Penghinaan ke atas Rasulullah (saw) dan Islam, Khilafah adalah jawapannya
Kegemilangan Islam yang berlangsung sekitar 1300 tahun di bawah naungan Khilafah tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun sama ada dari kalangan Muslim mahupun non-Muslim. Khilafah adalah satu perkataan yang cukup ditakuti oleh kaum kafir. Ini kerana Khilafah adalah simbol kepada kekuatan dan penyatuan seluruh kaum Muslimin. Hal ini tidak dapat dimungkiri jika kita membelek helaian buku-buku sejarah baik karangan sejarawan Muslim ataupun non-Muslim.
Namun perkara sebaliknya berlaku kepada seluruh kaum Muslimin setelah runtuhnya Khilafah di Istanbul pada tahun 1342 H (1924 M). Khilafah yang merupakan payung dan perisai umat Islam yang sentiasa melindungi umat Islam sama ada ketika kuat atau lemah, sejak tarikh itu telah lenyap dari muka bumi. Penindasan, penghinaan dan kemunduran mula menimpa umat Islam dari segala aspek, baik politik, ekonomi, teknologi dan lain-lain. Malah lebih buruk, musuh-musuh Islam tidak gentar sedikit pun, dan dengan sombong dan angkuh menyerang dan membunuh umat Islam di negeri-negeri kita sendiri. Lihat sahaja serangan ke atas Palestin, Afghanistan, Iraq, Syria dan lain-lain yang telah membunuh jutaan kaum Muslimin dan meninggalkan jutaan anak-anak yang menjadi yatim dan isteri-isteri menjadi janda, selain mengakibatkan kehilangan tempat berteduh dan kerosakan harta-benda dalam skala yang cukup besar.
Seiring dengan itu, produk-produk pemikiran Barat begitu mudah untuk masuk ke tengah-tengah kaum Muslimin. Sistem sekularisme dan gaya hidup bebas ala binatang telah meracuni pemikiran dan cara hidup umat Islam di seantero dunia tanpa ada sekatan. Inilah antara bahana ketiadaan Khilafah.
Dari segi ekonomi, Barat juga cuba mengawal negeri kaum Muslimin agar tidak mampu bangkit. Penerapan sistem ekonomi kapitalis yang dipaksakan ke atas negeri kaum Muslimin membuatkan kaum Muslimin menghadapi 1001 masalah dalam kehidupan mereka. Bahkan pihak Barat juga mengaut sumber kekayaan dari hasil bumi negeri kaum Muslim dengan sesuka hati kerana pengkhianatan pemerintah Muslim itu sendiri seperti yang berlaku di Mali, Indonesia dan lain-lain.
Bukan sekadar itu, kita sentiasa, dari semasa ke semasa, dikejutkan dengan penghinaan ke atas Islam, ke atas Rasulullah (saw) dan lain-lain kesucian Islam. Umum mengetahui tentang penghinaan ke atas Rasulullah yang dilakukan di Perancis melalui akhbar terbitan negara itu, Charlie Hebdo. Sudah pasti peristiwa ini menunjukkan keangkuhan dan kebiadaban Barat, di samping merobek-robek perasaan kaum Muslim di serata dunia. Apa yang menyakitkan kita ialah Perancis tanpa segan silu menyatakan bahawa itu sebahagian daripada bentuk kebebasan bersuara yang diamalkan di negara mereka.
Lebih mendukacitakan, tiada sebarang tindakan daripada pemimpin Muslim di seluruh dunia terhadap penghinaan ini. Charlie Hebdo dan Perancis melakukan penghinaan seperti ini bukan sekali, malah berulang-ulang kami, dan diketahui oleh seluruh dunia.
