Malaysia Hanyalah Biladul Muslimin

malaysia-flagMenjelang PRU-13 yang semakin hampir tiba, golongan ilmuan dan ulama yang rapat dengan para pemimpin sekular negara ini sekali lagi dipergunakan dan diperkudakan untuk mengeluarkan “fatwa-fatwa” aneh bagi meyakinkan umat Islam di Malaysia bahawa negara ini adalah sebuah negara Islam, di samping berbangga dengan gelaran negara Islam contoh. Di manakah letaknya contoh yang boleh dibanggakan sedangkan perlaksanaan seluruh hukum-hakam Islam masih jauh daripada tuntuan Islam yang sebenar, baik sama ada individu, masyarakat dan negara. Dari aspek individu sebagai contoh, ia masih bebas untuk keluar rumah tanpa menutup aurat. Masyarakat masih bebas untuk melakukan transaksi riba, membeli dan meminum arak dan sebagainya. Kilang arak dan pusat judi terus tersergam indah di sana sini. Mahkamah yang menjatuhkan hukuman thaghut masih berdiri kukuh dan terus disanjung tinggi. Amat malang bagi umat Islam di Malaysia yang mempunyai barisan pakar yang ramai dalam bidang agama, tetapi begitu mudah untuk dibeli dan diperbodohkan oleh para pemimpin jahil negara yang sedang berkuasa pada hari ini. Adakah disebabkan kilauan dunia yang begitu sedikit ini maka mereka ini sanggup menjual agama? Pastinya perniagaan mereka itu tidak akan pernah beruntung sedikit pun di sisi Allah SWT pada hari akhirat kelak. Sungguh pelik, bagaimanakah golongan pakar yang bermuzakarah dalam majlis muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) boleh megistinbat hukum untuk mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam sedangkan mereka hanya berdalil dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan bukannya dengan hukum syarak. Apakah mereka masih tidak sedar bahawa Perlembagaan Persekutuan itu adalah perlembagaan kufur yang dihadiahkan oleh si kafir Lord Reid? Faktanya dapat disaksikan dengan jelas bahawa seluruh sistem Islam (sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem sosial, sistem uqubat, polisi pendidikan dan polisi luar negara) tidak diterapkan secara kaffah di dalam kehidupan umat sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Secara umumnya, negara yang diduduki oleh umat Islam boleh terbahagi kepada dua kategori iaitu Darul Islam/ Daulah Islam (Negara Islam) dan Biladul Muslimin (Negara umat Islam).

Darul Islam

Darul Islam atau Daulah Islam itu mestilah memiliki dua syarat utama iaitu: Pertama, keamanan wilayahnya berada sepenuhnya di tangan kaum Muslimin. Kedua, seluruh hukum-hakam yang digunakan untuk mengatur sistem kehidupan manusia dalam wilayah tersebut mestilah merupakan hukum Islam semata-mata, bukan hukum kufur ciptaan manusia. Maka, sesebuah negara yang dihuni oleh majoriti umat Islam belum layak disebut sebagai Darul Islam jika ia dikuasai oleh kekuatan ketenteraan orang-orang kafir. Begitu juga dengan wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, jika sistem kehidupan di wilayah itu tidak diatur dengan syariah Islam secara sepenuhnya, maka ia juga tidak tergolong sebagai Darul Islam. Singkatnya, Darul Islam adalah seluruh wilayah atau tempat yang dikuasai oleh Negara Islam, dilindungi oleh kekuatan ketenteraan Islam dan sekaligus diatur sepenuhnya oleh penerapan syariah Islam.

Biladul muslimin

Adapun yang dimaksudkan dengan biladul Muslimin, ia adalah merujuk kepada negeri kaum Muslimin. Sepertimana Darul Islam, wujudnya biladul Muslimin itu adalah disebabkan oleh sesebuah tempat atau wilayah yang dihuni oleh kaum Muslimin secara syar’ie serta dianggap sebagai milik umat Islam. Meskipun wilayah-wilayah itu pada saat ini sedang dijajah dan diduduki oleh orang-orang kafir sepertimana yang berlaku terhadap sebahagian besar wilayah Palestin, Iraq dan Kashmir, ia tetap merupakan biladul Muslimin. Di samping itu, walaupun negara yang ditegakkan di atas negeri-negeri tersebut tidak menerapkan syariah Islam ke atas penduduknya, negeri-negeri itu tetap merupakan negeri-negeri kaum Muslimin kerana wilayahnya dipadati oleh umat Islam. Inilah yang membezakan antara biladul Muslimin dengan Darul Islam.

Diharap para pakar dalam muzakarah akan lebih teliti dan cermat untuk mengeluarkan sesuatu fatwa agar ia tidak mengelirukan umat Islam. Ketahuilah bahawa satu-satunya negara Islam itu adalah Khilafah. Khilafah adalah kepemimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di seluruh dunia untuk menegakkan hukum-hakam syariah Islam dan mengembang dakwah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Jadi, apakah Malaysia layak untuk dikatakan sebagai sebuah Negara Islam?

Sumber: Utusan Malaysia, 21/02/13