Pengasuhan Anak Adalah Sebuah Kewajipan (Bahagian 2)

Penulis: Syafinaz Safar

Apabila berlaku penceraian dalam sesebuah rumah tangga, ibu merupakan individu yang paling berhak untuk mendapat hak penjagaan anak, terutamanya anak-anak yang masih menyusu dan memerlukan pengasuhan daripada ibunya. Keadaan ini berdasarkan riwayat Imam Abu Dawud dari Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash yang berkata: Seorang wanita pernah berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutkulah tempat dia menetap, puting susukulah tempat dia minum, pangkuanku tempat dia bernaung, sedangkan bapanya menceraikanku dan ingin mengambil dia dariku.” Rasulullah SAW bersabda, “Kamu lebih berhak ke atas anak itu selama kamu belum berkahwin lagi.” [HR Abu Dawud dan Al-Hakim]

Namun demikian, jika ibu tersebut berkahwin dengan lelaki lain, maka hak pengasuhan anak tersebut akan diserahkan kepada pihak bapa yang berhak untuk mengasuh anak tersebut. Sekiranya ibu tersebut bercerai dengan suami baharunya, hak pengasuhan boleh dikembalikan semula kepada ibu itu. Ini menunjukkan bahawa ibu adalah pihak yang paling berhak mengasuh anak selama anak tersebut memerlukan pengasuhan, sebagaimana Rasulullah SAW menetapkan hak asuh anak kepada ibu selagi dia belum berkahwin lagi. Oleh itu, anak yang masih memerlukan pengasuhan akan diletakkan di bawah tanggungjawab ibunya semula, dan menjadi kewajipan seorang ibu untuk memberikan pengasuhan kepada anak-anaknya.

Dalam masa yang sama, Islam turut menyediakan alternatif hak penjagaan kepada pihak lain selain daripada ibu bapa dalam menjalankan kewajipan pengasuhan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hak pengasuhan anak berpindah kepada pihak lain. Antara faktornya ialah apabila si ibu berkahwin dengan lelaki lain, atau apabila si ibu kurang waras akalnya, atau faktor-faktor lain yang menyebabkan hak pengasuhan si ibu terhadap anaknya terputus. Apabila si ibu kehilangan hak pengasuhan anak, hak tersebut akan berpindah kepada pihak berikutnya seperti yang telah digariskan dalam Islam. Pihak-pihak ini hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas, reda, dan bersungguh-sungguh.

Syariat Islam menentukan bahawa pihak seterusnya yang berhak dalam pengasuhan anak ialah nenek dari sebelah ibu dan seterusnya mengikut turutan ke atas. Namun, jika turutan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana kekangan yang syar’ie, maka pihak seterusnya yang berhak ialah ayah kandung kepada anak-anak tersebut. Turutan seterusnya selepas ayah ialah nenek dan datuk sebelah bapa dan ke atas. Walau bagaimanapun, jika kelompok ini tidak mampu mengasuh, hak pengasuhan boleh berpindah kepada saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa, atau saudara perempuan seibu. Jika ibu bapa tersebut tiada saudara perempuan, hak pengasuhan dijalankan oleh saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, atau anak saudara lelaki. Jika kelompok ini tiada, hak pengasuhan seterusnya akan jatuh kepada ibu saudara dari pihak ibu (al-khalat). Jika tiada, hak pengasuhan jatuh kepada ibu saudara sebelah bapa (al-‘amat). Jika masih tiada, maka hak pengasuhan menjadi milik bapa saudara seibu sebapa, atau bapa saudara sebelah bapa. Hak pengasuhan tidak boleh diberikan kepada saudara lelaki seibu dan bapa saudara sebelah ibu.

Hak pengasuhan anak tidak akan berpindah kepada pihak lain kecuali apabila pihak tersebut tiada atau tidak berkeupayaan dalam pengasuhan anak. Oleh itu, setiap umat Islam perlu sedar bahawa setiap orang dewasa yang mendapat hak asuh memiliki kewajipan mengasuh dan tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini. Sekiranya seseorang dalam turutan hak pengasuhan melepaskan hak asuhan atas sebab yang dibenarkan, pihak seterusnya mesti mengambil tanggungjawab ini tanpa menyerahkannya kepada pihak yang bukan dalam senarai turutan pengasuhan seperti yang digariskan dalam syariat Islam.

Sebagai agama yang sempurna, Islam menyediakan garis panduan sepenuhnya yang terbaik dalam hal pengasuhan anak. Dengan didikan dan asuhan anak yang betul mengikut acuan Islam, kita dapat melahirkan insan yang akan berbakti kepada keluarga dan taat kepada agama. Kewajipan para pengasuh untuk melaksanakan tanggungjawab ini adalah hak setiap anak yang perlu dipenuhi dengan sebaiknya kerana ia merupakan ‘illat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang disokong oleh dalil-dalil. Penetapan tanggungjawab ini perlulah dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah dan hakim yang mengendalikan hal-hal kekeluargaan untuk memastikan kewajipan ini terus dilaksanakan oleh mereka yang layak, berhak, dan mengharapkan reda Ilahi.

Wallahua’lam.