Pengasuhan Anak Adalah Sebuah Kewajipan (Bahagian 1)

Penulis: Syafinaz Safar

Anak ialah anugerah Allah SWT kepada pasangan suami isteri. Kehadiran mereka sentiasa dinantikan dan keletah mereka sering menghiburkan. Setiap anak secara fitrahnya memerlukan penjagaan yang baik dalam pelbagai aspek supaya dapat membesar menjadi insan yang berguna kepada agama, masyarakat, dan keluarganya. Islam sangat menekankan aspek perlindungan, pengasuhan, dan pendidikan anak-anak sejak dalam kandungan sehingga mereka dilahirkan ke dunia. Anak-anak perlu dididik dengan ajaran Islam yang sempurna supaya kelak mereka menjadi pemuda bertakwa dan menjadi pelaburan pahala untuk ibu bapa ketika sudah tiada nanti. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Anak itu ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi.” [HR Bukhari dan Muslim]

Mengasuh dan mendidik anak dengan baik adalah tanggungjawab besar dan menjadi kewajipan ibu bapa untuk membentuk keperibadian, pemikiran, dan pembawaan diri anak tersebut dari kecil hingga dewasa. Tanpa asuhan dan didikan yang betul akan memberi impak negatif kepada kesihatan mental dan fizikal mereka serta boleh membinasakan kehidupan mereka pada masa hadapan. Buktinya, sebanyak 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara dari Januari hingga Ogos lalu. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 897 kes melibatkan penderaan fizikal, manakala 1,260 kes merangkumi penderaan seksual dan 83 kes penderaan emosi. Ini adalah laporan daripada JKM sehingga bulan Ogos 2024. Adakah nasib anak-anak malang ini akan terbela atau kita akan terus menyaksikan lebih banyak kisah tragis sepanjang tahun 2025?

Syariat Islam menyatakan bahawa tugas pengasuhan anak termasuk dalam kategori menjaga jiwa (hifz al-nafs) kerana proses membesar, mendidik, dan mengasuh adalah satu keperluan kepada anak-anak supaya mereka dapat membesar dengan mental yang stabil dan fizikal yang sihat. Pengasuhan merupakan tanggungjawab penting setiap ibu kepada anak-anak kecil, anak-anak yang tidak berakal dan tidak mampu menguruskan diri  sendiri. Dalam keadaan tertentu, tanggungjawab mengasuh boleh jatuh kepada kaum kerabat yang layak terutamanya apabila ibu mereka tidak mampu menjalankan tanggungjawab pengasuhan tersebut atas sebab munasabah seperti jatuh sakit.

Disebabkan pengasuhan anak adalah hak setiap anak yang wajib dipenuhi sebaiknya oleh ibu bapa dan kaum kerabatnya, maka tanggungjawab ini tidak akan diberikan kepada pihak yang berpotensi menelantarkan atau dikhuatiri akan merosakkan anak tersebut. Dalam Islam, aspek pengasuhan anak merupakan amanah yang sangat penting sehingga hanya orang yang layak sahaja berhak mengasuh anak-anak ini. Hal ini demikian kerana dikhuatiri jika diberikan amanah ini kepada pihak yang tidak layak, anak-anak ini tidak terurus sehingga merosakkan jiwa, mental, dan seluruh aspek tumbesaran anak tersebut.

Selain itu, pengasuhan anak juga tidak boleh diberikan kepada anak kecil yang lain atau orang yang tidak waras (al-ma’tuh) dan kepada orang yang sangat sibuk. Sebagai contoh, seorang kakak atau abang yang belum mumayyiz tidak boleh mengasuh adik-adiknya kerana mereka juga tergolong dalam kategori kanak-kanak yang masih perlu diasuh. Begitu juga dengan orang yang tidak waras dan tidak berakal. Mereka tidak mampu mengasuh anak kecil walaupun usia mereka sudah dewasa. Hal ini demikian kerana proses pengasuhan anak memerlukan ilmu pengetahuan, pemikiran yang stabil dan tubuh badan yang sihat supaya anak yang diasuh ini dapat dididik dengan didikan yang betul dan sesuai dengan peringkat umur mereka. Pengasuhan juga tidak diberikan kepada orang yang sangat sibuk dengan urusan lain kerana menjaga dan mendidik anak memerlukan pengorbanan masa, mental, emosi, dan fizikal yang banyak. Orang yang sibuk sudah pasti tiada masa untuk orang lain terutamanya kepada anak-anak kecil yang memerlukan perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Di samping itu, pengasuhan anak juga tidak diberikan kepada orang yang memiliki sifat buruk seperti fasik kerana dibimbangi akan memberi pengaruh buruk kepada tumbesaran anak-anak tersebut. Dalam Islam, tugas pengasuhan anak tidak akan diberikan kepada orang kafir kecuali pengasuhan ibu kepada anaknya yang masih menyusu atau masih memerlukan pengasuhan sehingga anak mampu membezakan perlakuan ibu bapanya sama ada perlakuan baik atau buruk. Jelas juga bahawa seorang anak yang dilahirkan dalam keluarga Islam perlulah diasuh dengan keadaan yang Islami supaya anak itu dapat membesar dengan pemikiran, pendirian, dan akhlak Islamiyyah serta anak ini tidak akan diberikan pilihan selain tetap diasuh oleh pihak Islam.

(bersambung)