Pengkhianat Umat Islam Masih Pura-pura Tidak Tahu
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan 12 sukarelawan negara yang melalui pengalaman ngeri diserang dan ditahan tentera Israel ketika menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai wira negara.
Perdana Menteri yang bersyukur semua mereka selamat pulang, berkata kejadian itu akan termaktub dalam sejarah negara kerana menandakan pembabitan Malaysia dan rakyatnya secara sukarela untuk membantu rakyat Palestin. “Nanti akan tertulis bahawa kumpulan 12 orang ini, sebagai orang biasa yang bersatu dalam satu kumpulan yang memiliki kesedaran dan keinsafan serta sanggup bersabung nyawa untuk rakyat Palestin. “Mereka ini boleh dikatakan sebagai sebahagian daripada pihak yang menggerakkan kesedaran dunia untuk mengutuk kezaliman Israel,” katanya berucap pada majlis meraikan kepulangan 12 sukarelawan itu di kediamannya di Langgak Duta di sini, pagi semalam.
Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut bersarapan pagi bersama sukarelawan itu dan ahli keluarga mereka.
Perdana Menteri menganggap kejadian menimpa 12 rakyat Malaysia itu bukan saja menyayat hati, malah membuka mata rakyat dan dunia terhadap kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin yang sebelum ini hanya diketahui menerusi media.
“Pembunuhan sembilan rakyat Turki dari jarak dekat adalah bukti kezaliman Israel,” katanya. Najib mengakui beliau boleh membayangkan tekanan perasaan dialami 12 sukarelawan negara kerana tidak tahu apakah nasib mereka selepas diserang dan ditahan di Penjara Be’er Sheva, selain perasaan isteri, anak dan ahli keluarga mereka.
“Yang pasti, Malaysia tidak akan lari daripada tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan mempertahankan hak asasi kemanusiaan dengan mencetuskan kesedaran dunia untuk terus mengutuk Israel.
“Malaysia akan tetap menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya ketika ditemu bual TV3 pada majlis sama.
Sementara itu, Rosmah mengambil inisiatif mengumpul dana sebanyak RM16,250 (US$5,000) seorang untuk disumbangkan kepada keluarga sembilan sukarelawan Turki terbabit. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan ketika mengumumkan usaha diterajui Rosmah, berkata dana yang dikumpulkan itu akan diserahkan melalui Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan) Palestin dan Wisma Putra untuk disampaikan kepada keluarga terbabit.
Sumber: Berita Harian 07/06/10
Siapa Pula Pengkhianat Umat Islam?
12 sukarelawan yang menyertai misi kemanusian ke Gaza dianggap sebagai wira negara oleh Najib namun gelaran itu tidak mampu untuk menutup bau busuk pengkhianatan yang dilakukan oleh para pemimpin sekular umat Islam hari ini yang masih lagi tidak menggerakkan para tentera yang berada di bawah kekuasaannya untuk berjihad melawan Israel. Dunia sudah menyaksikan bagaimana kejam dan zalimnya Israel yang tanpa berperikemanusiaan telah membunuh aktivis bantuan misi kemanusian baru-baru ini. Hakikatnya para pengkhianat di kalangan para pemimpin sekular umat Islam hari ini masih lagi terus memasung dan memandulkan tentera-tentera umat Islam yang jutaan jumlahnya. Faktanya, para tentera umat Islam yang berjuta ini keluar hanya untuk memenuhi jadual tahunan mereka – berbaris untuk pertunjukan pada hari kemerdekaan dan perarakan hari ulangtahun tentera yang disambut setiap tahun. Jika ada misi bantuan keluar negara pun para tentera kaum muslimin ini hanyalah bergerak di bawah naungan PBB, sebuah pertubuhan kufur yang telah terbukti gagal dan akan terus gagal dalam menyelesaikan masalah umat Islam.
Wahai Najib! Apa ertinya kamu menyambut dan meraikan ”wira-wira negara” yang terselamat itu jika dalam masa yang sama kamu masih bersekongkol dengan para pemimpin sekular yang mengkhianati umat Islam dengan membiarkan umat Islam dibunuh di mana-mana sahaja saat ini oleh musuh-musuh Islam tanpa kamu pernah berusaha untuk menggerakkan tentera umat Islam berjihad fi sabilillah. Apakah kamu tidak memahami firman Allah SWT ini?: ”Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman”. [TMQ At-Taubah (9) : 14]. Amat malang bagi umat Islam hari ini apabila para pemimpin sekular mereka masih lagi tidak berani mengisytiharkan jihad fi sabilillah untuk menghapuskan Israel dari peta dunia ini. Para pemimpin ini masih lagi tersipu-sipu, hanya sekadar melafazkan kutukan dan kecaman semata-mata dan semua ini tidak akan pernah dipedulikan oleh Yahudi laknatullah.