“Penyelesaian Dua-Negara” bukanlah penyelesaian, sebaliknya pengkhianatan ke atas tanah Palestin yang diberkati!

Semasa Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-15 yang berlangsung beberapa hari lalu, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) perlu jujur memainkan peranannya sebagai orang tengah ​​kepada pihak terbabit dalam kancah konflik Israel-Palestin bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan yang berterusan di rantau itu. Menurutnya lagi, satu-satunya jalan keluar kepada konflik Israel-Palestin adalah melalui penyelesaian dua negara.

[https://www.sinarharian.com.my/article/110218/BERITA/Nasional/UNSC-perlu-jujur-tangani-konflik-Israel-Palestin-Muhyiddin]

Adakah Perdana Menteri Malaysia dan para penguasa umat Islam yang lain terlupa bahawa PBB-lah yang menjadi rahim lahirnya negara haram Yahudi di Palestin selepas tamatnya Perang Dunia Kedua? Tidakkah mereka tahu bahawa tentera pengaman PBB-lah yang bersubahat dengan tentera Serbia dalam pembunuhan beramai-ramai umat Islam Bosnia di Srebrenica pada tahun 1995? Terlupakah mereka bagaimana resolusi-resolusi yang terus menerus mengutuk keganasan Israel ke atas Gaza langsung tidak bermakna dalam menundukkan kebiadaban entiti Yahudi, bahkan mereka bertambah angkuh dan tidak mahu tunduk kepada undang-undang antarabangsa.

Sedarkah mereka bahawa PBB mempunyai begitu banyak rekod buruk dalam membela atau mempertahankan nasib umat Islam? Bahkan kewujudan PBB itu sendiri adalah untuk mengekalkan status quo yang berpaksikan hegemoni kuasa-kuasa kuffar dalam tata dunia yang dicorakkan oleh mereka pasca Perang Dunia Ke-2.

Kesemua anggota tetap Majlis Keselamatan PBB mempunyai sejarah dalam memusuhi umat Islam. Russia dan China sendiri terlibat dalam serangan ke atas umat Islam, seperti jenayah China di dalam wilayah Turkestan Timur (Xinjiang) dan jenayah Russia di Chechnya dan serangan bom di Syria. Bagaimana mungkin Muhyiddin masih boleh mengharapkan pihak-pihak sebegini untuk berlaku jujur dalam membela nasib umat Islam?

‘Abah’ seharusnya kembali kepada perintah Allah dan Rasul-Nya untuk menyelesaikan kesemua masalah umat Islam, bukannya merujuk kepada PBB yang asas penubuhannya ialah untuk memerangi Islam dan sejak dulu hingga kini didominasi oleh negara kuffar!

“Janganlah orang orang beriman mengambil orang-orang kafir sebagai wali (pelindung) dan meninggalkan orang-orang beriman” [TMQ Ali Imran (3): 28].

Menyatakan bahawa satu-satunya jalan keluar kepada konflik Israel-Palestin adalah melalui penyelesaian dua negara, selain daripada satu kedangkalan berfikir yang nyata, merupakan satu pengkhianatan ke atas umat Islam. Bagaimana mungkin seseorang yang waras akalnya boleh menerima penyelesaian sebegini? Logikkah bagi seseorang tuan rumah untuk bersetuju berkongsi rumah dengan perompak yang merompak rumahnya, apatah lagi setelah si perompak membunuh ahli keluarganya? Solusi dua negara bukanlah solusi, tetapi satu pengkhianatan yang jelas lagi nyata ke atas tanah Palestin yang diberkati.

Pemimpin umat Islam seharusnya bertindak seperti Khalifah Umar al-Khattab dan juga Salahuddin Al-Ayubi tatkala membebaskan tanah suci umat Islam yang ketiga dari cengkaman puak kuffar. Pemimpin umat Islam seharusnya bersikap tegas sebagaimana sikap Sultan Abdul Hamid II kepada Theodore Hertzl, pemimpin Yahudi yang menawarkan jutaan wang kepada beliau untuk membeli tanah Palestin dalam rangka untuk mendirikan negara Yahudi di bumi Palestin. Pemimpin seperti inilah yang akan mampu menyelesaikan segala penindasan, kezaliman dan pelbagai masalah yang menimpa umat Islam. Ini kerana realitinya sekarang, tanah Palestin tidak akan terbebas kecuali dengan jihad fi sabilillah oleh tentera kaum Muslimin.

Wallahu a’lam.