Penjarakan saf: Sampai bila pemerintah ingin melawan Sunnah?

Sudah lebih kurang 9 bulan sejak masjid mula ditutup, dan kemudiannya dibuka, lalu ditutup lagi dan kemudian dibuka lagi dan begitulah seterusnya. Sejak masjid mula dibuka semula dalam suasana pandemik Covid-19 ini sehinggalah sekarang, Standard Operating Procedure (SOP) yang begitu ketat telah dilaksanakan oleh pemerintah ke atas para jemaah yang ingin menunaikan solat di masjid, khususnya solat Jumaat.

Walaupun pelbagai SOP dikenakan, kita boleh menerimanya selagi memang ada kewajarannya dalam mencegah penularan Covid-19 seperti mengambil wudhu’ di rumah terlebih dahulu, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan hand sanitizer, berbaris dalam jarak satu meter dan mengambil suhu badan sebelum masuk ke masjid, tidak bersalaman sesama jemaah, memendekkan khutbah dan sebagainya. Semua ini kita boleh terima kerana ada kewajarannya.

Namun, kita sama sekali tidak boleh menerima apabila SOP penjarakan saf semasa solat dikenakan oleh pemerintah! Umum mengetahui bahawa pemerintah telah mengenakan SOP supaya setiap jemaah solat berjauhan lebih kurang satu meter antara satu sama lain, dan sudah berbulan lamanya, SOP ini masih dikekalkan sehingga ke hari ini. Hal ini memang kita tidak boleh terima!

Kenapa? Ini kerana solat dengan jarak satu meter (atau lebih) antara satu sama lain adalah menyalahi Sunnah! Dengan kata yang lebih tepat ia adalah satu bidaah!

Sesungguhnya dalam hal ibadat, kita wajib mengikuti Rasulullah (saw) secara tauqifiyyah (seadanya) yakni sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah (saw) tanpa boleh dikurangi, ditokok tambah atau diubah-ubah. Sebarang perubahan dalam hal-hal ibadat adalah bidaah, seperti menambah bilangan pada setiap anggota basuhan wudhu’, menambah atau mengurangi bilangan rakaat solat, merubah waktu berpuasa, merubah kaifiyat (tatacara) mengerjakan haji, merubah kaifiyat solat dan sebagainya.

Dalam apa keadaan sekalipun, baik dalam keadaan tersebarnya penyakit, dalam keadaan safar (perjalanan), semasa kebuluran, semasa peperangan, semasa berlakunya apa jua malapetaka dan seumpamanya, kaifiyat dalam hal-hal ibadah sama sekali tidak boleh diubah.

Kita wajib mengikuti nas dalam apa jua keadaan, dan hanya jika ada nas sahajalah yang membolehkan kita “lari” dari hukum asal. Contohnya solat boleh dijama’ dan diqasarkan semasa safar. Ini kerana adanya nas, dan itu pun kita tetap tidak boleh lari dari nas yang telah menetapkan hukum tentang jama’ dan qasar. Contohnya kita tidak boleh menjama’kan antara subuh dan zohor, atau isyak dan subuh, dan jika dilakukan, ia adalah satu bidaah. Dengan kata lain, kaifiyat ibadah wajib mengikuti nas dan tidak boleh lari darinya sedikit pun.

Jadi, begitu juga dengan saf dalam solat berjemaah, di mana begitu banyak nas yang menjelaskan bahawa meluruskan dan merapatkan saf adalah wajib dan ia merupakan sebahagian daripada penyempurnaan solat.

Tidak ada nas yang membolehkan saf dibengkokkan atau dijarakkan dan tidak ada nas yang memberikan kuasa kepada Imam solat untuk menetapkan atau memerintahkan makmumnya agar membengkokkan dan menjarakkan saf! Sama sebagaimana tidak ada nas yang membolehkan seseorang pemerintah untuk mengarahkan rakyatnya untuk membengkokkan atau menjarakkan saf. Tidak ada nas sama sekali! Malah nas yang ada adalah sebaliknya, iaitu Imam diperintahkan agar memerintahkan makmumnya untuk meluruskan dan merapatkan saf.

Apa yang pasti, arahan atau syor untuk melakukan penjarakan sosial sejauh satu meter ini adalah datangnya dari World Health Organisation (WHO), sebuah organ di bawah badan kufur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mana telah diambil oleh pemerintah umat Islam pada hari ini untuk turut diterapkan ke dalam saf solat!

Sesungguhnya saf solat berjemaah wajib diluruskan dan dirapatkan. Inilah Sunnah Rasulullah (saw) dan siapa sahaja yang membuat ketetapan atau memerintahkan untuk menjarakkan saf, sesungguhnya dia telah menyalahi Sunnah baginda (saw) dan melakukan satu bidaah.

Pemerintah wajib bertaubat dan menarik balik arahan ini segera. Manakala setiap Muslim pula wajib untuk terus memuhasabah pemerintah dalam hal ini. Sampai bilakah kita semua sanggup untuk terus solat dengan menyalahi kaifiyat solat Nabi (saw), sedangkan pandemik Covid-19 ini tidak diketahui sampai bilakah akan berakhir, malah tidak ada tanda-tanda ke arah tersebut sampai sekarang. Justeru, sampai bilakah pemerintah sanggup menanggung dosa dengan melawan Sunnah Nabi (saw)?

#rapatkansaf