Penyerahan Memorandum Bantahan HTM atas Penghinaan Rasulullah (saw) dan kebiadaban Macron

KUALA LUMPUR 3 November – Penghinaan ke atas Rasulullah (saw) di Perancis telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, termasuk di negara ini. Kemarahan tersebut semakin memuncak setelah Presiden Perancis, Emanuel Macron kemudiannya mengeluarkan ucapan anti-Islam dan merestui penyiaran karikatur menghina Rasulullah (saw) di bangunan-bangunan kerajaan atas prinsip kebebasan berpendapat.

Sehubungan itu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menghantar delegasi ke Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur petang semalam bagi menyerahkan memorandum bantahan bagi mengingatkan Perancis bahawa kebiadaban mereka itu tidak dapat diterima oleh umat Islam dan siapa pun yang mempunyai akal yang waras.

Delegasi HTM yang terdiri daripada Ustaz Muadz Abu Thalhah, Muhammad Amin dan Wan Hisham tiba di bangunan yang menempatkan kedutaan sekitar jam 3.00 petang di mana sepasukan anggota keselamatan yang telah pun dimaklumkan lebih awal, telah siap menunggu di lokasi.

 “Kita mengatakan, semakin besar Nabi kita yang mulia ini dihina, semakin besar juga kecintaan kita kepada Nabi (saw),” tegas Ustaz Muadz dalam kenyataan beliau yang disiarkan melalui liputan FB live yang disiarkan secara langsung semasa penyerahan tersebut.

“Kita ingin menegaskan kepada Perancis dan Barat, bahawa umat Islam ini hidup, umat ini tidak mati dan tidak akan berdiam diri. Mereka siap berkorban demi Nabi (saw) dan juga agamanya,” ujar beliau lagi.

HTM seterusnya mengemukakan beberapa desakan berhubung isu ini. Antaranya termasuklah menutup kedutaan Perancis di seluruh negara umat Islam serta memanggil pulang duta-duta yang dihantar ke Perancis.

“Tidak cukup dengan tindakan rakyat yang memboikot barangan Perancis…walaupun apa yang dilakukan itu adalah baik, namun tidak mencukupi, kerajaan wajib memutuskan segala hubungan dengan negara-negara yang sifatnya adalah kafir harbi yang memerangi dan memusuhi umat Islam,” tegas Ustaz Amin yang turut memberi sedikit ucapan.

Selain itu, HTM turut mendesak seluruh pemerintah kaum Muslimin agar menghantar amaran jihad kepada Perancis sekiranya Perancis tidak memohon maaf dan tidak berjanji untuk tidak mengulangi kebiadabannya. Ini sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Khalifah Abdul Hamid II tatkala Perancis ingin mementaskan teater yang menghina Rasulullah (saw), dan Perancis menghentikan serta merta pementasan teater tersebut setelah mendapat ancaman jihad dari sang Khalifah.

Pihak kedutaan bagaimanapun tidak menerima memorandum tersebut.

[Rakaman fb live penyerahan memorandum boleh ditonton di pautan berikut – https://www.facebook.com/watch/?v=395153818520281]