Kita juga dikejutkan dengan sebuah filem kontroversi yang bertajuk “Fitna”. Di dalam filem tersebut, agama Islam digambarkan sebagai agama yang ekstrem dan ganas. Filem yang diterbitkan pada tahun 2008 itu ternyata menimbulkan kemarahan umat Islam di serata dunia. Empat tahun selepas itu, filem “Innocence of Muslim” pula diterbitkan di Amerika Syarikat. Namun apakan daya, kemarahan yang membuak-buak dalam diri umat Islam akhirnya tidak disahut oleh pemerintah kaum Muslimin. Pemimpin kaum Muslimin yang jumlahnya melebihi 50 orang ketika ini, bukan sekadar tidak mampu menggertak negara kafir yang menghina Islam, sebaliknya mereka sudah lama terkenal tunduk dan berlutut kepada negara kafir tersebut. Betapa hinanya mereka.
Jauh sebelum itu, peristiwa penghinaan kepada junjungan mulia kita muncul pada tahun 1989 melalui karya The Satanic Verses. Protes demi protes telah dilakukan oleh umat Islam namun tidak diendahkan oleh kuasa kufar, dan tidak diendahkan oleh pemimpin Muslim itu sendiri. Tahun berikutnya, muncul pula penulisan daripada seorang wanita, Taslima Nasreen yang berasal dari Bangladesh, yang mengkritik ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah (saw), di dalam karyanya.
Pada zaman Hosni Mubarak, terdapat seorang lagi penulis warganegara Syria iaitu Haidar bin Haidar yang bermastautin di Mesir, yang telah menghasilkan sebuah karya dalam bentuk novel fiksyen, yang mana di dalam novel tersebut dia telah memalsukan watak sebenar Rasulullah (saw), Saiditina Khadijah (ra) dan Saiditina Aishah (ra) bertujuan menghina mereka. Kesan daripada kemunculan karya tersebut, puluhan ribu mahasiswa di sana melakukan demonstrasi aman bagi menuntut penarikan kembali novel itu dari pasaran. Namun bantahan aman tersebut di akhiri dengan lemparan gas pemedih mata serta tembakan peluru getah oleh pihak kerajaan sehingga menyebabkan seorang mahasiswi terbunuh.
Inilah realiti ketika mana perisai dan pelindung Islam dan kaum Muslimin telah tiada. Segala bentuk penghinaan ke atas kaum Muslimin, begitu juga dengan kekasih Allah, terus berlaku saban waktu tanpa ada yang menghalangnya.
Tidak cukupkah dengan kesemua penghinaan ini untuk kita sedar bahawa kita amat memerlukan sebuah entiti yang mampu melindungi kehormatan Rasulullah (saw) dan Islam? Tidak cukupkah dengan kesemua serangan Barat serta kebaculan pemimpin kaum Muslimin dalam isu ini, untuk kita sedar bahawa kita amat memerlukan Khilafah untuk menjawab kebiadaban Barat ini? Penghinaan seumpama ini tidak berlaku, dan Barat sedikit pun tidak berani untuk mengangkat muka tatkala wujudnya Khilafah, yang menjaga kesucian Islam dan Rasulullah (saw).
Ketika Daulah Islam berdiri, dunia menyaksikan bagaimana kesucian Islam dan umatnya terus dijaga dan dipelihara oleh Sang Khalifah. Rasulullah (saw) pernah mengisytiharkan jihad ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ hanya kerana penghinaan mereka terhadap seorang Muslimah. Akhirnya mereka diusir dari Madinah dalam keadaan terhina. Begitu juga yang dilakukan oleh Khalifah al-Mu’tasim menyerukan jihad kepada Rom apabila seorang Muslimah dihina oleh mereka yang berakhir dengan terbunuhnya 30 ribu tentera Rom dan 30 ribu yang lain ditawan. Begitulah mulianya nyawa dan kehormatan kaum Muslimin di mata Khilafah. Benarlah sabda Rasulullah (saw):
«إِنَّمَا اْلإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ»
“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu laksana perisai, orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Di era Khilafah Uthmaniyah, terdapat cubaan untuk melakukan pementasan teater yang bertajuk “Muhammad dan Kefanatikan” di Perancis. Pementasan itu merupakan adaptasi daripada karya De Voltaire. Khalifah ketika itu adalah Sultan Abdul Hamid II dan beliau merupakan seorang yang sangat peka dengan berita semasa. Beliau sering membeli dan membaca akhbar daripada surat khabar Eropah untuk mengetahui berita dunia.
