Pengajaran Daripada Kegagalan Revolusi Di Mesir

Teka-teki tentang nasib Pemerintahan Mesir melalui kepimpinan Dr. Muhammad Mursi dan Ikhwanul Muslimin nampaknya telah pun terjawab dengan tindakan kudeta yang dilakukan oleh pihak tentera yang diketuai oleh Menteri Pertahanan Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada 3 Julai yang lalu. Dalam kejadian tersebut, pihak tentera telah mengambil alih tampuk pemerintahan sementara Mursi pula  telah dikepung dan dikenakan tahanan dalam rumahnya, manakala 300 lagi ahli Ikhwanul Muslimin menjadi buruan. Apakah yang sudah berlaku dengan demokrasi di Mesir?

Daripada apa yang telah berlaku, tidak dapat disangkal atau diragukan lagi bahawa pihak yang memiliki kekuatan sebenar di sepanjang pemerintahan adalah militer.  Presiden dan kumpulannya tidak lain hanyalah boneka yang digerakkan oleh institusi militer yang mana di belakang militer ini didalangi oleh kuasa besar dunia yang telah sekian lama mencengkam bumi kinanah tersebut, iaitu Amerika Syarikat.  Bahkan daripada sini juga dapat dibuktikan bahawa Islam sekali-kali tidak akan  dapat memerintah negara melalui jalan demokrasi dan kotak-kotak pilihanraya di dalam sistem sekularnya.  Mereka seolah-olah tidak pernah mengambil pengajaran terhadap apa yang terjadi ke atas Parti FIS di Aljazair (Algeria) dan Parti Refah di Turki.

Amerika adalah musuh Islam yang selalu memanfaatkan segala situasi buruk yang menimpa umat Islam. Melalui insiden buruk ini, mereka memberikan gambaran yang buruk bahawa para penguasa Muslim tidak dapat memerintah negara dengan baik. Islam juga digambarkan tidak sesuai untuk diguna pakai dalam menagtur dan menyelesaikan masalah negara. Sedangkan pada hakikatnya, para penguasa yang mereka maksudkan itu sememangnya langsung tidak menerapkan Islam dalam konstitusi pemerintahan mereka.  Bahkan, secara nyatanya para penguasa Muslim ini juga tidak memiliki kekuasaan yang mutlak dalam pemerintahan mereka.  Amerika hanya memanfaatkan mereka buat sementara, kemudian mencampakkan dan meninggalkan mereka begitu sahaja apabila tidak diperlukan.

Kaum Muslimin sepatutnya menyedari dan mengetahui bahawa satu-satunya thariqah (jalan) untuk menegakkan negara dan hukum-hakam Islam adalah dengan mengambil sepenuhnya thariqah yang telah ditempuh oleh Rasulullah saw, iaitu dengan menolak untuk mengambil pemerintahan secara separuh-separuh (tidak lengkap), atau terlibat dalam sistem pemerintahan kufur yang bertentangan dengan Islam.  Kita wajib bersabar sehingga nusrah (pertolongan) itu datang dengan sempurna, iaitu dengan tetap terus istiqamah berjuang dengan bersungguh-sungguh di tengah-tengah umat agar tercipta pandangan umum (public opinion) di kalangan umat sehingga umat sedar dan yakin bahawa wajib untuk diterapkan syariah Allah secara menyeluruh di bawah naungan Daulah Khilafah. Ini dilakukan melalui pertarungan pemikiran secara intelektual dengan melontarkan pemikiran-pemikiran Islam secara kuat serta menentang segala pemikiran-pemikiran kufur sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw dengan langsung tidak berkompromi atau menyesuaikan diri dengan arus perdana pemikiran kufur tersebut.  Di samping itu juga, umat Islam perlu melakukan perjuangan politik serta membongkar segala rancangan dan konspirasi jahat yang dilakukan oleh musuh-musuh dan juga tali barut musuh terhadap Islam dan juga kaum Muslimin, dan bukannya bermanis muka atau berjalan beriringan bersama-sama para pemimpin kufur yang menjadi tali barut kepada mereka.   Dengan menempuh jalan yang disebutkan ini, ia akan dapat mewujudkan pandangan umum tentang syariah dan Khilafah, di mana Islam dapat dilihat sebagai suatu pemikran dan sistem yang unik dan murni yang sama sekali berbeza dengan mana-mana pemikiran atau sistem kufur yang ada. Atas usaha ini, diharapkan ahlu an-nusrah yang ikhlas di kalangan militer akan berpihak kepada perjuangan syariah dan Khilafah, seterusnya menjadi pelindung kepada keberadaannya setelah Islam berkuasa kelak.  Ahlu an-nusrah itulah yang memiliki kekuatan yang sebenarnya seperti yang kita dapat lihat dari situasi di Mesir saat ini. 

Kemenangan yang diperoleh yang dikatakan secara demokratik oleh Ikhwanul Muslimin dan juga Parti An-Nur di Mesir seharusnya membuka mata kita semua bahawa demokrasi bukanlah jalan yang sahih untuk menegakkan Negara Islam. Lihatlah begitu rapuhnya genggaman ‘kemenangan demokratik’. Jalur demokrasi hanya membuatkan umat berpecah belah kepada banyak kelompok dan golongan yang membawa agenda masing-masing yang tidak sehaluan. Sudah sampai saatnya kumpulan-kumpulan Islam berfikir bahawa kemenangan sebenar dan hakiki adalah kemenangan Islam itu sendiri, dan bukannya kemenangan individu atau parti dalam arena demokrasi. Kemenangan bukan bermaksud berjaya menaikkan orang Islam sebagai pemimpin atau Parti Islam sebagai parti pemerintah,  sebaliknya yang dimaksudkan dengan kemenangan yang hakiki adalah tatkala Islam dijadikan sebagai satu-satunya sistem tertinggi yang diterapkan secara kaffah dalam negara dan dijadikan sebagai rujukan standard dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara.

Berikanlah kefahaman Islam ini kepada umat dengan penuh keikhlasan. Himpunkanlah mereka, satukanlah mereka dan ikatlah hati-hati mereka dengan ikatan akidah dan kesedaran kefahaman Islam. Sepatutnya semua kaum Muslimin perlu saling bahu-membahu untuk merealisasikan matlamat agung ini, dan bukannya berlumba-lumba dan bersaing untuk berkuasa di arena demokrasi.