Bermuzakarah Hanya Kerana Dasar Setempat Di Malaysia?

God bukan Allah – IKIM

KUALA LUMPUR 21 Jan. – Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada ‘God’ tidak tepat.  Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia.  ”Hasil keputusan Muzakarah Pakar ini akan diserahkan secepat mungkin kepada kerajaan untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri muzakarah tersebut di IKIM di sini hari ini.  Muzakarah yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Nik Mustapha Nik Hassan itu disertai oleh tujuh ahli panel iaitu Prof. Madya Dr. Kamar Ainiah Kamaruzzaman dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.

Panel lain ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd. Nur Manuty; bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM, Dr. Mohd. Sani Badron dan Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik IKIM, Md. Asham Ahmad.  Seramai 70 peserta mengikuti muzakarah itu termasuk wakil Jabatan Peguam Negara, pihak berkuasa agama negeri, ahli-ahli akademik daripada institusi pengajian tinggi (IPT), badan-badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.  ”Saya berpuas hati kerana perbincangan ini telah berjalan dengan lancar dan harmoni walaupun para peserta datang daripada fahaman politik yang berbeza ,” katanya.  Abdullah berkata, IKIM mengambil pendekatan menganjurkan muzakarah memandangkan kemelut isu penggunaan kalimah Allah telah menimbulkan kekeliruan, kecelaruan dan boleh membawa kesan negatif bukan sahaja kepada orang Islam malah kepada penganut agama Kristian.  Beliau berkata, dalam perbincangan itu, peserta bersetuju bahawa mereka perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan beragama.

Sumber : Utusan Malaysia, 22/01/10

Bermuzakarah Hanya Kerana Dasar Setempat Di Malaysia?

Nampaknya isu penggunaan kalimah Allah masih terus berpanjangan. Kali ini IKIM telah menghimpunkan pakar-pakar ilmuan Islam untuk membincangkan isu tersebut. Alangkah baiknya jika ilmuan dan pakar Islam yang bermuzakarah di IKIM semalam merumuskan dan mendesak pemerintah yang ada pada hari ini agar menerapkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara – suatu kewajiban yang diabaikan dan dibakul sampahkan oleh pemerintah sekular sejak dari dahulu lagi. Alangkah benarnya jika para ilmuan dan pakar Islam ini berhimpun sebagaimana para sahabat dahulu berkumpul di Saqifah Bani Saidah untuk memilih pengganti yang akan menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua negara Islam di Madinah bagi meneruskan sistem pemerintahan yang telah dijalankan oleh baginda SAW sejak hari pertama baginda memasuki Madinah sehinggalah beliau wafat. 

Apa ertinya kita mempertahankan penggunaan perkataan Allah hanya untuk orang Islam, itupun hanya dengan alasan ” kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia” tetapi dalam masa yang sama kita masih lagi membuang peraturan dan sistem yang diturunkan oleh Allah SWT. Dan apa yang lebih malang lagi adalah, dilaporkan bahawa para peserta muzakarah bersetuju bahawa mereka perlu menghormati dan menjunjung Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan beragama. Bukankah Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini adalah merupakan perlembagaan kufur? Perlembagaan kufur ciptaan Suruhanjaya Lord Reid? Itukah bentuk perlembagaan yang mereka bersetuju untuk dihormati dan dijunjung? Apakah Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna tidak pernah menurunkan peraturan yang lengkap untuk mengatur kehidupan di antara orang Islam dengan bukan Islam? Wahai umat Islam! Apakah kita sudah lupa dengan  firman Alalh? 

”Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”
. [TMQ An Nisaa’ (4) : 60].