Pengkhianatan Pertemuan Riyadh
Seperti yang diduga, Pertemuan Riyadh yang ditaja oleh Arab Saudi, telah menghasilkan keputusan yang berlawanan dengan tujuan revolusi Islam di Syria. Kesepakatan peserta pertemuan antara lain ialah untuk membangun negara Syria yang demokratik. Sungguh jelas bahawa negara demokratik yang mereka maksudkan ialah negara sekuler yang tidak berlandaskan syariat Islam.
Sepertimana dilaporkan kiblat.net yang memetik laman sesawang Al-Jazeera pada hari Khamis malam (10/12/2015), wakil-wakil dari gerakan pembangkang Syria bersepakat untuk mendirikan negara demokrasi dan bukan negara beraja. Negara tersebut merupakan negara politik baru yang tidak ada tempat bagi Basyar Assad dan strukturnya selama ini.
Tidak sekadar itu, peserta pertemuan juga sepakat yang semua proses politik di Syria diletak di bawah pengawasan PBB. Walhal semua sedia maklum bahawa segala polisi PBB terletak di bawah kawalan negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat.
Dalam kenyataannya, gerakan pembangkang tersebut menyatakan kesediaan mereka untuk ikut serta dalam rundingan dengan delegasi rejim Basyar berdasarkan persetujuan Jeneva I. Rundingan hendaklah berada di bawah pengawasan PBB.
Pertemuan yang dihadiri 100 perwakilan gerakan pembangkang itu juga sepakat merealisasikan masa transisi di Syria sebagaimana yang telah disepakati dalam Jeneva I. Disebutkan juga dalam pertemuan berkenaan bahawa Basyar Assad dan strukturnya hendaklah meninggalkan pemerintahan selama masa transisi tersebut.
Pertemuan itu juga bersetuju untuk membentuk Badan Tertinggi Pembangkang Syria yang akan diwakili oleh 32 anggota, 10 antaranya wakil pakatan militer, 6 dari Koalisi Nasional untuk Revolusi Syria, 5 dari Badan Ko-ordinator Revolusi dan 8 bebas.
Wakil-wakil dari pelbagai gerakan pembangkang Syria, yang ada di dalam mahupun di luar negeri, sejak Selasa lalu mengadakan pertemuan di Riyadh. Pertemuan anjuran Saudi ini bertujuan membentuk kekuatan kesatuan pembangkang, yang nantinya akan menjadi wakil untuk berunding dengan pihak rejim.
Inilah bentuk pengkhianatan nyata ke atas revolusi Syam yang diberkati. Para penggerak revolusi yang ikhlas hanya mahukan Islam dan bukan demokrasi untuk menjadi sistem pemerintahan di Syria. Revolusi mereka adalah untuk Islam, itulah yang mereka laungkan. Mereka mahukan sistem Khilafah Islam di bumi Syam, bukannya sistem demokrasi sebagaimana yang dipersetujui dalam pertemuan tersebut. Namun wakil-wakil yang hadir dalam pertemuan tersebut, yang hakikatnya bukanlah mewakili penggerak revolusi di Syam, tetapi hanya mewakili kelompok masing-masing yang mempunyai kepentingan politik tersendiri, ternyata telah mengkhianati revolusi tersebut dengan usaha menerapkan demokrasi dan membawa masuk Amerika serta PBB ke dalamnya!
Arab Saudi yang mengetui pertemuan tersebut tidak lebih daripada bertindak sebagai talibarut kepada Amerika. Amerika mahu menggantikan ejennya, Basyar yang sudah tidak berguna, namun sehingga kini masih belum menjumpai penggantinya. Saudi pula bertindak untuk membantu negara kafir itu bagi menyediakan pemerintahan transisi di Syria, sementara menunggu Amerika menjumpai ejennya yang baru untuk ‘dibonekakan’ di tanah Syam itu.
Amerika cukup takut Syria jatuh ke tangan kelompok revolusi yang ikhlas yang mahu menegakkan Khilafah kerana apabila Khilafah tertegak, segala dominasi Amerika di bumi umat Islam akan hancur dan Amerika akan pasti dikalahkan dengan izin Allah.