Pengerusi IKIM – Pak Lah Nak Buat Apa?

altPak Lah dilantik Pengerusi IKIM

PUTRAJAYA 28 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa 1 September ini.  Abdullah yang merupakan lulusan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya akan menggantikan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang memutuskan untuk melepaskan jawatan berkenaan.   “IKIM di bawah kepimpinan Tun Abdullah akan terus menjadi satu institusi yang berjaya dalam merangka dan melaksanakan aktiviti untuk meningkatkan kefahaman Islam,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dihantar ke Bernama menerusi e-mel, hari ini.  Pelantikan Abdullah akan dapat menyemarakkan lagi usaha IKIM meningkatkan kefahaman Islam yang sebenar di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Sumber : Utusan Malaysia:28/08/09

Apakah Yang Dapat  Dilakukan Oleh Pak Lah?

Pak Lah lah yang memperkenalkan Islam Hadhari dengan 10 prinsipnya, yang kini hilang entah kemana. Pelbagai pihak mempunyai pandangan yang berbeda-beda terhadap idea beliau itu termasuk di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri. Selepas beliau di’bersarakan’ lebih awal oleh ahli-ahli UMNO, seruan dan laungan Islam Hadhari juga turut hilang bersama pengasasnya. Kini, Pak lah diberikan peranan untuk mengetuai IKIM, sebuah institusi yang berwawasan untuk cemerlang dalam merangka dan melaksanakan gerak kerja yang teratur ke arah peningkatan dalam kefahaman Islam di kalangan rakyat Malaysia. Ini akan dicapai dengan menyerlahkan nilai sejagat dalam rangkuman Islam yang benar dan berhubungkait dengan kehidupan manusia.

Persoalannya ialah apakah kita akan dapat melihat wawasan dan matlamat IKIM itu akan tercapai? Secara realitinya, ketika Pak Lah berkuasa sebagai PM beliau telah gagal untuk memberikan pemahaman Islam yang sebenar kepada umat Islam, apatah lagi kepada bukan Islam. Lantas, apakah yang beliau dapat lakukan dengan jawatan baru ini? Kalau produk keluarannya, Islam Hadhari, banyak dipertikaikan, apa lagi produk yang akan dikeluarkan oleh Pak Lah untuk meningkatkan pemahaman terhadap Islam?  Secara umumnya produk keluaran Pak Lah itu lebih mengelirukan umat Islam dari memberikan pemahaman Islam sebenar. Ketika Pak Lah  berkuasa dan memerintah, telah terbukti beliau gagal untuk menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sedangkan penerapan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara itulah sebenarnya asas untuk merealisasikan Islam sebagai cara hidup yang sempurna. Firman Allah SWT:

“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”. [TMQ at-Taubah (9) : 33].

Persoalan kini ialah, apakah yang kita boleh harapkan dari Pak Lah selepas beliau memegang jawatan baru ini? Ketika berkuasa sebagai PM tempoh hari pun beliau telah gagal, apatah lagi dengan kuasa sebatas Pengerusi IKIM!