Pengharaman Hizbut Tahrir: Kerajaan UK Tipu Diri Sendiri, Serlah Hipokrasi Dan Kekalahan Intelektual
Pada Jumaat 19/01/2024 kerajaan United Kingdom (UK) telah secara rasminya mengharamkan Hizbut Tahrir di negara mereka melalui keputusan parlimen. Pengharaman ini sebenarnya merupakan usaha berterusan negara penjajah itu sejak zaman pemerintahan Tony Blair lagi, yang kemudiannya diteruskan dari satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri yang lain. Setelah lebih kurang 20 tahun, mereka akhirnya berjaya mencapai impian mereka di zaman pemerintahan Rishi Sunak sekarang.
Hizbut Tahrir Britain (HTB) diputuskan haram atas alasan sebuah pertubuhan pengganas rentetan daripada demonstrasi yang diadakan oleh HTB sebagai menzahirkan sokongan ke atas Palestin yang dibantai dengan kejam oleh entiti Yahudi. Seruan HTB agar tentera kaum Muslimin bergerak menyelamatkan Palestin telah dijadikan alasan serta-merta oleh kerajaan UK untuk melabelkan HTB sebagai pertubuhan pengganas.
Walaupun liputan mengenai pengharaman HTB ini mendunia dalam sekelip mata, namun ia langsung tidak mengejutkan. Kerajaan UK telah lama berusaha untuk mengaitkan HTB dengan keganasan namun tidak pernah berhasil, malah seringkali ditentang oleh sebahagian politikus mereka sendiri, kerana tidak pernah ada bukti yang HT menyeru kepada keganasan apatah lagi melakukan aktiviti keganasan. Semua pihak kenal dan tahu mengenai dakwah Hizbut Tahrir yang bersifat politik dan intelektual, tidak sebagaimana yang dimomokkan oleh kerajaan UK sebagai ekstrem atau ganas.
Malah, umum mengetahui mengenai dakwah Hizbut Tahrir di seluruh dunia untuk mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah dengan menegakkan kembali al-Khilafah ar-Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah, yang dilakukan melalui jalan damai bukannya kekerasan. Sebaliknya, para penguasa-lah, baik di dunia kafir mahupun dunia Islam, yang telah mengenakan pelbagai kekerasan ke atas anggota Hizbut Tahrir hingga ramai anggota Hizbut Tahrir yang ditangkap, dipenjarakan, diseksa dan dibunuh oleh penguasa-penguasa tersebut.
Sesungguhnya pengharaman ini hanya membuktikan kekalahan intelektual kerajaan UK dalam menghadapi dakwah HT. Selain itu, pengharaman ini membuktikan betapa hipokritnya kerajaan UK yang selama ini melaungkan dan mengaku juara dalam isu kebebasan dan hak asasi manusia. Apa yang lagi jelas ialah, kerajaan UK sebenarnya telah menipu diri sendiri dengan mengaitkan Hizbut Tahrir dengan keganasan. Sungguh memalukan!
Pengharaman HTB ini ternyata telah mendapat tentangan serta-merta daripada para ulama dan cendekiawan serta banyak pertubuhan Islam di UK, yang menyifatkan kerajaan UK sebagai melanggar undang-undang dan hak asasi manusia yang mereka sendiri amalkan. Kebanyakan mereka melahirkan kerisauan bahawa tidak mustahil selepas ini kerajaan UK akan mengharamkan mana-mana pertubuhan yang tidak mereka sukai atas alasan yang sama.
Walau apa pun perancangan yang dilakukan oleh rejim-rejim diktator di seluruh dunia untuk menghalang kebangkitan Islam dan Khilafah, baik di negara kafir mahupun di negara kaum Muslimin, sesungguhnya perancangan mereka akan pasti gagal, kerana Allah (swt) telah pun mengingatkan:
وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Mereka (orang-orang kafir) merancang dan Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik Perancang [Al-Anfal (8): 30].
Berhubung pengharaman ini, HTB telah mengeluarkan satu Kenyataan Media, dan berikut ialah terjemahan Kenyataan Media tersebut:
HIZBUT TAHRIR BRITAIN KECAM PENGUMUMAN PENGHARAMAN PARTI OLEH KERAJAAN UK
Pengumuman yang dilakukan oleh Setiausaha Dalam Negeri Britain hari ini untuk mengharamkan Hizbut Tahrir merupakan satu langkah terdesak untuk menapis pembahasan mengenai pembunuhan besar-besaran di Palestin dan menghentikan alternatif politik Islam yang adil.
Hizbut Tahrir menafikan sepenuhnya sebarang idea bahawa ia adalah anti-Semitik atau menggalakkan keganasan. Kami telah berulang kali menyeru penegakan semula sistem Islam di Timur Tengah, sebuah sistem yang membenarkan Yahudi, Muslim dan Kristian hidup berdampingan berabad-abad lamanya. (Penerapan) nilai-nilai luhur Islam-lah yang telah menghapuskan segala penindasan dalam masyarakat, yang tidak mendiskriminasi manusia atas dasar warna kulit, bangsa, agama atau jantina. Sesungguhnya, satu-satunya keganasan yang sedang berlaku sekarang ialah, yang dilakukan oleh entiti Zionis di Gaza, dan disokong oleh ahli politik British yang terlibat dalam jenayah perang, pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai.
Dengan mengharamkan Hizbut Tahrir, Britain akan berada sebaris dengan Rusia (Putin), Mesir (as-Sisi) dan lain-lain negara autoritarian dalam usaha menyekat suara untuk mengembalikan semula alternatif tamadun Islam ke dunia Islam. Ia juga menunjukkan bahawa semua perbincangan mengenai kepelbagaian, anti-penapisan dan kebebasan bersuara, hanya boleh diterima jika seseorang bersetuju dengan agenda pelampau Zionis di 10 Downing Street (ibu pejabat Perdana Menteri Britain).
Hizbut Tahrir mempunyai rekod lebih 70 tahun berjuang secara politik tanpa kekerasan terhadap diktator yang memerintah dunia Islam dengan izin Barat. Dalam usahanya untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah, Hizbut Tahrir tidak pernah menggunakan sebarang bentuk kekerasan atau mengangkat senjata. Di sepanjang sejarahnya, Hizbut Tahrir berjuang secara intelektual dan politik, manakala ribuan anggotanya telah diseksa dan dibunuh oleh penguasa diktator tersebut.
Hizbut Tahrir Britain dengan ini menyatakan secara jelas bahawa ia akan mencabar pengharaman ini melalui semua cara undang-undang yang ada. Biar apa pun keputusan terhadapnya, Hizbut Tahrir akan tetap meneruskan perjuangan politik dalam mengungkap pembantaian di Gaza, mendedahkan agenda penjajah Barat, dan mengembalikan Islam sebagai cara hidup yang adil.
Pejabat Media – Hizbut Tahrir Britain
03 Rajab 1445 H / 15 Januari 2024 M