Melalui pembacaan harian itulah, beliau mendapat maklumat mengenai pementasan drama yang jelas-jelas ingin menghina Nabi Muhammad (saw) dan agama Islam. Duta besar Uthamniyah ketika itu, Mahmoud Esaad Pasha telah memanggil pegawai besar Perancis bagi membatalkan pementasan tersebut. Usaha beliau berjaya dan akhirnya Perancis membatalkan pementasan tersebut selama setahun sehinggalah berlakunya krisis diplomatik selepas itu.
Namun pada tahun 1890, teater tersebut disenaraikan kembali sebagai teater yang akan ditayangkan pada tahun tersebut. Akhirnya Sultan Abdul Hamid II memanggil duta besar Perancis ke Istanbul dan memberi amaran keras seandainya Perancis tetap ingin meneruskan teater tersebut. Kesan daripada pertemuan itu, Perancis telah membatalkan teater tersebut dari terus berjalan bukan sekadar di tempat yang telah direncanakan bahkan juga di seluruh Perancis.
Setelah gagal melakukan pementasan teater tersebut di Perancis, Marquis Henri De Bornier mula merancang untuk meneruskannya di London. Hal ini kerana baginya London itu dianggap lebih terbuka dalam penerapan hak asasi dan kebebasan bersuara. Sultan Abdul Hamid II mendapat berita bahawa pementasan tersebut akan dipersembahkan di London dan beliau mula menulis surat kepada pemerintah British. Pihak British membalas surat tersebut dengan menyatakan bahawa mereka bukanlah seperti Perancis dan mereka mempunyai hak mereka dalam sempadan negara mereka. Lalu, Khalifah ketika itu terus menjawabnya dengan amaran keras:
“Nenek moyang kami telah banyak menggadaikan nyawa mereka tanpa ragu-ragu demi kepentingan serta kejayaan Islam. Dalam keadaan ini, aku tetap dengan tegas akan mengeluarkan perintah khas kepada umat Islam di seluruh dunia dan memberitahu mereka tentang sikap kalian. Sekarang pertimbangkan kembali apa yang akan terjadi sekiranya perintah aku ini dikeluarkan.”
Lord Salisburry yang ketika itu merupakan Setiausaha Ratu Victoria faham bahawa Sultan Abdul Hamid bukanlah seorang yang bercakap kosong sahaja. Atas sebab itu, akhirnya British membatalkan pementasan itu daripada dijalankan di seluruh negara mereka.
Kita harus fahami bahawa British dan Perancis ketika itu merupakan dua kuasa besar dunia sebagaimana kita melihat Amerika Syarikat pada hari ini. Namun, ketika adanya Khilafah, kita dapat melihat bahawa Khilafah langsung gentar untuk memberi amaran bagi penghina Rasululllah (saw). Kaum Muslimin amat cinta pada Rasulullah (saw) dan agama Islam dan mereka akan sentiasa bersiap untuk membelanya dan negara kufur amat mengetahui tentang perkara tersebut. Inilah realitinya apabila mereka hidup di bawah naungan Khilafah. Oleh itu, penegakan kembali institusi politik umat Islam (Khilafah) ini merupakan satu-satunya cara yang tuntas yang dapat menjaga kemuliaan Rasulullah (saw) baik di dalam negara mahupun di luar negara.
Seandainya Khilafah berdiri sedikit masa lagi insya Allah, maka negara-negara kufur ini sudah pasti akan berfikir dua kali untuk menghina Rasulullah (saw) serta Islam itu secara umumnya. Tentera Islam baik di Nusantara, Asia, Arab, Turki dan seluruh penjuru dunia akan digerakkan oleh Sang Khalifah seandainya ada negara yang berani menghina junjungan mulia kita ini.
Wallahu a’lam.