Penutupan masjid dan penjarakan solat: sampai bila pemerintah mahu menanggung dosa?
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula 14 Oktober lalu, pihak-pihak berkuasa agama di Kuala Lumpur dan Selangor telah memutuskan untuk menghadkan aktiviti keagamaan di masjid-masjid dan surau-surau dalam kawasan yang terlibat.
Masjid-masjid di Kuala Lumpur hanya membenarkan 50 orang jemaah sahaja bagi menunaikan solat Jumaat, manakala di Selangor pula solat Jumaat ditangguhkan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB.
Pelaksanaan arahan ini sememangnya mengecewakan umat Islam di negara ini, khususnya di kawasan yang terlibat, yang sudah sedia kecewa dengan keputusan pemerintah selama ini!
Sikap double standard yang memangsakan masjid ini memang suatu yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Tatkala aktiviti-aktiviti ekonomi dibenarkan berjalan, dan pejabat-pejabat dibenarkan untuk terus beroperasi dalam kawasan pelaksanaan PKPB, duduk dengan rapat dalam kapal terbang dan dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan, namun aktiviti ibadah di masjid dihentikan, apatah lagi aktiviti solat Jumaat yang merupakan fardhu ain ke atas setiap Muslim yang mukallaf!
Mengapa perlu dilaksanakan penangguhan solat Jumaat dan pengehadan jumlah jemaah ini? Tidak cukupkah dengan segala SOP yang telah dilaksanakan selama ini sebagai langkah pencegahan dalam mengekang penularan Covid-19? Jika SOP yang sama boleh dilaksanakan di pasar, di kedai, di pejabat, di restoran dan lain-lain tanpa perlu menutup tempat-tempat tersebut, kenapa pula masjid perlu ditutup, walhal SOP yang sama dilaksanakan, malah lebih ketat lagi?
Lebih mengecewakan, apabila pemerintah telah menetapkan suatu bidaah dalam kaifiyat (tatacara) solat dengan adanya arahan penjarakan saf, sedangkan kaifiat solat tidak boleh diubah oleh sesiapa pun! Sungguh, dengan penutupan masjid dan penguatkuasaan penjarakan saf ini, pemerintah telah menanggung dosa yang cukup besar!
Apatah lagi dalam keadaan suhu badan yang telah diambil sebelum memasuki masjid, mereka yang bergejala tidak dibenarkan datang ke masjid, termasuklah mereka yang sakit dan mempunyai lain-lain keuzuran, maka sesungguhnya tidak ada sebab sedikit pun untuk pemerintah menutup masjid mahupun melakukan bidaah dengan penjarakan saf.
Solat hanya mengambil masa lebih kurang lima minit sahaja, dan paling lama pun mungkin dalam 10 minit. Selain ketika solat, penjarakan fizikal masih boleh diamalkan sebelum dan sesudah solat, termasuk ketika khutbah dibacakan, agar tidak berlakunya bidaah. Malangnya pemerintah tetap memilih untuk melakukan bidaah dengan mengubah kaifiat solat berjemaah, yang mana safnya wajib dirapatkan!
Adapun dalam isu pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom, bukankah semua jemaah sudah diwajibkan untuk memakai pelitup muka, menggunakan hand sanitizer dan dinasihatkan mengelakkan daripada bersentuhan? Maka seandainya masih berlaku jangkitan setelah semua langkah pencegahan dibuat, ini semua merupakan qadha Allah (swt) yang kita mesti terima. Ketakutan kepada jangkitan atas alasan apa sekalipun, termasuk atas alasan hifzu nafs (menjaga nyawa) sama sekali tidak membolehkan masjid ditutup atau bidaah dilakukan!
Tambahan pula, kita sudah pun mempunyai sistem rekod kehadiran yang memudahkan pengesanan kontak bagi tujuan saringan dan pemantauan. Apa guna dibuat semua ini apabila masjid tetap diarahkan tutup!?
Sungguh aneh apabila sesetengah pihak masih mempertikaikan tentang individu pembawa Covid yang mungkin datang ke masjid, yang menyebabkan masjid mesti ditutup, tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pula mempertikaikan individu yang sama yang mungkin pergi ke pasaraya, restoran, tempat kerja dan lain-lain, yang semuanya tidak pula perlu ditutup! Dengan kata lain, persoalan tentang individu yang bergejala ini tidak dipermasalahkan sedemikian rupa untuk tempat-tempat lain, tetapi apabila berbicara tentang masjid, ia diperbesarkan habis-habisan sehingga masjid perlu ditutup dan saf perlu dijarakkan!
Setelah lebih daripada setengah tahun berhadapan dengan wabak Covid-19 ini, pastinya telah banyak yang kita pelajari mengenainya berbanding saat kita mula-mula diancam penularannya. Kini dengan adanya lebih banyak strategi dan pendekatan yang lebih bersasar di tangan kita, tiada sebab lagi untuk menutup masjid, khususnya daripada solat Jumaat.
Dalam pada itu, pihak berkuasa agama seharusnya membuka lebih banyak lagi surau untuk melaksanakan solat Jumaat, agar para jemaah tidak tertumpu di masjid-masjid tertentu sehingga menyebabkan kesesakan. Sekiranya masih terdapat kes yang disahkan positif di sesebuah masjid atau surau, maka langkah saringan dapat dibuat secara lebih bersasar dan tidak melibatkan jemaah yang terlalu besar. Malangnya hal ini tidak dilaksanakan, sebaliknya masjid terus menjadi mangsa penutupan.
Sampai bila pemerintah ingin terus menanggung dosa besar dengan menutup masjid dan melakukan penjarakan saf? Sungguh berani mereka melakukan kemaksiatan dengan menutup rumah-rumah Allah (swt) tatkala dalam masa yang sama mereka berdoa dan mengharap kepada Allah (swt) agar mengangkat musibah yang melanda ini!