaan yang dimiliki negara dan diberi kepada rakyat mengikut kehendak pemerintah, pastinya tidak boleh lari daripada dibelakangi dengan kepentingan politik di masa hadapan. Ketika pemerintahan Najib, beliau berusaha memberi BR1M dan semakin hampir dengan pilihan raya, semakin tinggi jumlah BR1M diberikan. Apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, mereka pula terpaksa berhempas pulas menunaikan manifesto yang dijanjikan untuk kesenangan rakyat demi memastikan mereka akan menjadi kerajaan lagi untuk penggal seterusnya.

Sedangkan dalam Islam, kekayaan sumber alam seperti sumber hutan, galian dan air merupakan milik mutlak umat dan negara wajib mengelolakannya dan memastikan sebarang bentuk keuntungan yang diraih daripada sumber-sumber ini perlu dikembalikan kepada umat dalam sebarang bentuk yang mungkin. Dari perspektif ini, kita dapat melihat bahawa sekiranya negara menerapkan hukum syarak dan keuntungan yang sepatutnya dikembalikan kepada rakyat ini benar-benar dikembalikan, sudah pastinya pemerintah sukar untuk mencari golongan asnaf zakat yang layak menerima zakat di negara ini seperti mana yang berlaku ketika zaman Khalifah Umar Abd Aziz!

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia